jelasBERITA: Bagaimanakah fenomena El Nino boleh tingkat risiko jerebu rentas sempadan?
Bagi rakyat Malaysia Shobana Sritharan, memeriksa bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) setiap beberapa jam sejak dua minggu lalu sudah menjadi rutin.
Menara Kembar Petronas hampir tidak kelihatan dari Taman Tasik Titiwangsa di Kuala Lumpur akibat jerebu tebal yang melanda beberapa kawasan di Malaysia pada 27 Ogos 2026. (Gambar: CNA/Fadza Ishak)
- Gelombang jerebu rentas sempadan akibat kebakaran hutan di Indonesia menjejaskan kesihatan rakyat Malaysia, terutama di Lembah Klang, Sarawak dan Johor.
- Kementerian Pendidikan menutup lebih 100 sekolah dan melarang aktiviti luar apabila bacaan IPU meningkat, manakala Kementerian Kesihatan melaporkan lonjakan kes pernafasan dan asma.
- Fenomena El Nino dan amalan pembakaran terbuka memperburuk keadaan, dengan pakar menggesa kerjasama ASEAN dan undang-undang lebih tegas seperti Akta Udara Bersih.
- Orang ramai dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga seperti memakai pelitup dan menggunakan pembersih udara, sementara kerajaan menilai perubahan acara Hari Kebangsaan demi keselamatan.
Sedang gelombang baharu jerebu menyelubungi beberapa kawasan di Lembah Klang, beliau dan anak lelakinya yang berusia 12 tahun jatuh sakit minggu ini dengan gejala-gejala yang menyerupai selesema, selain sakit tekak dan batuk.
Selepas anaknya mengalami demam tidak lama selepas menyertai kegiatan luar di sekolah, Cik Shobana kini memilih untuk berlindung di dalam bangunan seberapa boleh sambil memantau keadaan jerebu yang berubah-ubah dari semasa ke semasa.
Namun, sebagai seorang pengguna pengangkutan awam, beliau masih perlu berjalan kaki dari stesen kereta api ke pejabatnya di Kuala Lumpur setiap hari.
"Kami sudah terbiasa dengan keadaan ini kerana (jerebu) berlaku setiap tahun, tetapi ia masih menyusahkan semua orang," kata penasihat pelajar berusia 41 tahun itu yang bertugas di sebuah pusat pembelajaran.
Ramai rakyat Malaysia lain turut berkongsi kekecewaan Cik Shobana sedang jerebu rentas sempadan yang tebal, didorong oleh kegiatan pembakaran hutan dan kebakaran di negara jiran Indonesia, dibawa angin merentasi rantau ini.
Pada Jumaat (28 Ogos), bacaan IPU di tiga kawasan di Sarawak serta di Lembah Klang melepasi 150, yang diklasifikasikan sebagai paras tidak sihat.
Minggu lalu, bacaan di beberapa kawasan di Sarawak melepasi 200, yang diklasifikasikan sebagai paras "sangat tidak sihat", sehingga memaksa sekolah-sekolah ditutup buat sementara waktu.
Jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil turut berkata kerajaan sedang menilai sama ada skala atau lokasi sambutan utama Hari Kebangsaan pada 31 Ogos perlu diubah disebabkan oleh keadaan jerebu. Beberapa kementerian sedang meneliti ramalan cuaca dan membincangkan langkah keselamatan yang mungkin diambil.
Beliau berkata tiada acara dijangka dibatalkan, namun sebahagiannya mungkin dipindahkan ke dalam bangunan. Sambutan di dalam bangunan turut disarankan.
"Ini juga bagi melindungi 1,500 pelajar sekolah menengah dari tiga negeri yang mengambil bahagian dalam persembahan formasi manusia," tambah Encik Fahmi.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bahkan mengadakan solat khas di tiga masjid pada Rabu malam (26 Ogos), memohon perlindungan bagi kesihatan rakyat.
Meskipun Malaysia merupakan antara negara paling teruk terjejas di Asia Tenggara setakat tahun ini, para pakar yang ditemui Mediacorp berkata penyelesaiannya memerlukan tekad politik bersama dalam kalangan negara anggota Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN).
"Menangani isu ini adalah demi kepentingan Indonesia sendiri, bukan sekadar isu yang menjejaskan negara-negara lain. Rakyat Indonesia lebih teruk terjejas disebabkan oleh kepekatan bahan pencemar jauh lebih tinggi di kawasan mereka," kata pakar meteorologi Universiti Malaya Azizan Abu Samah kepada Mediacorp.
"Isu ini merentasi sempadan dan usaha untuk menanganinya masih memerlukan kerjasama erat dalam kalangan negara ASEAN," tambah beliau.
KESAN TERHADAP MASYARAKAT
Jerebu, yang berlaku hampir setiap tahun di rantau ini semasa musim kering antara Jun hingga September, sering dikaitkan dengan kebakaran yang sengaja dicetuskan untuk membersihkan tanah bagi kegiatan pertanian di Indonesia, lazimnya untuk ladang kelapa sawit serta peladangan pulpa dan kertas.
Pusat Meteorologi Khusus ASEAN (ASMC) menyatakan kesan jerebu rentas sempadan, yang diburukkan lagi oleh cuaca kering berpanjangan akibat fenomena El Nino, dijangka memburukkan keadaan dan menyebabkan lebih banyak tapak kebakaran muncul dalam masa beberapa minggu akan datang.
Kesan jerebu tahun ini terhadap rakyat Malaysia juga sudah dirasakan secara meluas berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Sekolah-sekolah mengalami gangguan paling ketara, dengan lebih 100 sekolah ditutup buat sementara waktu di Sarawak selepas bacaan IPU melangkaui 200 di kawasan-kawasan tersebut minggu lalu.
Selain penutupan sementara yang menjejas hampir 200,000 pelajar, Kementerian Pendidikan pada Isnin turut mengarahkan agar semua kegiatan luar, perhimpunan dan sukan luar dihentikan di sekolah-sekolah yang mencatatkan IPU melebihi 100. Sesetengah acara sukan sekolah turut dipindahkan ke dalam bangunan atau ke lokasi lain.
"Kegiatan fizikal yang berat boleh meningkatkan risiko kesihatan akibat jerebu. Ini kerana ketika melakukan kegiatan fizikal yang lasak, kadar pernafasan meningkat dengan ketara, menyebabkan jumlah udara tercemar akibat jerebu meningkat sehingga 10 kali ganda berbanding ketika berehat," menurut Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan.
Keadaan tersebut menyebabkan pertandingan hoki peringkat kebangsaan bagi para pelajar sekolah dipindahkan dari Kuala Lumpur ke Temerloh, Pahang, lebih 130 kilometer jauhnya, di mana keadaan jerebu tidak begitu teruk.
Format kejohanan tersebut juga terpaksa diubah kepada hoki dengan sembilan orang pemain setiap pasukan, manakala tempoh perlawanan juga dipendekkan kepada 15 minit berbanding 60 minit seperti biasa.
Seorang bapa peserta yang hanya mahu dikenali sebagai Kelvin memberitahu Mediacorp bahawa keputusan pada saat-saat akhir itu mengecewakan kerana tanda-tanda keadaan jerebu yang semakin memburuk sudah kelihatan sejak beberapa hari sebelumnya.
"Mereka boleh menangguhkan pertandingan itu ke tarikh lain. Banyak kos yang terlibat kerana sesetengah ibu bapa perlu melakukan perjalanan ke luar bandar dan bas tambahan pula perlu ditempah untuk para pemain," kata beliau.
Encik Kelvin menambah, dengan tempoh perlawanan dipendekkan, para pemain juga mungkin kecewa kerana tidak berpeluang untuk bermain secukupnya.
Kementerian Kesihatan Malaysia turut mencatatkan lonjakan kes jangkitan saluran pernafasan atas (URTI) dan asma (semput) sepanjang minggu lalu.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu, kementerian tersebut melaporkan peningkatan mendadak kes berkaitan kesihatan. Kes jangkitan saluran pernafasan atas (URTI) melonjak 124.4 peratus daripada 1,637 kes kepada 3,674 kes pada minggu berikutnya, manakala kes asma meningkat 259 peratus daripada 61 kepada 219 kes dalam tempoh yang sama.
Klinik-klinik turut mencatatkan peningkatan jumlah pesakit yang mengalami masalah pernafasan sejak beberapa hari kebelakangan ini, termasuk di Johor, di mana lima daerah mencatatkan paras IPU tidak sihat minggu ini.
Klinik dan Pembedahan ATS di Johor Bahru memberitahu Mediacorp bahawa jumlah kes meningkat antara 20 hingga 30 peratus sepanjang minggu lalu.
Ketua doktor di klinik tersebut, A R Leenah Devi, berkata 80 peratus pesakitnya sepanjang minggu lalu datang dengan gejala "batuk dan selesema", selaras dengan masalah saluran pernafasan atas yang bertambah buruk akibat jerebu.
"Jerebu juga memburukkan keadaan mereka yang sudah dijangkiti virus – ia menyebabkan gejala menjadi lebih teruk," menurut beliau kepada Mediacorp.
Farmasi turut mencatatkan peningkatan permintaan dan pertanyaan berhubung pelitup, alat pembersih udara dan suplemen untuk meningkatkan daya tahan paru-paru.
Pengurus farmasi Health Lane di Johor Bahru, Chan Zuo En, memberitahu Mediacorp bahawa cawangan tersebut baru-baru ini terpaksa menambah stok pelitup N95 berikutan peningkatan pembelian sepanjang minggu lalu.
"Stok kami belum berkurangan seperti yang berlaku semasa COVID-19, tetapi saya rasa permintaan mungkin meningkat dalam masa beberapa minggu akan datang sekiranya jerebu bertambah buruk," tambah beliau.
MENGAPA EL NINO MEMBURUKKAN LAGI JEREBU
Meskipun jerebu rentas sempadan merupakan satu masalah berulang setiap tahun, para pakar memberi amaran bahawa fenomena El Nino akan memburukkan lagi krisis jerebu pada tahun ini.
Ini bermakna keadaan di Malaysia dan negara-negara lain di rantau ini berkemungkinan menjadi lebih buruk tahun ini.
El Nino merupakan fenomena iklim yang dicirikan oleh peningkatan suhu permukaan laut di bahagian tengah dan timur Lautan Pasifik, sekali gus mengubah corak cuaca global dengan ketara.
Profesor Madya Politik Alam Sekitar Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Helena Varkkey memberitahu Mediacorp bahawa jerebu biasanya berlaku semasa musim kering setiap tahun, dengan kebakaran yang meletus menjadi lebih buruk akibat keadaan yang lebih panas dan kering.
"Namun tahun ini, ia berkemungkinan menjadi 'Super El Nino', yang bermakna keadaan akan menjadi lebih panas dan kering, sebab itulah jerebu tahun ini mungkin menjadi lebih teruk, seperti yang berlaku pada 2015 dan 1997," kata beliau.
Encik Azizan berkata angin monsun barat daya yang kuat boleh menyebabkan asap daripada kebakaran di Indonesia dibawa ke Kuala Lumpur dan Singapura.
"Isu ini berulang setiap tahun; bezanya dengan El Nino ialah keadaannya menjadi jauh lebih teruk. Ketika keadaan neutral tanpa El Nino, tanah tidak begitu kering, jadi kebakaran tidak mudah merebak di luar kawalan," kata beliau.
Menurut Encik Azizan, pembakaran terbuka sudah lama menjadi amalan dan sering dianggap sebagai sebahagian daripada kitaran pertanian serta kaedah paling murah untuk membersihkan tanah di seluruh ASEAN, khususnya di Indonesia.
"Penggunaan api merupakan kaedah yang lebih murah dan mudah untuk membersihkan tanah bagi tanaman, khususnya kelapa sawit," menurut laporan berkenaan.
Kebakaran yang semakin teruk kali ini sudah pun dikesan oleh badan-badan pemantau serantau.
Menurut ASMC, keadaan tapak kebakaran dan asap jerebu di selatan rantau ASEAN merosot dengan ketara di tengah-tengah keadaan kering yang berpanjangan.
Dalam amaran Tahap 3 – tahap tertinggi – yang dimuat naik ke laman webnya pada 26 Ogos, ASMC menyatakan, pemantauan satelit menunjukkan asap jerebu sederhana hingga tebal yang meluas, yang berpunca daripada kelompok tapak kebakaran di Kalimantan dan Sumatra, Indonesia.
Sebanyak 287 dan 190 tapak kebakaran dikesan di Kalimantan, manakala 65 dan 81 tapak kebakaran dikesan di Sumatra, masing-masing pada 24 dan 25 Ogos.
"Keadaan kering diramal berterusan di sebahagian besar selatan rantau ASEAN. Ditambah dengan keadaan El Nino yang diramalkan dalam masa beberapa bulan akan datang, keadaan tapak kebakaran dan asap jerebu boleh bertambah buruk, sekali gus meningkatkan risiko berlaku
jerebu rentas sempadan yang dahsyat di selatan rantau ASEAN," menurut ASMC.
APA YANG BOLEH DILAKUKAN?
Para pakar memberitahu Mediacorp bahawa negara-negara anggota ASEAN perlu menilai semula kerjasama di bawah perjanjian sedia ada mengenai jerebu rentas sempadan bagi memastikan kebakaran hutan dan pencemaran asap serantau dapat dikurangkan atau dicegah.
Fredolin Tangang dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memberitahu Mediacorp bahawa pihak berkuasa relevan di negara masing-masing dilihat lebih banyak mengambil tindakan selepas masalah berlaku dan bukannya melaksanakan langkah-langkah pencegahan.
"Setiap musim El Nino boleh diramalkan sekurang-kurangnya enam bulan lebih awal. Kita mempunyai pemahaman yang baik tentang bagaimana El Nino berkembang dan bagaimana ia memberi kesan kepada rantau ini," kata beliau.
"Enam bulan adalah tempoh yang cukup panjang bagi pihak berkuasa untuk merancang dan memperkukuh kerjasama dalam mencegah kebakaran hutan dan jerebu," tambah beliau selanjutnya.
Dari sudut ASEAN, Prof Madya Varkkey berkata meskipun blok itu mempunyai mekanisme bantuan serantau bagi memudahkan usaha memadam kebakaran dan bantuan kecemasan lain dari negara-negara jiran, bantuan tersebut hanya boleh dikerahkan atas permintaan atau dengan persetujuan negara yang terjejas. Syarat tersebut dinyatakan secara jelas dalam perjanjian ASEAN berhubung jerebu yang dimeterai pada 2002.
"Apabila berlaku jerebu, bantuan dari negara-negara jiran seharusnya dapat dikerahkan dengan segera berdasarkan garis panduan yang dipersetujui lebih awal, tanpa perlu menunggu kelulusan diplomatik," kata beliau.
Khusus bagi Malaysia, kumpulan alam sekitar Greenpeace menggesa Putrajaya supaya menggubal Akta Udara Bersih yang menyeluruh bagi menangani pencemaran udara rentas sempadan.
Menurutnya, undang-undang sedemikian boleh memastikan rakyat dan syarikat-syarikat Malaysia dipertanggungjawabkan sekiranya operasi mereka di luar negara menyumbang kepada pencemaran udara dan jerebu.
Singapura menggubal Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan pada 2014, yang menjadikan perbuatan menyebabkan atau menyumbang kepada sebarang pencemaran udara dan jerebu di Singapura sebagai satu kesalahan.
Undang-undang tersebut membolehkan para individu dan pertubuhan-pertubuhan di Singapura menyaman pihak yang bertanggungjawab terhadap pencemaran tersebut sekiranya ia menyebabkan mereka mengalami kerugian ekonomi.
"Malaysia sebelum ini sudah mengakui bahawa undang-undang alam sekitar rentas sempadan boleh dilaksanakan. Peluang yang ada sekarang adalah untuk membinanya berdasarkan pengiktirafan tersebut dan mengambil langkah-langkah yang diperlukan bagi merealisasikannya," kata wakil Greenpeace di Malaysia Heng Kiah Chun dalam satu surat terbuka baru-baru ini kepada Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Arthur Joseph Kurup.
Kabinet Malaysia pada Februari 2020 bersetuju secara prinsip untuk memperkenalkan Akta Jerebu Rentas Sempadan, namun cadangan itu kemudiannya diketepikan selepas berlaku pertukaran kerajaan.
Pada peringkat individu, orang ramai perlu mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengurangkan kesan jerebu terhadap diri mereka, kata Devi, doktor yang berpangkalan di Johor Bahru.
Beliau berkata isi rumah boleh menimbangkan penggunaan alat pembersih udara memandangkan jerebu menyebabkan udara menjadi kering, selain memakai pelitup apabila berada di luar sekiranya bacaan IPU berada pada paras tinggi.
"Cuba hirup udara bersih ketika berada di dalam bangunan dan (ambil langkah berjaga-jaga) apabila keluar – itulah nasihat terbaik saya," kata Dr Devi.
Namun, memakai pelitup di luar selama beberapa jam mungkin tidak selesa atau praktikal, terutamanya dalam cuaca panas dan lembap.
Peniaga makanan Asiah Wan, 63 tahun, memberitahu Mediacorp bahawa memakai pelitup membuatkannya berasa tidak selesa, tetapi menanggalkannya pula menyebabkan beliau terpaksa menghirup udara yang berjerebu sepanjang minggu lalu.
"Sama ada memakai pelitup atau tidak, saya semakin sukar bernafas. Mata saya juga terasa semakin berat," kata beliau sambil menambah bahawa perniagaannya turut menjadi lebih hambar sejak beberapa hari kebelakangan ini.
Penjual pisang goreng dari Bagan Serai, Perak itu sedia maklum bahawa jerebu tersebut berpunca daripada kebakaran di Indonesia dan berharap keadaan itu dapat dikurangkan.
"Saya berasal dari kawasan penanaman padi dan di sana, kami memang dilarang membersihkan tanah menggunakan api kerana keadaan akan menjadi gelap dan berasap. Saya berharap mereka di Indonesia juga dapat melakukan perkara yang sama kerana tindakan mereka turut menjejaskan orang lain," kata Cik Asiah Wan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.