Skip to main content

Dunia

jelasBERITA: Apakah yang cetus tunjuk perasaan Los Angeles dan bolehkah Trump kerah Pengawal Negara?

Anggaran Waktu Membaca:
jelasBERITA: Apakah yang cetus tunjuk perasaan Los Angeles dan bolehkah Trump kerah Pengawal Negara?

Seorang timbalan Syerif Los Angeles County menahan penunjuk perasaan berikutan beberapa penahanan oleh Imigresen dan Penguatkuasaan Kastam (ICE), di bandar Paramount, Los Angeles County, California, Amerika Syarikat, 7 Jun 2025. (Gambar: REUTERS/Barbara Davidson)

Diterbitkan : 09 Jun 2025 11:31PM Dikemas Kini : 10 Jun 2025 06:42AM
LOS ANGELES: Tunjuk perasaan menggegarkan Los Angeles sejak Jumaat lalu (6 Jun) apabila ejen persekutuan berdepan dengan ratusan penunjuk perasaan berikutan serbuan imigresen.

Pada hujung minggu, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengarahkan 2,000 anggota Pengawal Negara ke bandar itu, satu pengerahan yang jarang berlaku dan bertentangan dengan kehendak Gabenor California Gavin Newsom, yang menyifatkannya sebagai "sengaja mencetuskan ketegangan" dan menyalahi undang-undang.

Berikut adalah apa yang kita ketahui setakat ini mengenai pertempuran di bandar kedua terbesar di Amerika Syarikat.

BAGAIMANA TUNJUK PERASAAN BERMULA DAN MEREBAK

Encik Trump menjadikan tindakan tegas terhadap pendatang haram sebagai matlamat utama bagi penggal kedua beliau berkuasa.

Para pegawai dari agensi Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam (ICE) melakukan penggeledahan di beberapa lokasi di Los Angeles pada 9 Jun, dan menahan pendatang di daerah fesyen Los Angeles, di tempat letak kereta Home Depot dan di beberapa lokasi lain.

Jumlah pendatang yang ditangkap di kawasan Los Angeles selama seminggu sudah melebihi 100.

Pada Jumaat malam, tunjuk perasaa bermula di bandar itu. Lebih 100 penunjuk perasaan berkumpul di bangunan perkhidmatan imigresen dan pusat tahanan di pusat bandar Los Angeles.

Pada Jumaat malam, Jabatan Polis Los Angeles mengisytiharkannya sebagai perhimpunan menyalahi undang-undang dan mengarahkan orang ramai bersurai.

Beberapa kenderaan polis dan pegawai dengan peralatan rusuhan tiba, dan bom tangan kilat digunakan untuk menyuraikan orang ramai.

Jabatan Keselamatan Dalam Negara berkata bahawa terdapat kira-kira "1,000 perusuh" semasa tunjuk perasaan pada Jumaat.
Satu mercun meletup selepas dilemparkan ke arah polis semasa pertempuran dengan penunjuk perasaan berikutan beberapa penahanan oleh Imigresen dan Penguatkuasaan Kastam (ICE), di bandar Compton, Los Angeles County, California, Amerika Syarikat, 7 Jun 2025. (Gambar: REUTERS/Barbara Davidson)
Pada Sabtu, ejen keselamatan persekutuan berdepan dengan beberapa ratus penunjuk perasaan di tenggara Los Angeles, manakala tunjuk perasaan kedua berlaku di pusat bandar Los Angeles, menarik kira-kira 60 orang.

Polis Los Angeles berkata dalam satu catatan di X bahawa beberapa individu ditahan kerana gagal bersurai walaupun diberi amaran berulang kali.

Encik Trump pada Sabtu menandatangani memorandum presiden untuk mengerahkan Pengawal Negara untuk "menangani pelanggaran undang-undang yang sudah dibiarkan merebak," menurut Rumah Putih dalam satu kenyataan.

Anggota-anggota ini dikerahkan pada Ahad, menjaga bangunan pemerintah persekutuan ketika pertempuran lanjut berlaku antara polis dengan penunjuk perasaan.

Polis mengisytiharkan beberapa perhimpunan di bandar itu sebagai "perhimpunan haram," menuduh beberapa penunjuk perasaan melemparkan projek konkrit, botol dan barangan lain ke arah pegawai.

Walaupun serbuan ICE di bandar-bandar Amerika Syarikat lain mencetuskan bantahan berskala kecil dalam beberapa bulan kebelakangan ini, pergolakan di Los Angeles adalah yang terbesar dan paling berterusan terhadap dasar imigresen presiden setakat ini.

BOLEHKAH TRUMP KERAH PENGAWAL NEGARA?

Pengawal Negara berkhidmat untuk kepentingan wilayah dan persekutuan. Ia adalah pasukan berasaskan wilayah yang merupakan sebahagian daripada Pasukan Simpanan Angkatan Tentera Amerika Syarikat, dan biasanya diaktifkan oleh gabenor.

Tetapi Encik Trump memintasnya dan berkata tunjuk perasaan itu mengganggu penguatkuasaan undang-undang persekutuan dan menganggapnya sebagai kemungkinan "bentuk pemberontakan" terhadap kuasa pemerintah.

Beliau memetik Tajuk 10 Kanun Amerika Syarikat – undang-undang persekutuan yang menggariskan peranan Angkatan Tentera Amerika Syarikat – dalam arahannya untuk memanggil anggota Pengawal Negara California ke dalam perkhidmatan persekutuan.

Peruntukan Tajuk 10 membenarkan presiden mengerahkan unit Pengawal Negara ke dalam perkhidmatan persekutuan jika Amerika Syarikat diceroboh, jika terdapat "pemberontakan atau bahaya pemberontakan", atau jika presiden "tidak dapat dengan pasukan biasa untuk melaksanakan undang-undang Amerika Syarikat".

Undang-undang 1878 secara amnya melarang tentera Amerika Syarikat, termasuk Pengawal Negara, daripada mengambil bahagian dalam penguatkuasaan undang-undang awam.

Tetapi pasukan itu dibenarkan untuk melindungi ejen persekutuan yang menjalankan tugas penguatkuasaan undang-undang dan untuk melindungi harta benda persekutuan.

Sebagai contoh, pasukan Pengawal Negara tidak boleh menahan penunjuk perasaan, tetapi mereka boleh melindungi pegawai ICE.
 
Anggota Pengawal Kebangsaan California berdiri di luar bangunan persekutuan Edward R Roybal selepas pengerahan mereka oleh Presiden Donald Trump, sebagai tindak balas kepada tunjuk perasaan terhadap tindakan ke atas imigresen, di Los Angeles, California, Amerika Syarikat, 8 Jun 2025. (Gambar: REUTERS/Mike Blake)
Pakar undang-undang menimbulkan keraguan terhadap penggunaan Tajuk 10 oleh Encik Trump, menyifatkannya sebagai "provokatif dan melulu," terutamanya tanpa sokongan Encik Newsom.

Tunjuk perasaan di California tidak mencapai tahap "pemberontakan" dan tidak menghalang pemerintah persekutuan daripada melaksanakan undang-undang Amerika Syarikat, tambah mereka.

Encik Trump pada Ahad berkata bahawa terdapat "orang-orang ganas" di Los Angeles, "dan mereka tidak akan terlepas begitu saja".

Beliau boleh mengambil langkah yang lebih jauh dan menggunakan Akta Pemberontakan, yang membenarkan tentera untuk terlibat secara langsung dalam penguatkuasaan undang-undang awam, tetapi terdapat sedikit insiden terdahulu baru-baru ini.

Undang-undang itu kali terakhir digunakan oleh Presiden George H W Bush pada tahun 1992, apabila gabenor California meminta bantuan tentera untuk mengawal pergolakan di Los Angeles berikutan perbicaraan Rodney King.
Anggota Pengawal Negara California berdiri berjaga-jaga, ketika tunjuk perasaan menentang tindakan imigresen persekutuan berlaku, di luar bangunan persekutuan Edward R. Roybal, selepas pengerahan mereka oleh Presiden Donald Trump, sebagai tindak balas, di Los Angeles, California, 8 Jun 2025. (Gambar: REUTERS/Mike Blake)
TRUMP, NEWSOM

Encik Newsom mengecam langkah Encik Trump untuk mengerahkan Pengawal Negara, secara rasmi meminta pentadbiran membatalkan "pengerahan tentera yang menyalahi undang-undang" dan mengembalikannya ke bawah perintahnya.

Beliau juga menyifatkan pengerahan itu sebagai "pelanggaran serius kedaulatan wilayah" dan menyatakan bahawa pihak berkuasa California sudah mengawal keadaan.

Kali terakhir seorang presiden mengerahkan Pengawal Negara di sebuah wilayah tanpa permintaan daripada gabenor wilayah itu adalah pada tahun 1965, apabila Presiden Lyndon Johnson menghantar tentera untuk melindungi penunjuk perasaan hak sivil di Montgomery, Alabama.

Encik Newsom juga mempersendakan Encik Trump kerana memuat naik mesej tahniah kepada Pengawal Negara di media sosial sebelum tentera tiba di Los Angeles, dan berkata Encik Trump tidak pernah mengemukakan cadangan mengerahkan Pengawal Negara semasa panggilan telefon pada Jumaat.

Beliau juga menyifatkan presiden itu sebagai "pembohong besar".

Pentadbiran Encik Trump membalas, dengan jurucakap berkata: "Adalah satu pembohongan terang-terangan bagi Newsom untuk mendakwa tiada masalah di Los Angeles sebelum Presiden Trump terlibat.

"Semua orang melihat kekacauan, keganasan dan pelanggaran undang-undang."

Presiden itu juga menyerang Encik Newsom dan Datuk Bandar Los Angeles Karen Bass, menulis di media sosial bahawa mereka "tidak mampu mengendalikan tugas".
 
Sumber : Agensi berita/NK/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita