jelasBERITA: Indonesia mulakan musim pilihan raya untuk pilih presiden baharu - apa yang anda perlu tahu tentang Pemilu 2024
Gambar: CNA/Wisnu Agung Prasetyo
Lebih 204 juta rakyat Indonesia akan keluar mengundi pada 14 Feb 2024 sedang negara demokrasi ketiga terbesar di dunia itu juga akan memilih para anggota parlimen peringkat negara, wilayah dan bandar.
Secara keseluruhannya, lebih 20,000 jawatan dipertandingkan dan inilah sebabnya mengapa para pakar dan media menyifatkannya sebagai pilihan raya terbesar sepanjang tempoh sehari di dunia.
Negara itu juga akan mengadakan pilihan raya serentak pada 27 Nov 2024 untuk memilih 38 gabenor, 416 kepala daerah dan 98 walikota di seluruh negara, kali pertama ia diadakan pada tahun yang sama dengan pilihan raya negara itu.
Keputusan pilihan raya ini akan menentukan siapa yang akan menerajui ekonomi terbesar Asia Tenggara itu dan sama ada pemimpin seterusnya akan meneruskan atau sebaliknya menggugurkan dasar luar serta program sosial dan pembangunan infrastruktur Presiden Joko Widodo.
Presiden Joko Widodo, yang lebih dikenali sebagai Jokowi, tidak dibenarkan bertanding bagi penggal ketiga oleh Perlembagaan Indonesia.
Para penganalisis meramalkan 2024 akan menjadi tahun yang sengit bagi landskap politik Indonesia, dengan ketegangan dan ketidakstabilan berpotensi melimpah ke tahun berikutnya.
"Kelebihan (mengadakan pilihan raya secara serentak) adalah semua ketegangan politik yang berkaitan dengan pilihan raya pada tahun yang sama membolehkan lebih banyak kestabilan politik empat tahun seterusnya," menurut Cik Titi Anggraini, pakar undang-undang pilihan raya dari Universiti Indonesia kepada Mediacorp.
"Kelemahannya ialah: ia boleh mewujudkan kerumitan dan cabaran dalam proses pilihan raya itu sendiri, yang berpotensi membebankan bukan sahaja penganjur pilihan raya tetapi juga para pengundi."
Mengadakan pilihan raya secara serentak bermakna Komisi Pemilihan Umum Republik Indonesia (KPU) perlu bekerja keras untuk menangani cabaran logistik besar-besaran untuk menubuhkan pusat-pusat mengundi dan menghantar kertas undi kepada lebih 204 juta pengundi yang tinggal di 17,000 pulau di negara itu serta 1.7 juta rakyat Indonesia yang menetap di luar negara.
Sementara itu, Badan Pengawas Pemilihan Umum (Bawaslu) perlu memastikan beribu-ribu calon daripada 18 partai politik peringkat nasional dan lima partai politik tempatan mematuhi proses pilihan raya dan menyiasat sebarang dakwaan berlaku pelanggaran kempen dan penipuan pilihan raya.
Para hakim Mahkamah Perlembagaan Indonesia juga perlu berani untuk menyelesaikan semua pertikaian yang mungkin timbul daripada pilihan raya presiden, perundangan dan wilayah.
Pilihan raya serentak itu dijangka menelan belanja sebanyak 76 trilion rupiah (S$6.6 bilion).
Berikut adalah perkara-perkara yang anda perlu tahu tentang pilihan raya umum yang diadakan secara serentak di Indonesia.
PILIHAN RAYA PRESIDEN
Perhatian - tidak kira di Indonesia mahupun dari luar negara - akan tertumpu kepada pilihan raya presiden negara tersebut, menurut para penganalisis.
Sejauh ini, tiga calon yang telah menyuarakan hasrat untuk bertanding dalam pilihan raya presiden adalah: Menteri Pertahanan Prabowo Subianto, mantan Gabenor Jakarta Anies Baswedan dan mantan Gabenor Jawa Tengah Ganjar Pranowo.
Daripada mereka bertiga, hanya Encik Baswedan telah mengumumkan bakal timbalannya secara rasmi: Encik Muhaimin Iskandar, pengerusi Partai Kebangkitan Bangsa (PKB).
Dua yang lain perlu melantik pilihan naib presiden mereka tidak lama lagi. Tempoh pendaftaran dibuka pada 19 Okt dan berakhir pada 25 Okt.
Mengikut undang-undang, setiap pasangan presiden dan naib presiden mesti disokong oleh gabungan parti yang mempunyai sekurang-kurangnya 20 peratus gabungan perwakilan di peringkat parlimen atau 25 peratus undi popular semasa pilihan raya lalu pada 2019.
PILIHAN RAYA PERUNDANGAN
Jadual yang sama juga ditetapkan bagi calon-calon perundangan, yang bertanding bagi merebut kerusi di peringkat nasional dan wilayah.
Para penganalisis berkata walaupun tempoh berkempen dua setengah bulan mungkin mencukupi untuk calon-calon presiden, tempoh itu bagaimanapun tidak cukup untuk pilihan raya perundangan.
Namun, tidak diketahui berapa ramai calon perundangan kerana mereka masih disaring oleh KPU. Tetapi dengan 580 kerusi peringkat nasional, 2,372 peringkat wilayah dan 17,510 kerusi peringkat walikota dan kepala daerah, jumlah calon boleh mencecah beratus-ratus ribu.
PILIHAN RAYA WILAYAH
Pilihan raya umum 2024 dianggap lebih rumit kerana buat pertama kalinya ratusan pilihan raya wilayah akan diadakan secara serentak pada tahun yang sama dengan pilihan raya presiden dan perundangan.
Sebelum ini, pilihan raya peringkat wilayah diadakan pada tahun yang berbeza.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.