Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

jelasBERITA: Apa virus Nipah yang merebak di Kerala, India?

Anggaran Waktu Membaca:
INDIA: Wilayah Kerala di selatan India sedang diletakkan di bawah keadaan berjaga-jaga peringkat tinggi demi membendung penularan virus Nipah selepas dua orang yang dijangkiti virus itu meninggal dunia.

Jumlah pesakit yang disahkan dijangkiti virus Nipah kini meningkat kepada enam orang.

Ini merupakan kali keempat sejak 2018 Kerala berdepan dengan penularan virus Nipah.

Sumber penularannya masih belum dikenal pasti, tetapi Kerala sudah memperhebat langkah-langkah demi membendungnya.

Sembilan kawasan di daerah Kozhikode - di mana kes jangkitan itu dikenal pasti - diisytiharkan sebagai zon pembendungan.

Pejabat perkhidmatan awam, bangunan pemerintah serta institusi keagamaan dan pendidikan di sembilan kawasan itu ditutup buat sementara waktu.

Hampir 800 orang, termasuk 153 pekerja jagaan kesihatan, yang dipercayai mempunyai hubungan rapat dengan para pesakit sedang dipantau. 17 daripada mereka diasingkan di hospital-hospital.

Wilayah jiran Karnataka juga sudah mengarahkan para pegawai agar meningkatkan usaha pemantauan.

Pemerintah persekutuan sudah mengerahkan beberapa pasukan ke Kerala untuk membantu pemerintah wilayah. Ini termasuk sebuah pasukan dari Pusat Nasional bagi Kawalan Penyakit dan sebuah lagi pasukan dari Institut Nasional bagi Virologi.

APA SEBENARNYA VIRUS NIPAH?

Nipah adalah sejenis virus zoonosis.

Bermakna, ia disebarkan antara haiwan dengan manusia.

Virus Nipah merebak melalui sentuhan cecair badan kelawar, babi atau orang yang dijangkiti.

Walaupun ia merebak secara lebih perlahan berbanding virus COVID-19, ia lebih kerap menyebabkan maut. Ia boleh membunuh antara 40 hingga 75 peratus pesakitnya.

Malah patogen itu berada dalam senarai Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi patogen dengan potensi mencetuskan wabak.
(Gambar fail: AFP)
Kes penularan pertama dilaporkan pada 1998 dalam kalangan para penternak babi di Singapura dan Malaysia. Hampir 300 orang dijangkiti virus Nipah, dengan lebih 100 pesakit meninggal dunia.

Sejak itu, sekurang-kurangnya lima penularan Nipah dilaporkan - dengan kebanyakannya di Bangladesh dan India.

Para saintis percaya pembawa virus itu adalah kelawar pemakan buah.

SEJAUH MANAKAH IA BERBAHAYA?

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), gejala jangkitan tersebut termasuk demam, sakit kepala, kesukaran bernafas dan muntah-muntah.

Sejauh ini, masih belum ada sebarang vaksin atau ubat untuk mencegah mahupun merawat virus Nipah. Ini bermakna menguruskan gejalanya adalah perkara terbaik yang boleh dilakukan pakar-pakar perubatan sejauh ini.

Usaha juga perlu tertumpu kepada penguatkuasaan protokol pengasingan, mengawal penularan dan memantau kontak rapat demi membantu mencegah virus tersebut daripada terus menular.
Sumber : Reuters/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan