Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

jelasBERITA: Apa yang kita tahu tentang nahas pesawat Jeju Air di Korea Selatan

Sebuah pesawat Jeju Air yang terbang dari Bangkok ke Korea Selatan dengan 181 orang di dalamnya terhempas ketika mendarat pada Ahad (29 Dis), menyebabkan semua penumpang maut kecuali dua orang yang kini dirawat di hospital.

Anggaran Waktu Membaca:
jelasBERITA: Apa yang kita tahu tentang nahas pesawat Jeju Air di Korea Selatan

(Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 30 Dec 2024 02:38PM Dikemas Kini : 30 Dec 2024 02:39PM
SEOUL: Sebuah pesawat Jeju Air yang terbang dari Bangkok ke Korea Selatan dengan 181 orang di dalamnya terhempas ketika mendarat pada Ahad (29 Dis), menyebabkan semua penumpang maut kecuali dua orang yang kini dirawat di hospital.

Berikut ini maklumat yang diketahui setakat ini.

APA YANG BERLAKU?

Pesawat Boeing 737-800 milik syarikat penerbangan tambang jimat Jeju Air, yang terbang dari Bangkok ke lapangan terbang Muan, diberi amaran tentang serangan burung oleh menara kawalan, ketika percubaan pertamanya mendarat sejurus elepas 9:00 pagi waktu tempatan.

Beberapa minit kemudian, juruterbang mengeluarkan amaran "mayday" dan cuba mendarat sekali lagi. Video menunjukkan pesawat itu, cuba "mendarat dengan perut pesawat" tanpa gear pendaratan diaktifkan.

Video dramatik menunjukkan pesawat itu tergelincir di sepanjang landasan dengan asap berkepul-kepul keluar sehingga ia melanggar struktur penghadang di hujung landasan dan terbakar.
SEMUA MAUT KECUALI 2 ORANG DISELAMATKAN

Terdapat 175 penumpang dan enam anak kapal dalam pesawat. Pekerja menyelamat mengeluarkan dua mangsa yang terselamat - kedua-duanya pramugari berusia 25 dan 33 tahun dari bangkai pesawat.

Penumpang yang maut berusia antara tiga hingga 78 tahun, semuanya warga Korea kecuali dua orang rakyat Thailand, menurut pihak berkuasa.

PUNCA NAHAS

Siasatan telah dimulakan, tetapi pegawai memberi tumpuan kepada kemungkinan nahas disebabkan perlanggaran dengan kawanan burung dan keadaan cuaca buruk.

"Satu siri kejadian harus berlaku bagi menyebabkan kehilangan nyawa yang begitu tinggi," kata perunding penerbangan Philip Butterworth-Hayes kepada AFP.

"Sistem perlindungan kemalangan di dalam pesawat sangat kukuh," katanya, menyifatkan bencana itu sebagai "insiden paling serius pernah saya lihat" dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Apabila ditanya sama ada landasan mungkin terlalu pendek, seorang pegawai berkata ia bukan faktor kejadian itu berlaku.

"Landasan itu sepanjang 2,800 meter, dan pesawat bersaiz serupa telah beroperasi di landasan berkenaan tanpa masalah," kata pegawai itu.

Kedua-dua kotak hitam -- perakam data penerbangan dan perakam suara kokpit -- telah ditemui, kata timbalan menteri pengangkutan Joo Jong-wan.
PELANGGARAN BURUNG?

Perlanggaran antara burung dan pesawat dalam penerbangan boleh membahayakan pesawat. Ia boleh menyebabkan pesawat kehilangan kuasa jika burung tersedut ke saluran udara, menurut Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

Perlanggaran burung telah menyebabkan beberapa kemalangan maut di seluruh dunia.

"Jumlah burung yang besar harus berlaku untuk menjejas enjin, dan seperti yang kita tahu, ia sangat jarang berlaku," kata Encik Butterworth-Hayes.

Beliau menyebut insiden yang dikenali secara meluas sebagai "Miracle on the Hudson" pada tahun 2009, apabila pesawat Airbus A320 US Airways terpaksa mendarat cemas di Sungai Hudson di New York selepas perlanggaran burung merosakkan kedua-dua enjinnya. Dalam kejadian itu semua penumpang berjaya menyelamatkan diri.

OPERASI MENYELAMAT

Beratus-ratus anggota bomba dan responden kecemasan lain, termasuk tentera, dikerahkan ke kawasan lapangan terbang Muan, dengan pemangku presiden Korea Selatan mengisytiharkan tapak itu sebagai zon bencana khas.

Pihak berkuasa berkata keluarga sedang menunggu di tingkat satu lapangan terbang Muan. Ramai yang dilihat menangis apabila mendengar berita itu.
RESPONS PEMERINTAH

Tragedi itu berlaku ketika Korea Selatan sedang dilanda krisis politik yang bermula apabila presiden ketika itu, Yoon Suk Yeol mengisytiharkan undang-undang tentera pada 3 Disember, beberapa hari sebelum beliau dipecat.

Pemangku Presiden Choi Sang-mok, pada hari ketiga beliau memegang jawatan, mengadakan mesyuarat tergempar dengan anggota Kabinet pada Ahad dan melawat tempat kejadian.
REKOD KESELAMATAN

Industri penerbangan Korea Selatan mempunyai rekod keselamatan yang kukuh dan nahas itu adalah kemalangan maut pertama bagi Jeju Air.

Pada 12 Ogos 2007, angin kencang menyebabkan pesawat Bombardier Q400 kendalian Jeju Air yang membawa 74 penumpang tergelincir dari landasan di lapangan terbang selatan yang lain, Busan-Gimhae.

Sebanyak 12 orang cedera.

Sebelum Ahad, nahas pesawat paling dahsyat di Korea Selatan berlaku pada 15 April 2002, apabila pesawat Boeing 767 Air China yang dalam perjalanan dari Beijing melanggar bukit berhampiran Busan-Gimhae, mengakibatkan 129 kematian.

Kemalangan maut terkini syarikat penerbangan Korea Selatan berlaku di San Francisco, California pada 6 Julai 2013. Pesawat Boeing 777 Asiana Airlines terbabas ketika melakukan pendaratan, menyebabkan tiga kematian dan 182 yang lain cedera.

Tragedi paling dahsyat yang menimpa syarikat penerbangan Korea Selatan berlaku pada 1 September 1983, apabila jet pejuang Soviet menembak jatuh pesawat Boeing 747, yang didakwa Mosko tersliap anggap sebagai pesawat pengintip.

Semua 23 anak kapal dan 246 penumpang di dalam pesawat Korean Air yang dalam penerbangan dari New York ke Seoul melalui Anchorage, Alaska itu terbunuh.
Sumber : AFP/SU/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan