Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

jelasBERITA: Berapa pentingkah rundingan Xi-Biden, dan apa maknanya bagi hubungan Amerika-China?

Anggaran Waktu Membaca:
jelasBERITA: Berapa pentingkah rundingan Xi-Biden, dan apa maknanya bagi hubungan Amerika-China?

Presiden Amerika Joe Biden bertemu Presiden China Xi Jinping. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 16 Nov 2023 08:43PM Dikemas Kini : 22 Nov 2023 12:27AM
SINGAPURA: Setahun dan sehari selepas Presiden China Xi Jinping dan rakan sejawatannya dari Amerika Syarikat Joe Biden kali terakhir bertemu secara bersemuka, kedua-dua pemimpin dua ekonomi terbesar dunia itu duduk bersama sekali lagi pada Khamis (16 Nov).

Perbincangan mereka selama empat jam di luar San Francisco, di mana forum Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) diadakan, berlaku di tengah-tengah hubungan yang kian mesra kini antara Beijing dengan Washington - dan sedang dunia bergelut dari segi ekonomi, perang di Timur Tengah dan Eropah, ketegangan serantau dan banyak lagi.

Presiden Biden kemudian mendedahkan "kemajuan sebenar" dibuat dalam "antara rundingan paling membina dan berdaya hasil" yang pernah diadakan bersama Presiden Xi, manakala media negara China menukil para pakar sebagai berkata "jangkaan kedua-dua pihak semakin diselaraskan".

Apa kemajuan utama yang dibuat?

Kata-kata aluan oleh Encik Biden dan Encik Xi "memberi satu harapan", kata Zhu Zhiqun, profesor hubungan antarabangsa dan sains politik di Universiti Bucknell di Amerika, kepada Mediacorp.

Kedua-dua pemimpin menarik perhatian bagaimana mereka pertama kali bertemu 12 tahun lalu sebagai naib presiden, dengan Encik Biden merujuk kepada "berjam-jam masa" yang diluangkan bersama dengan Encik Xi berkata beliau masih mengingati "interaksi dengan jelas" dan kedua-duanya menegaskan tanggungjawab mereka kepada dunia, dengan Encik Xi menambah bahawa China dan Amerika memikul tanggungjawab "berat" kepada kemajuan manusia dan sejarah.

Kedua-dua presiden juga mencapai apa yang disifatkan media negara China sebagai "sebilangan" perjanjian melibatkan isu-isu penting, termasuk:

Menyambung semula perhubungan ketenteraan yang diputuskan selepas Speaker Dewan pada waktu itu, Nancy Pelosi, melawat Taiwan pada Ogos 2022

Menyambung semula perhubungan peringkat tinggi di mana "setiap daripada mereka boleh menjawab panggilan secara langsung," kata Encik Biden.

Memberikan kerjasama berhubung kawalan dadah, dengan China bersetuju untuk mengawal penghasilan 'opioid fentanyl' iaitu punca utama dos berlebihan di Amerika.

Mengadakan lebih banyak dialog mengenai risiko dan isu keselamatan melibatkan kecerdasan buatan

Media negara China juga menyatakan komitmen dibuat bagi meningkatkan dengan "ketara" jumlah penerbangan antara kedua-dua negara pada awal 2024, dan untuk memajukan perkongsian dalam bidang "pendidikan, pelajar antarabangsa, belia, budaya, sukan, dan masyarakat perniagaan".

Sebelum ke San Francisco, Encik Biden berkata beliau menganggap rundingannya dengan Encik Xi sebagai satu kejayaan jika kedua-dua negara itu "kembali berunding seperti sedia kala".

Zoe Liu, felo bagi pengajian China di Majlis bagi Hubungan Luar, memberitahu Associated Press (AP) bahawa perjanjian itu "isyarat positif yang menandakan kedua-dua negara bertujuan untuk mencegah hubungan dua hala itu daripada menjadi lebih buruk".

Beliau juga berkata meskipun mereka tidak akan merubah "cabaran berstruktur" dalam hubungan Amerika-China, "ia membuka laluan bagi lebih banyak perbincangan peringkat kerja yang terperinci, yang juga lebih penting.

Rundingan pada Khamis adalah hasil rundingan menyeluruh antara penasihat Encik Biden dengan Encik Xi dalam usaha memperbaiki hubungan yang memburuk sejak mantan Presiden Amerika Donald Trump melancarkan perang dagangan pada 2018.

Ketegangan kian memuncak selepas lawatan Cik Pelosi ke Taiwan dan setelah Amerika menembak jatuh belon perisikan China pada bulan Februari, meskipun Encik Biden dan Xi bertemu di Bali.

"Kedua-dua pihak menjadi sangat bimbang tentang kemungkinan konflik itu berlaku," kata Prof Zhu, sambil merujuk kepada usaha untuk menyambung semula dialog peringkat tinggi sejak beberapa bulan lalu.

Pentadbiran Biden mengerahkan anggota kabinet termasuk Setiausaha Negara Antony Blinken dan Setiausaha Perbendaharaan Janet Yellen ke China, dengan China membalas dengan menghantar Menteri Luar Wang Yi, utusan perubahan iklim Xie Zhenhua dan Naib Perdana Menteri He Lifeng ke Amerika.

Kedua-dua Presiden Biden dan Presiden Xi juga bergelut dengan isu-isu domestik. Presiden Amerika sedang menyasarkan untuk dilantik semula dalam pilihan raya tahun depan namun kini ketinggalan di belakang Donald Trump mengikut tinjauan, sementara menangani pemerintah yang berpecah belah melibatkan pelbagai isu termasuk pelibatan Washington dalam perang di Ukraine dan Gaza.

Pemulihan China daripada pandemik pula dihambat ekonomi kian perlahan, penduduk semakin menua, hutang yang bertambah, kadar pengangguran yang meningkat dan pelaburan asing yang menguncup, antara lain.

"China memerlukan bantuan, mungkin daripada Amerika Syarikat, bagi memacu semula ekonominya," jelas Prof Zhu.

Apa lagi bagi China, Amerika dan negara lain di dunia?

Zhang Yang, penolong profesor di Sekolah Perkhidmatan Antarabangsa Universiti Amerika memberitahu AP bahawa secara simbolik, Presiden Xi juga mahu memberi isyarat kepada warga China bahawa Presiden Biden menghormatinya dan bahawa beliau mengendalikan hubungan mereka dengan baik.

Dalam sidang media solo selepas pertemuan mereka, Encik Biden berkata beliau berdiri teguh dengan pandangannya bahawa Encik Xi adalah seorang diktator "dari segi" Presiden China mengendalikan negara komunis "berdasarkan bentuk pemerintah yang berbeza" berbanding Amerika.

Rujukan serupa dibuat pada bulan Jun mencetuskan kemarahan dari Beijing, meskipun tidak ada tindak balas segera daripada rombongan China di San Francisco.

"Hubungan keseluruhan masih sangat sukar dan tegang disebabkan masalah berstruktur dan kekurangan kepercayaan bersama," kata Prof Zhu. Namun beliau masih "bersikap optimis secara berhati-hati" bahawa perkara masih dapat pulih sedikit selepas sidang puncak itu.

Pada Khamis, Presiden Xi dan Presiden Biden bagaimanapun kekal dengan pandangan berbeza berhubung isu Taiwan, dengan retorik yang tidak berganjak daripada pertikaian sebelum ini.

Para pegawai Amerika berkata kedua-dua pemimpin mempunyai pendirian yang "jelas" tentang pulau yang dituntut China.

Presiden Biden dilaporkan meminta Presiden Xi "menghormati" pilihan raya di Taiwan tahun depan, manakala Presiden Xi berkata China tiada rancangan untuk menceroboh dalam masa beberapa tahun akan datang.

Beliau juga memberitahu Presiden Biden bahawa penyatuan semula secara damai "tidak dapat dielakkan".
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan