Skip to main content

Dunia

jelasBERITA: Apa yang perlu anda tahu tentang RCI Tabung Haji Malaysia?

Anggaran Waktu Membaca:
jelasBERITA:  Apa yang perlu anda tahu tentang RCI Tabung Haji Malaysia?

Laporan RCI mengenal pasti kelemahan dalam struktur pentadbiran, pengurusan kewangan dan keputusan pelaburan yang menjejaskan kedudukan kewangan Tabung Haji. (Gambar: Tabung Haji)

Diterbitkan : 31 Jul 2026 03:28PM Dikemas Kini : 31 Jul 2026 03:37PM

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH) antara 2014 dengan 2020, termasuk dakwaan salah urus, kedudukan kewangan, tadbir urus, pelaburan serta pematuhan terhadap undang-undang.

Laporan RCI mengenal pasti kelemahan dalam struktur pentadbiran, amalan pengurusan kewangan dan keputusan pelaburan yang menjejaskan kedudukan kewangan TH.

Pada masa yang sama, suruhanjaya itu mengemukakan 25 saranan bagi memastikan TH menjadi sebuah institusi yang lebih telus, profesional dan mampan pada masa hadapan.

1. APAKAH MASALAH UTAMA YANG DIKENAL PASTI?

KELEMAHAN TADBIR URUS

RCI mendapati Akta Tabung Haji 1995 mempunyai kelemahan yang membuka ruang kepada kelemahan tadbir urus.

Antara isu yang dibangkitkan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mempunyai kepakaran dalam bidang agama, namun bergantung kepada pihak pengurusan dan lembaga pengarah dalam membuat keputusan berkaitan kewangan, dana dan pelaburan yang memerlukan kepakaran khusus.

Selain itu, penglibatan anggota lembaga dan pihak pengurusan TH dalam syarikat subsidiari didapati menimbulkan konflik kepentingan serta mengurangkan tumpuan terhadap tanggungjawab utama mereka di TH.

2. BAGAIMANAKAH KRISIS KEWANGAN BERLAKU?

RCI menyimpulkan TH berdepan masalah kewangan yang serius sebelum pelan pemulihan dilaksanakan pada 2018.

Semakan PricewaterhouseCoopers (PwC) mendapati TH mengalami defisit antara aset dengan liabiliti sejak 2014.

Malah, jika Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia (MFRS) dipatuhi sepenuhnya, TH sebenarnya merekodkan kerugian bersih RM1.4 bilion (S$420 juta) pada 2017, berbanding keuntungan bersih RM3.4 bilion (S$1.02 bilion) yang dilaporkan.

Ketua Audit Negara Malaysia turut menegur perubahan dasar rosot nilai kewangan pada tahun tersebut yang diubah sebanyak dua kali.

3. APAKAH PUNCA KRISIS?

  • Pembayaran hibah yang terlalu tinggi sehingga melebihi kemampuan kewangan TH, sekali gus menghakis rizab institusi.
  • Amalan "perakaunan kreatif" bagi membolehkan pengisytiharan hibah yang tinggi.
  • Pemberian pendapat audit tanpa teguran bagi penyata kewangan 2014 hingga 2017, walaupun laporan audit 2017 mengandungi penekanan terhadap perkara penting (Emphasis of Matter).
  • Pengembangan pelaburan secara besar-besaran dalam sektor seperti hartanah dan perladangan walaupun TH tidak mempunyai kepakaran mencukupi, sekali gus menyebabkan kerugian, terutama dalam kalangan syarikat subsidiari.

4. APAKAH LAGI PENEMUAN RCI?

RCI turut mendedahkan beberapa penemuan lain yang memberi kesan kepada kedudukan kewangan TH.

Antaranya:

  • Bantuan Kewangan Haji (HAFIS) meningkat daripada RM106 juta (S$31.8 juta) pada 2014 kepada RM300 juta (S$90.0 juta) pada 2019.
  • Urusharta Jamaah Sdn Bhd ditubuhkan sebagai syarikat tujuan khas (SPV) bagi mengambil alih aset yang kurang berdaya saing.
  • Bayaran bonus yang tinggi diberikan kepada kakitangan TH dan lembaga pengarah TH Properties, termasuk yang didakwa tidak mematuhi peraturan.
  • Bonus yang diberikan dilaporkan antara dua hingga 13 bulan, termasuk bonus tahunan dan bonus khas.
  • Beberapa pelaburan syarikat subsidiari mengalami kerugian sehingga menjejaskan prestasi keseluruhan TH.

5. APAKAH SYOR UTAMA RCI?

Daripada 25 saranan yang dikemukakan, beberapa cadangan dikenal pasti sebagai langkah utama untuk memperkukuh TH.

MEMPERKUKUH TADBIR URUS

RCI mencadangkan Akta Tabung Haji dipinda dengan menetapkan kriteria yang lebih jelas bagi pelantikan anggota lembaga serta memperkemas struktur tadbir urus.

Suruhanjaya itu turut mengesyorkan supaya tanggungjawab diasingkan antara Menteri Agama yang mengurus hal ehwal haji dengan Menteri Kewangan yang bertanggungjawab terhadap aspek kewangan, dana dan pelaburan.

Penglibatan pihak pengurusan dan anggota lembaga dalam syarikat subsidiari juga dicadangkan dihadkan bagi mengelakkan konflik kepentingan.

MENINGKATKAN KETELUSAN PENGURUSAN KEWANGAN

RCI turut mencadangkan:

  • Penyata kewangan diaudit oleh firma audit swasta;
  • Pengagihan hibah dibuat hanya berdasarkan penyata kewangan yang telah diaudit;
  • Penyata kewangan mematuhi sepenuhnya piawaian pelaporan kewangan;
  • Amalan pemberian bonus yang berlebihan dihentikan; dan
  • Usaha mendapatkan semula bonus yang dibayar tanpa mematuhi peraturan diteruskan.

MENYIASAT PELABURAN BERMASALAH

Suruhanjaya itu turut mengesyorkan audit forensik terhadap 14 pelaburan bermasalah bagi mengenal pasti bagaimana keputusan pelaburan dibuat sehingga menyebabkan penurunan nilai aset.

Pada masa yang sama, pihak berkuasa disaran mengambil tindakan segera terhadap sebarang laporan berkaitan salah laku di TH serta mempercepatkan proses tatatertib.

MEMPERBAIKI MODEL PERNIAGAAN

RCI turut mengesyorkan kerajaan meneruskan pelan pemulihan TH, menstruktur semula sukuk, menambah baik dasar deposit dan Bantuan Kewangan Haji serta memastikan TH memberi tumpuan kepada pengurusan dana yang lebih selamat.

Suruhanjaya itu juga menegaskan TH tidak seharusnya terlibat dalam pelaburan berisiko tinggi, sebaliknya mengutamakan pelaburan yang mampan dan berhemat.

6. APAKAH KESIMPULAN RCI?

Secara keseluruhannya, RCI menyimpulkan masalah yang berlaku di TH berpunca daripada kelemahan tadbir urus, keputusan pelaburan yang tidak berhemat, pengurusan kewangan yang tidak mematuhi amalan terbaik serta campur tangan yang menjejaskan profesionalisme institusi.

Justeru, suruhanjaya itu mengemukakan 25 saranan bagi memperkukuh tadbir urus, meningkatkan ketelusan kewangan, menambah baik pengurusan pelaburan serta memastikan TH kembali beroperasi secara profesional, mampan dan bebas daripada campur tangan politik.

Sumber : Agensi berita/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita