Skip to main content

Dunia

jelasBERITA: Apakah yang akan berlaku selepas DUN Johor dibubar?

Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor secara rasmi dibubarkan pada Isnin (1 Jun), sekali gus membuka laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16.

Anggaran Waktu Membaca:
jelasBERITA: Apakah yang akan berlaku selepas DUN Johor dibubar?

Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi (tengah) berkata, pembubaran DUN dilakukan setelah beliau menghadap dan mendapatkan perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 01 Jun 2026 09:53PM Dikemas Kini : 01 Jun 2026 11:00PM
  • DUN Johor dibubarkan secara rasmi pada 1 Jun selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, diumumkan oleh Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi.
  • Pembubaran ini membuka laluan kepada Pilihan Raya Negeri ke-16, dengan kerajaan negeri berfungsi sebagai kerajaan sementara sehingga kerajaan baharu dibentuk.
  • SPR akan menerima notis pembubaran, mengadakan mesyuarat khas untuk menetapkan tarikh penting PRN, serta mengurus proses pencalonan, kempen dan pengundian.
  • Keputusan pilihan raya akan menentukan parti atau gabungan yang membentuk kerajaan baharu, dengan proses rundingan jika tiada majoriti mudah diperoleh.
Dijana oleh AI
JOHOR BAHRU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor secara rasmi dibubarkan pada Isnin (1 Jun), sekali gus membuka laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16.

Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi berkata dalam satu sidang media khas di kediaman rasminya pada petang Isnin (1 Jun) bahawa pembubaran DUN dibuat selepas beliau menghadap dan memperoleh perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.

Pembubaran itu juga membolehkan pengundi berdaftar memilih kerajaan baharu serta memberikan mandat kepada wakil rakyat yang akan bertanding di 56 kerusi DUN di negeri berkenaan.

Berikut lapan perkara yang berlaku selepas pembubaran DUN:

1. Notis pembubaran diserahkan kepada SPR

Selepas DUN dibubarkan, Speaker DUN akan menyerahkan notis rasmi pembubaran kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Notis itu menjadi asas kepada SPR untuk memulakan proses Pilihan Raya Negeri (PRN).

2. Kerajaan Negeri menjadi kerajaan sementara

Kerajaan negeri yang sedia ada akan berfungsi sebagai kerajaan sementara.

Kerajaan sementara hanya boleh menjalankan urusan pentadbiran harian dan tidak dibenarkan membuat keputusan dasar baharu, meluluskan projek besar atau menandatangani kontrak utama sehingga kerajaan baharu dibentuk.

3. SPR mengadakan mesyuarat khas

SPR akan mengadakan mesyuarat khas untuk menetapkan tarikh penting PRN.

Antara perkara yang diputuskan ialah tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, tempoh berkempen, hari pengundian awal dan hari mengundi.

4. Writ Pilihan Raya dikeluarkan

SPR akan mengeluarkan writ pilihan raya kepada pegawai pengurus pilihan raya bagi setiap kawasan.

Writ itu mengandungi arahan rasmi untuk mengendalikan pilihan raya serta tarikh-tarikh yang ditetapkan.

5. Hari Penamaan Calon

Calon yang ingin bertanding perlu mengemukakan borang pencalonan dalam tempoh yang ditetapkan.

Mereka perlu memenuhi syarat kelayakan, mengemukakan pencadang dan penyokong serta membayar deposit pilihan raya sebelum pencalonan disahkan.

6. Tempoh Berkempen bermula

Selepas senarai calon disahkan, tempoh kempen rasmi bermula.

Parti politik dan calon akan menggunakan pelbagai platform termasuk ceramah, media sosial, bahan kempen dan program turun padang untuk menarik sokongan pengundi.

7. Pengundian Awal dan Hari Mengundi

SPR akan mengadakan pengundian awal untuk anggota tentera, polis serta kumpulan pengundi yang layak.

Pada Hari Mengundi, para pengundi berdaftar akan memilih wakil rakyat masing-masing di pusat pengundian yang ditetapkan.

8. Keputusan Pilihan Raya dan pembentukan kerajaan baharu

Selepas proses pengundian tamat, undi akan dikira dan keputusan rasmi akan diumumkan oleh SPR.

Parti atau gabungan yang memperoleh majoriti kerusi DUN akan membentuk kerajaan negeri baharu dan mencalonkan Menteri Besar untuk mendapat perkenan pihak istana.

Sekiranya tiada parti memperoleh majoriti mudah, rundingan antara parti boleh diadakan bagi membentuk kerajaan gabungan.
Sumber : Agensi berita/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita