Skip to main content

Dunia

jelasBERITA: Apakah kesan terhadap Asia Tenggara sedang perang Amerika, Israel dan Iran masuk hari ke-100?

Anggaran Waktu Membaca:
jelasBERITA: Apakah kesan terhadap Asia Tenggara sedang perang Amerika, Israel dan Iran masuk hari ke-100?

Pekerja binaan memasang sebuah mesin pembancuh konkrit di sebuah jalan di Kuala Lumpur pada 15 Mei 2026. (Gambar fail: EPA/Fazry Ismail melalui CNA)

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 07 Jun 2026 10:03AM
SINGAPURA: Lebih tiga bulan selepas perang Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran meletus, kesan gangguan terhadap tenaga dan laluan perkapalan di Timur Tengah kini dirasai jauh melangkaui pasaran minyak, daripada tapak binaan jalan raya di Malaysia hingga ke pengendali makanan dan minuman di Indonesia.

Perang itu menjejas perdagangan melalui Selat Hormuz, iaitu laluan strategik utama bagi bekalan minyak dan gas ke Asia, sekali gus meningkatkan kos bukan sahaja bahan api dan bahan berasaskan petroleum, malah pelbagai barangan lain di seluruh rantau ini.

Bagi kontraktor Malaysia, Sukumar Subrayalu, pengasas dan pengarah urusan Sugu Construction, impaknya amat ketara.

Harga bitumen, iaitu bahan utama pembinaan jalan raya dan turapan, melonjak kira-kira 70 peratus daripada sekitar RM1,700 (S$543.80) kepada hampir RM2,900 (S$927.70) satu tan, manakala harga diesel meningkat lebih 80 peratus, katanya kepada Mediacorp.

Menurut beliau, pembekal kini menaikkan harga dalam tempoh yang singkat, sekali gus memberi tekanan kepada kontraktor yang sudah terikat dengan kontrak harga tetap.

Di seluruh Asia Tenggara, perniagaan berdepan tekanan yang sama apabila gangguan berkaitan perang itu merebak ke rantaian bekalan global.

Daripada pembungkusan plastik dan bekalan helium kepada baja serta pengeluaran makanan, industri-industri yang bergantung kepada bahan berasaskan petroleum kini berdepan turun naik harga yang ketara, memaksa syarikat menaikkan harga, menyerap kerugian atau menyusun semula operasi mereka.

Sedang perang terhadap Iran yang bermula pada 28 Februari memasuki hari ke-100 pada Isnin (8 Jun), kesannya semakin dirasai dalam kehidupan harian rakyat Asia Tenggara, dengan pemerintah dan pengguna perlu bersedia menghadapi kos yang lebih tinggi untuk pembinaan jalan raya, pembungkusan susu dan malah, belon helium.

Pakar dan pemain industri memberi amaran bahawa gangguan ini berkemungkinan berterusan melebihi enam bulan walaupun ketegangan mereda, dan menyifatkannya sebagai “kejutan struktur” jangka panjang terhadap rantaian bekalan serta kos pengeluaran serantau.

DARI JALAN RAYA KE RESIN DAN HELIUM

Timbalan Menteri Kerja Raya Malaysia Ahmad Maslan berkata pada April bahawa sepertiga daripada 855 projek binaan dan penyenggaraan jalan raya di negara itu, iaitu sebanyak 280 projek, mengalami kelengahan akibat kenaikan kos bahan binaan dan diesel.

Jumlah itu dijangka meningkat jika tekanan kos berterusan.

Bagi mengelakkan projek terbengkalai atau berlaku pertikaian kontrak, kontraktor kini terpaksa menyerap sebahagian daripada kenaikan kos, khususnya bagi projek kerajaan, kata Encik Sukumar.

Di Thailand, Persatuan Kontraktor Thai turut memberi amaran mengenai kemungkinan peningkatan projek terbengkalai dan penutupan tapak binaan menyusuli kos diesel, keluli dan pengangkutan yang kini berada pada tahap “tidak mampan”.

Gangguan itu turut menjejas industri plastik Asia Tenggara yang bergantung kepada nafta dari Timur Tengah.

Nafta ialah bahan petrokimia yang dihasilkan daripada minyak mentah dan digunakan secara meluas dalam pembuatan plastik, termasuk pembungkusan makanan dan peralatan perlindungan diri.

Di Indonesia, usahawan tempatan malah menghasilkan video parodi di TikTok yang menunjukkan produk dibungkus menggunakan daun pisang menggantikan plastik, sambil berseloroh bahawa ia merupakan “huraian kepada kenaikan harga plastik”.

Kementerian Perindustrian Indonesia menyatakan syarikat-syarikat kini mula mempelbagaikan bahan pembungkusan dengan beralih kepada kertas, kaca, logam dan plastik kitar semula.

Persatuan Pekilang Plastik Malaysia (MPMA) memberitahu Mediacorp bahawa harga polietilena dan polipropilena yang dihasilkan daripada nafta melonjak sekitar 90 peratus pada April, daripada kira-kira AS$930 (S$297.50) kepada AS$1,700 (S$543.80) satu tan.

Walaupun harga kini menurun kepada sekitar AS$1,450 (S$463.90) satu tan pada Jun, ia masih jauh lebih tinggi berbanding sebelum perang.

MPMA menyatakan tekanan bekalan mula berkurangan pada Mei apabila pengilang beralih kepada sumber alternatif, terutamanya import dari China.

Sementara itu, syarikat tenusu tempatan terbesar Malaysia, Farm Fresh, menyatakan harga resin yang digunakan dalam pembungkusan meningkat seganda daripada RM4 (S$1.30) kepada sekitar RM8 (S$2.60) hingga RM9 (S$2.90) sekilogram, mendorong syarikat itu beralih kepada kotak minuman berasaskan kertas.

Di Indonesia, Perkumpulan Pengusaha Air Dalam Kemasan Nusantara(AMDATARA) menyatakan harga bahan mentah plastik meningkat antara 45 hingga 70 peratus sejak kontrak baharu ditandatangani pada Mac.

Harga resin polipropilena (polypropylene) pula melonjak 90 hingga 100 peratus berbanding Februari.

Menurut pengerusi AMDATARA, Karyanto Wibowo, kos pembungkusan siap seperti botol, bekas gelen, penutup, label dan plastik pembalut kini meningkat antara 28 hingga 48 peratus bergantung kepada jumlah dan jenis bahan.

Akibatnya, harga air minuman dalam botol boleh meningkat lebih 15 peratus secara berperingkat jika tiada campur tangan dilakukan.

Kekurangan bahan mentah turut memberi kesan kepada sektor automotif Indonesia yang banyak menggunakan plastik dalam pengeluaran kenderaan, termasuk untuk papan pemuka, panel pintu dan komponen enjin.

Selain plastik, perang itu juga mengurangkan bekalan helium global.

Helium merupakan sumber terhad yang biasanya diekstrak sebagai hasil sampingan pengeluaran gas asli.

Pengeluar utama termasuk Amerika Syarikat dan Qatar.

Qatar juga menyumbang kira-kira sepertiga bekalan helium dunia.

Selain digunakan secara meluas dalam pengilangan semikonduktor dan cip canggih, helium juga digunakan dalam sesetengah mesin pengimejan resonans magnetik (MRI).

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia Johari Abdul Ghani berkata pada Mei bahawa syarikat-syarikat tempatan yang mendapatkan bekalan helium dari Timur Tengah kini mengalami kekurangan sekitar 20 peratus akibat perang tersebut.

Walaupun belum menimbulkan ancaman serius terhadap industri semikonduktor, kekurangan helium menyebabkan kenaikan harga bagi perniagaan acara dan hiburan.

Beberapa syarikat di Singapura menyatakan harga helium meningkat sehingga 40 peratus, manakala pembekal acara pesta dari Yogyakarta, Balloons of Happiness, menyatakan bekalan kini semakin sukar diperoleh.

KESAN TERHADAP KESELAMATAN MAKANAN

Gangguan industri akibat sekatan di Selat Hormuz turut menjejas sistem makanan Asia Tenggara, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap kemampuan pengguna membeli makanan dan keselamatan bekalan makanan.

Pengerusi Kesatuan Petani Indonesia, Henry Saragih, berkata kenaikan harga baja tidak bersubsidi seperti urea menyebabkan kos pengeluaran meningkat sekitar 5 peratus.

Menurut laporan Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS) yang diterbitkan pada Mac, Asia Tenggara mengimport lebih AS$1.1 bilion (S$1.4 bilion) baja dari Timur Tengah, bersamaan 11 peratus daripada jumlah import baja rantau ini.

Kenaikan harga baja dan diesel turut meningkatkan kos pengangkutan serta operasi mesin pertanian seperti traktor dan mesin pengisar.

Sebahagian peladang di Indonesia kini beralih kepada baja semula jadi, manakala yang lain meninggalkan tanaman ruji seperti padi untuk menanam tanaman hortikultur yang memberikan pulangan lebih pantas.

Di peringkat pengguna pula, sesetengah pengusaha makanan dan minuman mula memindahkan kos tambahan kepada pelanggan.

Gangguan itu juga mula dirasai dalam sektor penjagaan kesihatan.

Di Singapura, pengedar peralatan perubatan seperti Medpro Medical Supplies meningkatkan inventori sebagai persediaan menghadapi permintaan yang lebih tinggi apabila pelanggan mula membeli stok tambahan.

Di Malaysia, Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad menganggarkan kos sesetengah ubat dan peranti perubatan meningkat antara 30 hingga 40 peratus akibat kenaikan kos input yang berkait dengan perang di Timur Tengah, lapor agensi berita The Star.

Bagaimanapun, pemerintah Singapura dan kerajaan Malaysia menegaskan bahawa bekalan perubatan masih berada pada tahap stabil.

MENGAPA KESANNYA MUNGKIN BERLARUTAN

Pakar dan pemain industri memberi amaran bahawa kesan gangguan terhadap bekalan bahan mentah global berkemungkinan berterusan melebihi enam bulan sekalipun ketegangan mereda, malah ada yang menjangkakan ia boleh berlarutan selama satu hingga dua tahun lagi.

Ahli ekonomi dan Zamil Pelawat Kanan di ISEAS – Institut Yusof Ishak, Jayant Menon, berkata kos perkapalan dan insurans yang lebih tinggi berkemungkinan kekal, manakala bekalan minyak dan petrokimia yang berkurangan akan mengambil masa yang lama untuk kembali ke paras sebelum perang.

Beliau turut memberi amaran bahawa sebahagian kesan perang itu mungkin “tidak dapat dipulihkan”, kerana isi rumah yang jatuh miskin dan perniagaan yang terpaksa gulung tikar mungkin tidak akan pulih sepenuhnya walaupun keadaan kembali stabil.

Menurut pakar dan pemain industri, krisis itu juga menarik perhatian kepada kebergantungan tinggi Asia Tenggara terhadap bahan mentah import dan bekalan tenaga dari Timur Tengah, sekali gus mengukuhkan gesaan supaya rantau ini mempelbagaikan sumber bekalan dan meningkatkan daya tahan ekonomi.

Encik Menon berkata krisis itu menunjukkan keperluan untuk mengurangkan “kebergantungan berlebihan kepada beberapa negara pembekal produk penting” serta mempercepatkan peralihan hijau bagi mengurangkan pergantungan terhadap bahan api fosil dan petrokimia.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita