Skip to main content

Dunia

jelasBERITA: Bagaimana tunjuk perasaan Bangladesh sebabkan PM Hasina lari, letak jawatan?

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Keadaan politik tidak menentu membelenggu Bangladesh selepas Perdana Menteri Sheikh Hasina meletak jawatan dan melarikan diri dari negara itu menyusuli rusuhan berminggu-minggu lamanya, sekali gus mengakhiri pemerintahan beliau selama 15 tahun.

Pada Isnin (5 Ogos), ratusan penunjuk perasaan menyerbu dan memasuki Istana Perdana Menteri yang merupakan kediaman rasmi PM Hasina di ibu kota Dhaka.

Para penunjuk perasaan juga merobohkan patung bapa PM Hasina, Sheikh Mujibur Rahman, pengasas Bangladesh. Sementara itu, yang lain membakar sebuah muzium yang didedikasikan kepada Sheikh Mujibur Rahman.

Lebih 300 orang sudah terbunuh sejak tunjuk perasaan itu bermula. Ribuan orang juga sudah diberkas.

Presiden Bangladesh Mohammed Shahabuddin pada lewat Isnin mengarahkan pembebasan para tahanan tunjuk perasaan tersebut serta mantan perdana menteri dan pemimpin utama pembangkan Khaleda Zia, 78 tahun.

Tentera negara itu menyatakan pihaknya akan mewujudkan sebuah pemerintah sementara. Gerakan penuntut yang memulakan semua ini menyatakan ia akan menyarankan rangka bagi pemerintah sementara itu.

MENGAPA TERCETUS TUNJUK PERASAAN?

Pada Jun, Mahkamah Tinggi Bangladesh mengembalikan kuota yang memperuntukan 30 peratus pekerjaan dalam pemerintah untuk anak-anak veteran perang kemerdekaan 1971 Bangladesh.

Keputusan itu dibuat selepas sekumpulan saudara mara veteran memfailkan petisyen bertulis menggesa mahkamah supaya mengembalikan kuota tersebut.

Kuota itu sebelum ini dilaksanakan namun dibatalkan oleh pemerintah sebagai respons kepada tunjuk perasaan besar-besaran penuntut pada 2018.

Lagi 26 peratus pekerjaan dipertuntukkan untuk wanita, orang kurang upaya serta etnik minoriti.

Ini bermakna hanya berbaki 3,000 pekerjaan yang perlu direbut oleh 400,000 lulusan pengajian tinggi dalam peperiksaan perkhidmatan awam di negara di mana isu pengangguran berleluasa.

Perangkaan terbaharu yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa Bangladesh pada Mei menunjukkan sekitar 2.6 juta individu menganggur.

Para penuntut mula membantah keputusan mahkamah itu, dengan berhujah bahawa sistem kuota tersebut adalah bersifat diskriminasi dan hanya memberi manfaat kepada para penyokong parti Liga Awami PM Hasina, yang menerajui gerakan kemerdekaan.

MENGAPA TUNJUK PERASAAN ITU MAKIN MEMBURUK?

Meskipun tunjuk perasaan itu pada awalnya diadakan secara aman, ia berubah menjadi ganas setelah pegawai keselamatan dan aktivis penyokong pemerintah menyembur gas pemedih mata serta melancarkan peluru getah.

Perhimpunan yang diadakan di merata negara itu semakin besar dan 'panas' setelah PM Hasina menyifatkan para penunjuk perasaan sebagai "razakars", yang merujuk kepada orang-orang yang bekerjasama dengan Pakistan semasa perang 1971.

PM Hasina menyampaikan ucapan kepada negara dan mengumumkan satu siasatan akan dijalankan selepas ada yang maut menyusuli pertempuran yang berlaku. Pemerintah kemudian menyekat internet, sekaligus melaksanakan sekatan komunikasi.

Menurut polis, para penunjuk perasaan merosakkan harta benda awam dan membakar bangunan-bangunan pemerintah, termasuk stesen televisyen negara.

Pada 19 Julai, pemerintah mengenakan tempoh berkurung dengan arahan tembak jika dilihat di luar. Sekalipun demikian, para penuntut tidak mengendahkan arahan tersebut.

Di tengah-tengah tunjuk perasaan, tempoh berkurung dan sekatan internet, Mahkamah Tinggi pada 21 Julai mengeluarkan arahan untuk mengurangkan kuota daripada 30 peratus kepada lima peratus. Ini bermakna 95 peratus pekerjaan akan dibuka kepada para calon berdasarkan merit.

Sungguhpun demikian, tunjuk perasaan itu berterusan sedang para penuntut dan rakyat lain berhimpun dengan tujuan baharu, iaitu menggesa PM Hasina meletak jawatan.

APA YANG MENYEBABKAN PM HASINA LETAK JAWATAN?

Profesor Greg Barton, pengerusi politik Islam global di Universiti Deakin berkata pemerintahan PM Hasina selama 15 tahun dicalari kebimbangan mengenai penipuan pilihan raya, rasuah, nepotisme dan penindasan autoritarian.

"Secara amnya, seperti ada kemunduran demokrasi. Jadi terdapat banyak punca kemarahan yang sudah berakar umbi, dan kuota perkhidmatan awam itu hanyalah salah satu daripadanya," kata beliau.

Menurut Encik Barton, "tidak mengejutkan" apabila PM Hasina "pada akhirnya terpaksa meletak jawatan", tetapi memandangkan beliau memulakan penggal keempat berturut-turut awal tahun ini, peletakan jawatan itu masih belum pasti.

Nusrat Chowdhury, profesor madya antropologi dan sosiologi di Kolej Amherst, berkata jelas kepada para pemerhati dan penduduk bahawa keadaan tidak boleh kembali seperti dahulu.

Ini disebabkan keganasan yang sudah membelenggu negara itu sejak dua minggu lalu, selain "cara pemerintah yang dilihat seperti tidak kena dengan apa yang dimahukan oleh para penunjuk perasaan", kata beliau.

"Dalam masa yang sama, saya rasa ramai daripada kita terkejut dengan perkembangan pantas keadaan ini," tambah Cik Nusrat.

Dengan gerakan kuota disifatkan sebagai "pencetus kebangkitan", beliau menarik perhatian bahawa sejarah panjang serta "kesan kumulatif rasa tidak puas hati dan marah" dilauhkan menerusi tunjuk perasaan baru-baru ini.

APA YANG KAN BERLAKU SETERUSNYA?

Tentera negara itu, yang akan membentuk sebuah pemerintah sementara, dilihat sebagai sebuah institusi tidak berpihak dan hanya mempunyai bidang kuasa kecil, menurut Cik Nusrat.

"Maka akan sangat sukar untuk tentera atau mana-mana parti pembangkang merampas gerakan tersebut," kata beliau, sambil merujuk kepada kesungguhan dan komitmen para penuntut yang tetap datang untuk tunjuk perasaan walaupun ditembak.

"Jika ia kepercayai yang diletakkan oleh para penunjuk perasaan di Bangladesh ke atas tentera, ia hanyalah sementara, dan mereka akan memantau rapi tindakan (tentera)."

Mubashar Hasan, seorang pengkaji di Universiti Oslo di Norway berkata, "agak jelas" bahawa para penuntut tidak akan memandang tinggi pemerintahan tentera, memandangkan salah satu punca utama bagi keadaan di Bangladesh sekarang adalah kerana PM Hasina sudah mewujudkan "pemerintahan yang perlahan-lahan menghakis prinsip-prinsip demokrasi dan institusi tanpa sebarang tindakan kuku besi yang jelas atau segera di negara itu".

"Jelas, para penuntut ragu tentang sebuah pemerintah sementara tentera, kerana ia tidak berkemungkinan berbeza daripada gaya pemerintahan autoritarian," kata beliau.

"Pada masa yang sama, rundingan adalah kunci."

Sekalipun demikian, pemerintahan tetap tentera adalah "satu kemungkinan" dan berisiko, kata Encik Barton.

"Sebaik sahaja euforia tentang apa yang berlaku berlalu, rakyat akan mula bimbang tentang perkara itu," kata beliau.

Menyifatkan Bangladesh sebagai "kisah kejayaan luar biasa pembangunan", Encik Barton menambah: "Harapnya pihak tentera menyedari bahawa mereka harus menjadi sebahagian daripada kejayaan itu, daripada dipersalahkan kerana mengancam kejayaan tersebut, namun perlu ada struktur baharu dilaksanakan."

Jika para penuntut tidak menerima pemerintahan tentera, sebuah pemerintahan awam boleh, dengan sokongan tentera, bertindak sebagai pemerintah sementara dan mengadakan pilihan raya yang bebas dan asil, kata Encik Hasan. Beliau menarik perhatian bahawa Bangladesh pernah ada pengalaman dengan sistem sedemikian.

Pada mulanya, banyak harapan ditumpukan kepada mantan perdana menteri Zia, dan rakyat akan mengharapkan kepimpinan beliau, kata Encik Barton.

"Semoga, dengan pembebasan seorang pemimpin penting ini, dan juga tahanan politik lain atau orang-orang yang ditahan atas pertuduhan politik, akan membuka proses bagai pertandingan politik dan keterbukaan," tambah beliau.
Sumber : CNA/NK/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita