Skip to main content

Dunia

jelasBERITA: Apakah status Gunung Dukono?

Anggaran Waktu Membaca:

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 10 May 2026 12:07PM Dikemas Kini : 24 May 2026 11:02PM
MAKASSAR: Gunung Dukono merupakan salah satu gunung berapi aktif di Indonesia yang terletak di daerah Halmahera Utara, wilayah Maluku Utara.

Gunung itu dikenali mempunyai aktiviti vulkanik yang agak tinggi dan sering mengalami letusan dan semburan abu vulkanik.

Baru-baru ini, Gunung Dukono dilaporkan meletus pada Jumaat (8 Mei).

Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG) menyatakan bahawa awan abu diperhatikan berwarna putih, kelabu hingga hitam dengan intensiti tebal dan ketinggian sekitar 10 kilomter (km) di atas puncak.

Menurut laporan detikNews, letusan tersebut mengakibatkan korban jiwa, terdiri daripada dua warga Singapura dan seorang rakyat Indonesia dari Jayapura.

Sementara itu, berdasarkan data awal terdapat 20 pendaki yang berada di kawasan Gunung Dukono dan sedang dipindahkan.

CIRI GUNUNG DUKONO

Berdasarkan laman rasmi Kementerian Energi dan Sumber Daya Mineral (ESDM), Gunung Dukono merupakan gunung berapi aktif yang terletak di daerah Halmahera Utara, wilayah Maluku Utara.

Gunung ini mempunyai ketinggian kira-kira 1,087 meter dari paras air laut dan terletak sekitar 14 km di barat daya Kota Tobelo, ibu kota daerah tersebut.

Di gunung ini terdapat beberapa kawah yang pernah aktif seperti Kawah Tanah Lapang, Dilekene, Gogodom, Telori dan Kawah Malumpang Warirang.

Kawah Malumpang-Warirang merupakan pusat aktiviti paling aktif ketika ini, menurut detikNews.

Menurut BNPB, ciri letusan Gunung Dukono adalah "secara letupan dan aliran", menghasilkan abu vulkanik, lontaran bahan pijar serta aliran lava.

Letusannya diklasifikasikan sebagai jenis Strombolian hingga Vulkanian berskala kecil hingga sederhana.

Sejak 13 Jun 2008, status Gunung Dukono ditetapkan pada Tahap II (Waspada), dengan larangan mendekati kawah dalam radius 2 kilometer.

SEJARAH LETUSAN GUNUNG DUKONO

Menurut BNPB, letusan pertama direkodkan pada tahun 1550 yang menyebabkan kerosakan dan kematian.

Letusan itu menghasilkan aliran lava dan lahar yang memenuhi selat antara Halmahera dan Gunung Mamuya.

Letusan berskala kecil turut berlaku pada 1719, 1868 dan 1901. Sejak 1933, Gunung Dukono terus aktif dan mengalami letusan secara berterusan hingga kini.

Secara umumnya, letusan gunung itu mempunyai Indeks Letusan Vulkanik (VEI) sekitar 3. Sebelum ini, tiada kematian dilaporkan akibat letusan gunung berapi ini sehingga kejadian pada Mei 2026, lapor detikNews.

STATUS TAHAP II (WASPADA)

Status ini telah dikekalkan sejak 2008 kerana aktiviti vulkanik yang masih tinggi. Orang ramai dinasihatkan:

- Tidak mendekati kawah dalam lingkungan sekurang-kurangnya 2 km

- Sentiasa memakai pelitup bagi mengelakkan abu

BOLEHKAH GUNUNG DUKONO DIDAKI?

Menurut PVMBG, pendakian tidak dibenarkan berhampiran Kawah Malumpang Warirang.

Sejak Disember 2024, larangan itu diperluas kepada lingkungan 4km kerana risiko lontaran bahan pijar, abu dan gas berbahaya.

Selain itu, terdapat risiko lahar terutama ketika musim hujan, yang boleh mengalir melalui sungai berhampiran.

Kesimpulannya, pendakian hanya dibenarkan di luar lingkungan 4km, namun tidak digalakkan ketika aktiviti gunung berapi ini masih tinggi demi keselamatan mereka.
Sumber : Agensi berita/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita