Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

jelasBERITA: Bagaimana waran tangkap ICC akan jejas ketua junta Myanmar?

Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mungkin akan mengeluarkan waran tangkap terhadap ketua junta Myanmar Min Aung Hlaing, beberapa tahun selepas beliau memimpin kempen ketenteraan terhadap golongan minoriti Rohingya.

Anggaran Waktu Membaca:
 jelasBERITA: Bagaimana waran tangkap ICC akan jejas ketua junta Myanmar?

(Gambar: AFP)

Diterbitkan : 28 Nov 2024 11:01PM Dikemas Kini : 28 Nov 2024 11:03PM
BANGKOK: Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mungkin akan mengeluarkan waran tangkap terhadap ketua junta Myanmar Min Aung Hlaing, beberapa tahun selepas beliau memimpin kempen ketenteraan terhadap golongan minoriti Rohingya.

Min Aung Hlaing adalah panglima angkatan tentera Myanmar apabila pihak tentera melancarkan tindakan keras pada 2017 menyusuli apa yang ia katakan adalah serangan oleh kumpulan pemberontak Rohingya di wilayah Rakhine.

Sekitar 750,000 golongan Rohingya melarikan diri ke negara jiran Bangladesh setelah diancam untuk dirogol, dibunuh atau dibakar di Myanmar.

Ketua pendakwa ICC Karim Khan berkata pada Rabu (27 Nov) terdapat sebab-sebab munasabah untuk percaya bahawa Min Aung Hlaing "bertanggungjawab terhadap jenayah yang dilakukan ke atas kemanusiaan" semasa tindakan keras itu.

Menyusuli permohonan Encik Khan agar para hakim meluluskan waran tangkap bagi ketua junta itu, AFP merungkai kes ICC dan apa kesannya bagi Myanmar.

SIAPAKAH MIN AUNG HLAING?

Min Aung Hlaing adalah panglima angkatan bersenjata di bawah pemerintah pentadbiran Aung San Suu Kyi yang diguling dalam rampasan kuasa pada 2021 yang diterajui olehnya.

Rampasan kuasa tentera itu meletakkan Myanmar dalam krisis dan tercetusnya perang sivil sejak itu.

Selepas berlaku rampasan kuasa, ketua junta Myanmar itu hanya memberikan beberapa temu bual kepada media China dan Rusia.

Wajahnya kerap terpampang di muka hadapan akhbar tempatan di Myanmar, memeriksa projek-projek kemudahan, menasihati para petani supaya menanam lebih banyak tanaman dan mengagihkan wang tunai dan makanan kepada askar-askar yang cedera.

MENGAPA SEKARANG?

Encik Khan berkata permohonannya itu menyusuli "tumpuan diperbaharui" terhadap siasatan mahkamah, yang dilancarkan pada 2019.

Sebilangan penganalisis berkata pengumuman itu dibuat beberapa hari selepas ICC mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu, mantan menteri pertahanannya dan ketua tentera Hamas.

"Terdapat kemudahan politik dalam keputusan pendakwa itu, menggunakan Rohingya supaya kelihatan adil," kata penganalisis bebas Myanmar David Mathieson.

Presiden Rusia Vladimir Putin - seorang sekutu junta Myanmar - berada di bawah waran tangkap ICC sejak Mac 2023.

ADAKAH MIN AUNG HLAING AKAN DITANGKAP?

Jika waran tangkap itu diluluskan, kesemua 124 anggota ICC perlu menangkap ketua junta itu jika beliau ke negara mereka.

Junta Myanmar bagaimanapun menyatakan "kenyataan ICC tidak pernah diiktiraf" oleh Myanmar, yang bukan seorang negara anggota.

Jeneral Min Aung Hlaing mengadakan lawatan ke Indonesia bagi menghadiri sidang puncak serantau tidak lama selepas melakukan rampasan kuasa, namun sejak kebelakangan ini beliau jarang sekali ke luar negara.

Sejak itu, beliau dilaporkan hanya melakukan lawatan luar negara ke negara-negara sekutu dan pembekal senjata iaitu China dan Rusia - di mana kedua-duanya juga bukan negara anggota ICC.

Waran tangkap ICC di Rusia boleh dianggap sebagai satu pencapaian, kata Richard Horsey dari International Crisis Group.

"Terutama sekali dengan Putin, ia dapat meningkatkan lagi hubungan mereka."

APAKAH KESANNYA TERHADAP MYANMAR?

"Golongan Rohingya telah lama menantikan saat ini," kata Senoara Khatun, seorang guru sekolah masyarakat di sebuah kem pelarian di Bangladesh.

"Saya harap setiap penjenayah akan diheret ke muka pengadilan oleh ICC di bawah undang-undang ini."

Ketika junta Myanmar berusaha menghapuskan penentangan terhadap pemerintahannya, kumpulan hak asasi manusia menyatakan ia membakar rumah-rumah kampung, melakukan pembunuhan sewenang-wenangnya dan menggunakan jet pejuang dan peluru untuk menyerang masyarakat yang disyaki menentang pentadbirannya.

Justeru sebarang waran tangkap "tentu sekali tidak akan mengubah tingkah laku anggota junta di lapangan", kata Encik Horsey.
Sumber : AFP/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan