Skip to main content

Dunia

jelasBERITA: Bagaimana label ancaman keselamatan negara cetuskan semula perbahasan LGBTQ di Indonesia

Anggaran Waktu Membaca:
jelasBERITA: Bagaimana label ancaman keselamatan negara cetuskan semula perbahasan LGBTQ di Indonesia

Seorang penjaja jalanan berjalan melepasi sepanduk bertulis 'Darurat LGBT Indonesia' di hadapan sebuah masjid di Jakarta, Indonesia, 25 Januari 2018. (Gambar: REUTERS/Beawiharta)

Diterbitkan : 21 Jul 2026 12:21PM Dikemas Kini : 21 Jul 2026 01:51PM
SINGAPURA: Selama lebih lapan bulan, satu peruntukan dalam peraturan presiden Indonesia mengenai pertahanan negara kurang mendapat perhatian awam.

Dalam lampiran kepada Peraturan Presiden No. 111/2025 mengenai Dasar Umum Pertahanan Negara yang ditandatangani pada Oktober tahun lalu, pemerintah Indonesia mengklasifikasikan “penyebaran budaya LGBTQ” sebagai salah satu ancaman bukan ketenteraan terhadap negara.

Klausa itu disenaraikan bersama beberapa ancaman lain yang dianggap boleh menjejas daya tahan nasional, termasuk pemerdagangan haram, pencurian sumber alam, keganasan, ateisme dan fahaman radikal.

Peraturan presiden merupakan peraturan yang mempunyai kuasa undang-undang dan diterbitkan dalam Warta Negara. Sementara itu, dokumen Dasar Umum Pertahanan Negara biasanya bersifat teknikal dan jarang menarik perhatian orang ramai di luar kalangan pemerintah serta sektor pertahanan.

Namun, beberapa perkembangan kebelakangan ini telah membawa peruntukan tersebut ke perhatian awam, sekali gus mencetuskan perdebatan mengenai kedudukan isu LGBTQ dalam dasar negara dan sejauh mana isu sosial patut dikaitkan dengan strategi pertahanan Indonesia.

Isu itu kemudian menular daripada media sosial ke media arus perdana Indonesia. Beberapa pertubuhan berita nasional termasuk Antara, Kumparan dan Tempo meneliti semula peraturan berkenaan, selain melaporkan pelbagai reaksi daripada masyarakat serta pegawai kanan pemerintah.

Sebahagian pemerhati dan aktivis memberi amaran bahawa klausa tersebut boleh meningkatkan diskriminasi terhadap golongan LGBTQ dalam masyarakat.

Bagaimanapun, beberapa menteri Indonesia mempertahankan peraturan itu sambil menegaskan bahawa pemerintah tidak berniat menyekat hak asas rakyat.

“Sebagai warga Indonesia, golongan LGBTQ berhak mendapat pendidikan, pekerjaan, penjagaan kesihatan dan perkhidmatan awam lain tanpa sekatan, pengasingan atau diskriminasi,” kata Menteri Hak Asasi Manusia Indonesia Natalius Pigai kepada Mediacorp dalam wawancara melalui telefon.

Namun, beliau berkata, masyarakat Indonesia masih belum bersedia menerima komuniti LGBTQ, meskipun negara itu tetap mempunyai tanggungjawab untuk menghormati, melindungi dan memenuhi hak setiap rakyat terhadap pendidikan, pekerjaan, penjagaan kesihatan dan perkhidmatan awam.

“Masanya belum tiba untuk mengiktiraf mereka secara rasmi sebagai satu kumpulan kerana masyarakat masih belum bersedia menerima mereka,” katanya.

BAGAIMANA KLAUSA ITU MENJADI PERHATIAN AWAM

Masih belum jelas apakah yang mula menarik perhatian meluas terhadap peruntukan tersebut. Namun, isu tersebut timbul semula selepas beberapa perkembangan berkaitan LGBTQ berlaku kebelakangan ini.

Salah satunya ialah satu catatan media sosial pada pertengahan Jun oleh Suara Mahasiswa, sebuah penerbitan pelajar di Universiti Indonesia.

Catatan tersebut mencetuskan perdebatan hangat online. Para pengkritik mendakwa, ia bercanggah dengan norma agama dan sosial Indonesia. Mereka turut mempersoalkan mengapa ideologi negara Pancasila digunakan untuk mempertahankan komuniti LGBTQ.

Pancasila merangkumi lima prinsip utama: kepercayaan kepada Tuhan Yang Maha Esa, kemanusiaan yang adil dan beradab, persatuan Indonesia, demokrasi serta keadilan sosial.

Menyusuli reaksi negatif tersebut, Universiti Indonesia secara terbuka enggan dikaitkan dengan catatan itu dan melancarkan semakan dalaman.
Sumber : CNA/LL/ll
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita