jelasBERITA: Dari mogok iklim ke flotila Gaza, siapakah aktivis muda Greta Thunberg?
Greta Thunberg. (Gambar: Greta Thunberg)
Beliau antara ratusan aktivis dan sukarelawan lain yang kapalnya dipintas dan kemudian diberkas. Beliau juga dilaporkan dianiaya oleh Israel semasa dalam tahanan.
Setelah dibebaskan pada 6 Oktober, ramai yang mahu tahu mengenai penganiayaan yang dialaminya. Sekalipun demikian, beliau enggan menceritakannya dan menekankan bahawa perhatian harus terus diberikan kepada isu kemanusiaan di Palestin dan bukan dirinya.
Siapakah anak muda ini? Bagaimana beliau mula melibatkan diri sebagai aktivis? Apakah yang diperjuangkannya?
SIAPA GRETA THUNBERG?
Thunberg yang berusia 22 tahun, bermula sebagai aktivis iklim.
Pada usia 11 tahun, Thunberg didiagnosis dengan Sindrom Asperger, yang termasuk dalam spektrum autisme.
Seseorang yang mengalami sindrom itu cenderung memberi tumpuan sepenuhnya kepada satu-satu idea atau minat, dan bagi Thunberg, kecenderungan itu adalah perubahan iklim, menurut Ensiklopedia Britannica.
BILAKAH BELIAU BERMULA SEBAGAI AKTIVIS?
Pada Ogos 2018, ketika berusia 15 tahun, Thunberg melancarkan mogok di luar Bangunan Parlimen Sweden dengan memegang sepanduk tertera “Skolstrejk för klimatet", yang menuntut negaranya agar mempersetujui Perjanjian Paris.
Ini mencetuskan ilham untuk beliau memulakan gerakan yang diberi nama 'Fridays for Future', iaitu mogok pada setiap Jumaat, yang menarik perhatian masyarakat antarabangsa.
APAKAH ANTARA KEMPEN BELIAU?
Thunberg secara konsisten menekankan agar penggunaan bahan api fosil dihentikan, mendesak para pemimpin dunia supaya melaksanakan dasar selaras dengan sains, dan melindungi generasi akan datang.
Antara kemunculan global beliau termasuk:
Davos 2019: Thunberg berucap kepada para pemimpin dunia di Forum Ekonomi Dunia (WEF), menggesa mereka supaya akur terhadap krisis iklim dan mendesak mereka supaya bertindak lebih pantas.
PBB 2019: Thunberg mengeluarkan kecaman yang penuh emosi dan mendalam terhadap para pemimpin dunia berhubung krisis iklim.
Antara ungkapan tegas dalam ucapan beliau yang menjadi tajuk berita berbunyi: "Anda keterlaluan! Anda sudah meragut impian saya dan zaman kanak-kanak saya..."
Suara dan perjuangan Thunberg diiktiraf beberapa kali, termasuk:
- Tokoh 2019 oleh majalah Time, yang mana beliau merupakan penerima termuda dalam sejarah.
- Salah sorang penerima Anugerah Right Livelihood Award 2019 atau lebih dikenali sebagai Hadiah Nobel Alternatif, kerana memberi inspirasi dan memperkuatkan tuntutan politik untuk tindakan iklim segera yang mencerminkan fakta saintifik.
- Amnesty International – Duta Kesedaran 2019 (bersama Fridays for Future).
- Hadiah Gulbenkian bagi Kemanusiaan 2020, yang mana €1 juta (S$1.5 juta) disalurkan kepada projek kemanusiaan/iklim melalui yayasannya.
Sejak hujung 2023, Thunberg semakin mengaitkan keadilan iklim dengan keadilan hak asasi, dengan mengangkat slogan “tiada keadilan iklim di tanah yang diduduki", lapor Euro News.
Apabila perang Gaza berlarutan, Thunberg menyertai inisiatif maritim ke Gaza sebagai tanda perpaduan kepada kemanusiaan. Beliau menegaskan bahawa keprihatinannya “melangkaui sektor iklim” hingga ke hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa.
BACA
Antara 1 hingga 3 Oktober 2025, semua kapal GSF dipintas di perairan antarabangsa dan ratusan aktivis ditahan. Israel kemudian mengusir sekumpulan besar peserta, termasuk Thunberg ke Athens, Greece.
Berdasarkan laporan media, sekurang-kurangnya tujuh penahanan/penangkapan dilakukan terhadap Thunberg sejak 2023, termasuk dua sabitan denda di Sweden:
Jerman, 17 Jan 2023 - ditahan sementara ketika tunjuk perasaan terhadap lombong arang batu. Namun beliau dibebaskan pada hari yang sama, lapor CBS News.
Norway, 1 Mac 2023 - dua kali ditahan polis pada hari yang sama dalam tunjuk perasaan sebagai tanda perpaduan terhadap penduduk peribumi yang tinggal di kawasan Sápmi, yang merangkumi bahagian utara Norway, Sweden, Finland, dan Rusia.
Sweden, 19 Jun & 24 Jul 2023 - dua kes “ingkar arahan polis” berakhir dengan denda oleh Mahkamah Daerah Malmö.
Belanda, 6 Apr 2024 - dua kali ditahan pada hari yang sama semasa sekatan A12, iaitu tunjuk perasaan berulang yang dianjurkan oleh kumpulan aktivis iklim di lebuh raya A12 di The Hague, Belanda.
Israel, 1 hingga 6 Okt 2025 - ditahan selepas flotila dipintas; kemudian diusir ke Athens.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.