Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

jelasBERITA: Bagaimana bentuk sistem 'Iron Dome' Korea Selatan?

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 07 Feb 2025 11:14PM Dikemas Kini : 07 Feb 2025 11:18PM
SEOUL: Korea Selatan sedang membangunkan sebuah sistem pertahanan udara baharu, yang serupa dengan 'Iron Dome' milik Israel.

Ia bertujuan untuk melindungi negara itu sekiranya Korea Utara melancarkan serangan.

Pemerintah Seoul akan melabur sebanyak AS$330 juta (S$446 juta) ke dalam projek tersebut untuk tiga tahun akan datang.

Seoul sedang berusaha untuk mengukuhkan keupayaan pertahanan udaranya di tengah-tengah ancaman yang semakin meningkat daripada musuh terdekatnya.

Pyongyang mengerahkan pelbagai sistem artileri, termasuk pelancar roket, di utara zon bebas tentera (DMZ).

Ia berjarak kurang 100 kilometer dari kota Seoul dan 25 juta penduduknya, iaitu separuh jumlah penduduk Korea Selatan.

Menurut sumber risikan tentera Korea Selatan, Korea Utara berupaya melancarkan sehingga 10,000 roket sejam, menyasarkan kawasan bandar Seoul jika konflik tercetus.

Tambahan pula, roket Korea Utara mungkin dilengkapi senjata kimia dan biologi.

Sistem Pertahanan Peluru Berpandu Altitud Rendah (LAMD) Korea Selatan yang ingin dibangunkan, juga dipanggil 'Iron Dome', sama dengan sistem pertahanan peluru berpandu Israel.

SERUPA SISTEM 'IRON DOME' ISRAEL

Untuk memahami fungsinya, ayuh kita tinjau sistem 'Iron Dome' Israel.

Sebuah unit radar boleh mengesan roket di udara dalam jarak antara empat hingga 70 kilometer.

Sehingga 1,100 sasaran boleh dipantau dalam satu-satu masa.

Sistem itu mengirimkan maklumat kepada pusat kawalan, yang kemudian akan membuat perkiraan, di mana roket yang dipantau akan jatuh.

Jika ia menuju ke arah orang awam, roket pemintas akan dilancarkan.

Ia mampu memusnahkan sebarang roket yang tiba, sejauh mungkin dari kawasan yang padat penduduk.

Menurut Korea Selatan, matlamat sistem pertahanan terbaharunya itu adalah untuk memintas kebanyakan artileri, pesawat, peluru berpandu dan dron yang dilancarkan Korea Utara secepat mungkin jika berlaku konflik.

Apabila beroperasi nanti, sistem itu dijangka meningkatkan dengan ketara keupayaan pertahanan Korea Selatan.

Para pegawai di Seoul berkata, mereka merancang untuk mempercepatkan pengerahan sistem tersebut untuk melindungi kemudahan-kemudahan utama ketenteraan dari serangan mengejut Korea Utara.
Sumber : BERITA Mediacorp/NY/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan