jelasBERITA: Bagaimana jerung boleh bantu saintis ramal kekuatan taufan?
Seekor jerung mako yang ditangkap sementara oleh para penyelidik di luar pantai Long Island, New York, Amerika Syarikat, pada 19 Jun 2024. (Gambar: Reuters/Yuleny Gomez-Rodriguez)
Namun, apabila seekor jerung berenang di perairan pantai timur Amerika Syarikat, ia mungkin melakukan lebih daripada sekadar memburu mangsa.
Ia juga mungkin sedang mengumpulkan data yang dapat membantu saintis memahami potensi kekuatan taufan sebelum ia melanda daratan.
Para penyelidik Universiti Delaware sedang menguji sama ada jerung boleh berfungsi sebagai pemerhati bergerak yang mengumpulkan data lautan hampir masa nyata.
Jerung dipasang dengan peranti elektronik kecil dikenali sebagai tag CTD.
Peranti itu mengukur kekonduksian elektrik air laut, yang berkait rapat dengan kemasinan, selain suhu dan kedalaman ketika jerung berenang dan menyelam.
Data tersebut boleh digunakan untuk menambah baik model oseanografi, atmosfera dan iklim.
MENGAPA GUNAKAN JERUNG?
Menurut penyelidik utama projek itu, Profesor Aaron Carlisle dari Sekolah Sains dan Dasar Marin Universiti Delaware, deria yang dipasang pada haiwan sudah digunakan dengan jayanya oleh ahli oseanografi selama bertahun-tahun.
Ia termasuk penggunaan deria pada anjing laut gajah di kawasan kutub yang mempunyai data pemerhatian saintifik yang terhad.
Jerung pula menawarkan peluang baharu kerana haiwan itu banyak terdapat di lautan, tersebar luas dan lebih mudah diakses berbanding banyak mamalia marin yang dilindungi.
Sebelum ini, tag pada jerung biasanya digunakan untuk mengesan pergerakan haiwan tersebut dan habitat yang digunakannya.
Namun bagi projek ini, para penyelidik memilih spesies jerung yang mampu mengumpulkan data paling berguna untuk penyelidikan taufan.
Keutamaan diberikan kepada spesies yang kerap berenang ke permukaan supaya tag tersebut dapat menghantar data kepada satelit.
Analisis sebelum ini mengenal pasti jerung mako sirip pendek, jerung biru, jerung kepala tukul licin dan jerung putih besar yang masih muda sebagai antara spesies yang sesuai untuk penyelidikan sedemikian di Atlantik Utara.
SUHU LAUT PENGARUHI KEKUATAN TAUFAN
Menurut Profesor Carlisle, para penyelidik paling berminat terhadap kandungan haba di lapisan atas lautan, yang dikenali sebagai lapisan campuran.
Bahagian lautan itu memainkan peranan penting dalam menentukan kekuatan sesebuah taufan.
Semakin panas lapisan campuran, semakin banyak haba yang tersedia untuk membekalkan tenaga kepada taufan, sekali gus berpotensi menjadikannya lebih kuat.
Proses memasang tag bermula pada awal Mei apabila spesies yang berhijrah jauh bergerak lebih dekat ke pantai dari habitat musim sejuknya yang terletak lebih jauh di Lautan Atlantik.
Para penyelidik menaiki kapal penyelidikan dan bergerak sekitar 50 hingga 65 kilometer dari pantai sebelum memasang tali berumpan untuk mendapatkan jerung.
Mereka biasanya menunggu antara dua hingga tiga jam sebelum seekor jerung mengambil umpan.
Tag kemudian dipasang pada sirip belakang jerung.
Setiap kali jerung berenang di permukaan, tag itu dapat berkomunikasi dengan rangkaian penerima satelit dan menghantar data yang dikumpulkan.
PROSES AMBIL MASA KURANG LIMA MINIT
Profesor Carlisle menyifatkan proses memasang tag itu seperti operasi kru pit dalam perlumbaan kereta.
Proses tersebut biasanya mengambil masa kurang lima minit.
Ia dijalankan di bawah pengawasan penjagaan haiwan bagi meminimumkan kesannya terhadap jerung.
Tag itu dipasang menggunakan bahan yang direka untuk terhakis dan tertanggal selepas suatu tempoh.
Setiap jerung juga menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum dilepaskan semula.
Menurut Profesor Carlisle, jerung yang mengalami tekanan atau kecederaan mungkin tidak berkelakuan seperti biasa, sekali gus berpotensi menjejas ketepatan data yang dikumpulkan.
BANTU TINGKATKAN RAMALAN TAUFAN
Jika projek tersebut berjaya, data yang dikumpulkan oleh jerung boleh membantu meningkatkan ketepatan ramalan mengenai kekuatan taufan ketika ia menghampiri pantai timur Amerika.
Calon kedoktoran dalam bidang sains marin Universiti Delaware, Caroline Wiernicki, berkata maklumat tersebut boleh membantu masyarakat dari North Carolina hingga Massachusetts membuat persiapan berdasarkan ramalan yang lebih tepat.
Ia juga boleh membantu meningkatkan daya tahan kawasan pantai dalam menghadapi ribut yang semakin kuat.
Para penyelidik berharap projek tersebut turut membantu mengubah persepsi masyarakat terhadap jerung, yang sering digambarkan secara menakutkan dalam budaya popular.
Menurut Profesor Carlisle, jerung sebenarnya merupakan haiwan yang sangat sesuai dengan persekitaran lautan dan banyak perkara boleh dipelajari daripadanya.
Beliau berkata jika penyelidikan itu dapat menunjukkan bahawa jerung boleh membantu manusia, ia akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.