Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

jelasBERITA: GISBH jelmaan Al-Arqam?

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 20 Sep 2024 03:55PM Dikemas Kini : 20 Sep 2024 11:58PM

SINGAPURA: Baru-baru ini Malaysia digemparkan dengan kontroversi melibatkan Ikhwan Global Sdn. Bhd. atau Global Ikhwan Services and Business Holding Sdn. Bhd. (GISBH), yang dikaitkan sebagai saki-baki pengikut cabang ajaran sesat Al-Arqam.

Apa sebenarnya kaitan GISBH dengan Al-Arqam? Siapa orang-orang kanan GISBH dan apakah ajaran yang dipegang oleh mereka?

KAITAN GISBH DENGAN AL-ARQAM

Selepas Al-Arqam diharamkan pada 1994 dan beberapa pemimpin kanannya ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), pengikutnya menubuhkan Rufaqa Corporation, iaitu sebuah badan perniagaan dan ekonomi.

Ummu Jah, iaitu isteri kepada pengasas Al-Arqam Ashaari Muhammad dikesan cuba menghidupkan semula ajaran Aurad Muhammadiah melalui Rufaqa Corporation, menurut portal rasmi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Pada 2006, fatwa sekali lagi dikeluarkan, mengharamkan aktiviti-aktiviti syarikat tersebut.

Pada 2008, GISBH pula ditubuhkan sebagai pertubuhan perniagaan berasaskan agama dengan doktrinnya masih tarekat Aurad Muhammadiah yang juga diharamkan oleh MAIS.

Pada November 2013, Ummu Jah bersama-sama 17 pengikutnya didakwa di mahkamah dan mengaku bersalah kerana menghidupkan ajaran Al-Arqam yang diharamkan, menurut laporan Bernama.

Menurut kertas pertuduhan, Ummu Jah didakwa menggunakan kedudukannya sebagai pengarah syarikat Global Ikhwan Sdn Bhd untuk menghidupkan kembali ajaran dan fahaman kumpulan Al-Arqam melalui syarikatnya, yang melanggar fatwa mufti yang diwartakan pada 21 Disember 2006.

Ummu Jah meninggal dunia pada Oktober 2015, menurut laporan Bernama.

SIAPA DUDUK DALAM LEMBAGA PENASIHAT GISBH?

Kaitan GISBH dengan Al-Arqam juga diperkuatkan dengan dakwaan bahawa Pengerusi Eksekutif yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISBH, Nasiruddin Mohd Ali merupakan "menantu, besan dan biras kepada Ashaari Muhammad".

Menurut pendedahan yang dibuat oleh satu akaun media sosial Pusat Kajian Ajaran Sesat Malaysia (PUKAS), Nasiruddin merupakan menantu kepada Ashaari Muhammad kerana berkahwin dengan salah seorang daripada lebih 30 anak Ashaari Muhammad, iaitu Ummu Mubarakah Attamimi Asaari - dipercayai isteri keempat Nasiruddin.

Nama Ummu Mubarakah dan abangnya Muhammad Adib Attamimi Asaari juga tertera sebagai ahli lembaga penasihat GISBH.

(Gambar: laman GISBH)

Nasiruddin juga dikatakan berkahwin dengan adik ipar Ashaari Muhammad, yang dikenali sebagai Ummi Nur (isteri kedua).

Menurut PUKAS lagi, Nasiruddin dan isteri ketiganya Azura Md Yusof, yang juga ahli lembaga penasihat GISBH, mempunyai seorang anak perempuan yang dikahwinkan dengan anak Ashaari Muhammad, Muhammad Adib Attamimi Asaari.

(Gambar: Fcebook/PUKAS)
Menurut video korporat GISBH, terdapat 1,656 keluarga dalam GISBH dan rangkaian perniagaannya, dengan 425 merupakan keluarga poligami.
Nasiruddin, bersama 18 lagi individu direman selama tujuh hari bermula Khamis (19 Sep) berhubung siasatan terhadap kes eksploitasi kanak-kanak yang diselamatkan dari 20 rumah amal kendalian syarikat GISBH.

Selain Nasiruddin, mereka yang ditahan reman termasuk isterinya, anak-anaknya, serta anak-anak bekas pemimpin al-Arqam, Ashaari Mohammad.
 

APA ITU AURAD MUHAMMADIAH?

Aurad Muhammadiah diperkenalkan oleh jemaah Darul Arqam dan menurut perspektif syariah, ia merupakan suatu amalan yang menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar.

Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia dan Jawatankuasa Fatwa sesetengah negeri termasuk Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor telah memfatwakan bahawa buku yang bertajuk ‘Aurad Muhamadiah Pegangan Darul Arqam’ adalah menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar dan mengelirukan masyarakat Islam seluruhnya.

Aurad Muhamadiah kononnya berasal daripada ayat-ayat suci al-Quran yang diamalkan oleh Sayidi Syeikh Muhammad bin Abdullah as-Suhaimi.

Ashaari Muhamad mendakwa pengasas Aurad Muhammadiah itu akan kembali sebagai Imam Mahdi, menurut MAIS.

Ajarannya itu diisytiharkan sebagai sesat pada 1994 dan Ashaari Muhammad ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Dia kemudian ditahan di dalam rumah sehingga meninggal dunia pada 2010.

LEGASI EMPAYAR PERNIAGAAN GISBH

Meskipun diharamkan pada 1994, Al-Arqam mencatat kejayaan besar dari segi perniagaan dan ekonomi.

Dalam tempoh hanya 20 tahun, kumpulan itu menubuhkan 52 kedai runcit, 20 pasar raya mini, 36 kedai buku dan agama, 18 restoran serta 56 kilang di merata Malaysia.

Al-Arqam khususnya berjaya menghasil produk-produk makanan popular seperti sos cili dan kicap. Malah, produk-produk itu turut dijual kepada orang-orang bukan Islam, lapor Sinar Daily.

Gerakan itu juga menerbitkan banyak buku dan majalah. Namun permit penerbitannya ditarik balik pada 1990.

Al-Arqam juga menubuhkan klinik-klinik kesihatan dan pejabat guaman sendiri.

(Gambar: laman GISBH)
Sebelum diharamkan, Al-Arqam juga mengembangkan sayapnya ke peringkat antarabangsa dengan menubuhkan Al-Arqam Group of Companies (AGC), yang terdiri daripada 22 syarikat subsidiari, menurut Sinar Daily lagi.

Hari ini, legasi itu diteruskan menerusi GISBH, yang mengendalikan lebih 800 perniagaan di 20 negara, termasuk Perancis, Jerman, Britain, China, Australia dan Singapura.
Sumber : Agensi berita/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan