Skip to main content

Dunia

jelasBERITA: Bagaimana perang Iran ubah laluan laut dunia hingga jadikan Afrika hab utama?

Anggaran Waktu Membaca:
 jelasBERITA: Bagaimana perang Iran ubah laluan laut dunia hingga jadikan Afrika hab utama?

Kontena di Terminal Kontena di pelabuhan Cape Town, 23 Apr 2026. (Gambar fail: Reuters/Esa Alexander)

Diterbitkan : 01 May 2026 04:30PM Dikemas Kini : 01 May 2026 04:33PM
PARIS: Penutupan Selat Hormuz serta ketegangan di Laut Merah kini mengubah laluan perdagangan dunia, dengan Afrika menjadi hab utama trafik kapal kontena global, menurut sumber logistik dan maritim.

Sepanjang dua bulan lalu, sekatan tersebut juga memaksa para pemilik kapal mencari koridor darat alternatif untuk menghantar bekalan makanan dan barangan menggunakan lori, memandangkan mereka tidak lagi dapat sampai ke negara-negara Teluk melalui jalan laut.

APAKAH LALUAN ALTERNATIF UNTUK PENGHANTARAN KE NEGARA TELUK?

Pelabuhan Jeddah di Arab Saudi yang terletak di Laut Merah kini menjadi "hab" serantau baharu, di mana kapal-kapal daripada gergasi maritim seperti MSC, CMA CGM, Maersk, dan Cosco tiba melalui Terusan Suez.

Kargo tersebut kemudian dipunggah menggunakan lori melalui lebuh raya padang pasir untuk dihantar ke tempat-tempat seperti Sharjah, Bahrain, dan Kuwait, yang tidak dapat dilalui menerusi jalan laut sejak dua bulan lalu.

"Pelabuhan Jeddah tidak mempunyai kapasiti yang mencukupi untuk mengendalikan jumlah import sebesar itu dan kesesakan pelabuhan memburukkan lagi keadaan," kata Arthur Barillas de The, pengasas bersama syarikat penghantaran Ovrsea kepada AFP.

Menurut data daripada Kpler Marine Traffic, sebanyak 11 kapal kontena berlabuh di Jeddah pada Khamis (30 Apr), dengan sembilan lagi sedang menunggu, dengan purata waktu menunggu selama 36 jam sebelum punggahan berbanding 17 jam pada minggu sebelumnya.

Pemilik kapal menyatakan mereka akan menggunakan tiga pelabuhan di luar Selat Hormuz, iaitu Sohar di Oman, serta pelabuhan Khorfakkan dan Fujairah di Amiriah Arab Bersatu (UAE), yang dihubungkan melalui jalan darat dari Amiriah Arab Bersatu.

Pelabuhan Aqaba di Jordan pula berfungsi sebagai pangkalan untuk menghantar barangan ke Baghdad dan Basra di Iraq, manakala koridor Turki juga membolehkan barangan masuk ke utara Iraq.

BAGI LALUAN ANTARABANGSA, MENGAPA KAPAL KONTENA ASIA-EROPAH ELAK TERUSAN SUEZ?

Situasi ini sudah bermula jauh sebelum perang di Iran tetapi sangat berkait rapat dengan konflik tersebut.

Tindakan mengelakkan Laut Merah dari Selat Bab al-Mandeb ke Terusan Suez bermula sejak 19 November 2023, menyusuli serangan pertama ke atas kapal kontena oleh Houthi yang disokong Iran dari pantai Yaman, lapor CyclOpe, sebuah penerbitan pakar komoditi.

Laluan lencongan kapal kini sudah menjadi sistematik, kata Ronan Boudet, ketua risikan kontena di Kpler.

Kapal-kapal kini mengelilingi Afrika dengan menyusuri pantai timurnya sehingga ke Cape of Good Hope di selatan Afrika Selatan sebelum menghala ke utara menuju ke Eropah dan Mediterranean.

"Dengan situasi semasa di Teluk, keadaan tidak akan pulih dalam masa terdekat," kata Edouard Louis-Dreyfus, pengerusi gergasi perkapalan Perancis, Louis Dreyfus Armateurs, kepada AFP.

"Hari ini, 70 peratus daripada trafik muatan laut yang melalui Laut Merah pada 2023 sudah dilencongkan melalui Cape of Good Hope," tambah Yves Guillo, pakar rantaian bekalan di Efeso, sebuah firma perunding di Paris.

Menurut data daripada platform PortWatch Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) berdasarkan isyarat GPS kapal, trafik kapal komersial melalui Cape of Good Hope meningkat lebih tiga kali ganda dalam tempoh tiga tahun, manakala trafik melalui Selat Bab al-Mandeb merosot lebih separuh.

Antara 1 Mac hingga 24 April tahun ini, purata 20 kapal komersial mengelilingi Cape of Good Hope setiap hari berbanding hanya enam dalam tempoh yang sama pada 2023.

Sebagai perbandingan, trafik di Laut Merah menjunam, daripada 18 transit sehari melalui Bab al-Mandeb antara Mac dan April 2023, puratanya jatuh kepada hanya lima kapal tiga tahun kemudian.

APAKAH KESANNYA?

Masa pengangkutan antara Asia dan Eropah meningkat secara purata selama dua minggu dan kos juga melonjak kerana memerlukan 30 hingga 50 peratus lebih banyak bahan api serta 10 hingga 20 peratus lebih banyak kapal bagi memastikan kekerapan perkhidmatan yang sama, kata Encik Guillo.

Purata harga untuk mengangkut kontena standard 40 kaki bagi laluan perkapalan utama meningkat sebanyak 14 peratus pada April berbanding tempoh yang sama setahun lalu, tambahnya, sambil memetik perubahan pada indeks Drewry.

Terdapat perbezaan besar antara laluan: beberapa pelabuhan di Afrika menyaksikan peningkatan aktiviti. Penguasa Pelabuhan Tanger Med menyatakan ia mengendalikan 11 juta kontena standard pada 2025, naik 8.4 peratus.

Namun, Mesir kehilangan hasil tol daripada Terusan Suez, yang merupakan sebahagian besar pendapatannya. Menurut CyclOpe, pada 2024 ia mengalami kerugian AS$7 bilion (S$8.9 bilion), iaitu penurunan lebih 60 peratus berbanding 2023.
Sumber : Reuters/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita