JelasBERITA: Daripada banjir besar hingga puting beliung dan taufan: Bagaimana cuaca semakin panas di China cetus cuaca lebih ekstrem
Seorang wanita meredah banjir yang disebabkan oleh Taufan Bavi di Shenyang, di wilayah Liaoning timur laut China pada 14 Julai 2026. (Gambar: AFP/cn-str)
Para saintis berkata bahawa keadaan yang semakin tidak menentu ini berlaku apabila suhu di negara itu menjadi lebih panas berbanding purata global.
Dari tahun 1961 hingga 2025, purata suhu tahunan China meningkat sebanyak 0.31 darjah Celsius setiap dekad, melebihi kadar suhu purata global dalam tempoh yang sama, menurut Pentadbiran Meteorologi China (CMA) dalam laporan pemantauan dan penilaian Buku Biru tahunannya mengenai Perubahan Iklim yang dikeluarkan pada 2 Julai.
Purata suhu China pada tahun 2025 mencatat antara dua tahun paling panas di negara itu sejak rekod kebangsaan bermula pada tahun 1901, menurut laporan itu. Ia turut menyatakan bahawa kawasan utara China lebih panas daripada selatan - dan bahagian barat mengalami pemanasan lebih cepat daripada timur.
Kawasan luas China adalah salah satu sebab mengapa ia lebih panas daripada purata global, kata Profesor Benjamin Horton dari City University of Hong Kong (CityUHK), yang juga dekan Sekolah Tenaga dan Alam Sekitarnya.
DARIPADA TAUFAN DAN PUTING BELIUNG HINGGA KE SUHU MENINGKAT
China telah menyaksikan peningkatan dari segi kekerapan dan intensiti kejadian cuaca dan iklim yang ekstrem.
Pada tahun 2025, 11 daripada 27 taufan yang terbentuk di barat laut Pasifik dan Laut China Selatan membadai China, lapor CMA.
Minggu lalu, Taufan Maysak melanda Hainan, sebuah pulau di selatan China - sebelum melanda Guangxi, yang mengalami kerosakan paling teruk.
Setakat 9 Julai, para pegawai tempatan mengesahkan bahawa taufan itu menyebabkan sekurang-kurangnya 39 orang terkorban, menurut laporan media rasmi China.
Dua puting beliung melanda beberapa kawasan di Hubei pada 6 Julai, menyebabkan sekurang-kurangnya 11 orang terkorban dan mencederakan ratusan yang lain.
Bencana itu turut disusuli beberapa insiden mencemaskan. Seorang lelaki berusia 30 tahun hanyut keluar dari apartmennya di bandar Huanggang sebelum dibawa ke hospital untuk menerima rawatan kecemasan.
Namun, para saintis berkata ribut ganas sedemikian hanyalah satu manifestasi trend yang lebih luas.
Cuaca panas terik dijangka melanda sebahagian negara itu bulan ini - manakala amaran risiko kesihatan akibat gelombang haba peringkat kebangsaan yang pertama tahun ini telah dikeluarkan pada 14 Julai.
Shanghai mencatatkan suhu 37 darjah Celsius pada 15 Julai manakala suhu di beberapa bahagian barat laut China dijangka meningkat setinggi 44 darjah Celsius, kata para pegawai.
Ramalan cuaca CMA menunjukkan suhu 37 hingga 38 darjah Celsius bakal melanda Chengdu, ibu kota Sichuan, minggu ini.
Gambar dan video yang dimuat naik ke Xiaohongshu menunjukkan sebahagian daripada laluan bawah tanah Metro Chengdu ditutup untuk membolehkan para penumpang berehat dan berlindung daripada cuaca panas dan kelembapan yang menyesakkan dada.
Di wilayah Shanxi pula, sebuah kompleks kediaman menggunakan sistem penyembur kabus tekanan tinggi, yang bertujuan untuk mengurangkan suhu permukaan sebanyak 5 hingga 8 darjah dalam tempoh beberapa minit.
Menurut Radio Kebangsaan China milik pemerintah, sistem itu dipasang pada tahun 2024 dan beroperasi sepanjang musim panas - meliputi kesemua lapan bangunan di kompleks itu.
Setiap bangunan dilengkapi dengan lebih 200 set muncung pengabus tekanan tinggi di bumbung - membolehkannya menghasilkan kabus yang kurangkan haba di udara sekeliling.
Shenzhen kini mengalami "kelembapan udara tinggi" dan pihak berkuasa bandar itu sedang memantau risiko serta kes strok haba.
Cuaca panas semasa boleh "meningkatkan risiko strok haba yang parah dengan ketara", kata pihak berkuasa, sambil menambah bahawa suhu yang semakin meningkat telah menjadikan kegiatan luar seperti mendaki bukit dan gunung tidak sesuai dijalankan.
Jabatan kecemasan menyatakan pasukannya telah memberi respons kepada hampir 40 panggilan bantuan antara 1 Julai hingga 12 Julai - daripada individu yang berisiko mengalami strok haba akibat cuaca panas yang membahang.
Dalam satu kenyataan yang dikongsi di WeChat, Pusat Perubatan Kecemasan Shenzhen melaporkan ia telah menerima 19 panggilan daripada individu yang mengalami strok haba pada 11 Julai.
SEMAK SEMULA MATLAMAT IKLIM CHINA
Semasa berucap di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada September lalu, Presiden Xi Jinping berkata negaranya merancang untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sebanyak 7 peratus hingga 10 peratus di bawah paras pelepasan puncaknya menjelang 2035.
China, yang sangat bergantung kepada arang batu, merupakan pengeluar gas rumah hijau terbesar di dunia, selepas mengatasi Amerika Syarikat pada 2006.
Pada 2021, ia menetapkan dua matlamat untuk mencapai pengeluaran karbon dioksida puncak menjelang 2030 dan mencapai sifar karbon menjelang 2060.
Di samping matlamat mengurangkan pelepasan gas rumah hijau, China juga merancang untuk meningkatkan penggunaan kuasa angin dan suria serta meningkatkan bahagian bahan api bukan fosil dalam penggunaan tenaga domestik kepada lebih 30 peratus, kata Encik Xi.
Negara itu juga boleh menangani peningkatan suhu dengan menambah baik kecekapan bangunan dan reka bentuk bandar - seperti menyediakan pusat penyejukan, bumbung hijau, hutan bandar dan penggunaan bahan yang memantulkan haba.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.