Skip to main content

Dunia

jelasBERITA: Apa sebenarnya penyakit yang dihidapi Trump?

Selepas tersebarnya gambar-gambar menunjukkan buku lali Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang bengkak, Rumah Putih pada Khamis (17 Jul) mengesahkan bahawa beliau didiagnos dengan kekurangan salur darah vena kronik (chronic venous insufficiency).

Anggaran Waktu Membaca:
jelasBERITA: Apa sebenarnya penyakit yang dihidapi Trump?

Gambar yang menunjukkan kaki kiri dan buku lali Presiden Amerika Syarikat Donald Trump yang bengkak, serta presiden itu semasa satu mesyuarat pada 16 Julai 2025 di Washington. (Gambar: AP/Alex Brandon)

Diterbitkan : 18 Jul 2025 02:58PM Dikemas Kini : 18 Jul 2025 03:01PM
WASHINGTON: Selepas tersebarnya gambar-gambar menunjukkan buku lali Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang bengkak, Rumah Putih pada Khamis (17 Jul) mengesahkan bahawa beliau didiagnos dengan kekurangan salur darah vena kronik (chronic venous insufficiency).

Jurucakap Rumah Putih, Karoline Leavitt, mendedahkan bahawa Encik Trump mengalami keadaan bengkak di bahagian bawah kaki serta lebam pada tangan kanannya.

Namun beliau menegaskan bahawa kedua-dua keadaan itu tidak serius.

Beliau menambah bahawa lebam tersebut berpunca daripada "kerengsaan tisu akibat terlalu kerap berjabat tangan".

Doktor peribadi Encik Trump, Sean Barbabella, berkata ujian imbasan ultrabunyi ke atas kaki presiden itu “mengesahkan kekurangan salur darah vena yang kronik, satu keadaan biasa dan tidak berbahaya, khususnya dalam kalangan individu berusia lebih 70 tahun”.

APA ITU KEKURANGAN SALUR DARAH VENA?

Kekurangan vena kronik (CVI) berlaku apabila salur darah vena di kaki gagal menyalurkan darah kembali ke jantung dengan sempurna.

Proses mengepam darah dari kaki ke jantung melawan tarikan graviti dan merupakan satu cabaran, khususnya apabila seseorang itu berdiri atau duduk untuk tempoh yang panjang.

Oleh itu, saluran vena di kaki dilapisi injap sehala bagi mengelakkan darah daripada mengalir semula ke bawah.

Apabila injap tersebut tidak berfungsi dengan baik, darah boleh mengalir semula dan berkumpul di bahagian bawah kaki, menyebabkan gejala seperti bengkak di sekitar kaki dan buku lali.

Kerosakan pada injap boleh berpunca daripada perubahan pada saluran vena, seperti apabila ia melemah dan membesar, sekali gus menyebabkan injap tidak dapat tertutup dengan rapat.

Sebarang faktor yang menjejas injap tersebut boleh mengakibatkan CVI.

Seseorang individu mempunyai risiko yang lebih tinggi bagi CVI jika mereka mempunyai berat badan berlebihan, sedang mengandung, mempunyai sejarah keluarga, atau pernah mengalami kecederaan pada kaki akibat pembedahan, darah beku, atau kecederaan lain.

APA GEJALA CVI?

Selain bengkak di bahagian bawah kaki, gejala lain termasuk rasa lenguh, berat atau semut-semut di bahagian kaki serta kehadiran vena varikos

Dalam kes yang lebih teruk, luka terbuka atau ulser boleh terbentuk pada kaki.

Saluran darah kecil di bawah kulit yang dikenali sebagai kapilari juga boleh pecah akibat tekanan darah yang meningkat di kaki.

Gejala lain termasuk kulit merekah, luka terbuka pada permukaan kulit, dan perubahan warna kulit yang kecoklatan berhampiran buku lali.

ADAKAH KEADAAN CVI SERIUS?

CVI bukan satu ancaman kesihatan yang serius, tetapi boleh menyebabkan kesakitan dan menjejas mutu kehidupan, menurut Johns Hopkins Medicine.

Dr Todd Berland, pengarah intervensi vaskular pesakit luar di NYU Langone Health, berkata CVI “tidak memberi kesan kepada jangka hayat. Ia lebih kepada isu mutu hidup, bukan kuantiti hidup”.

Namun, Dr Kwame Amankwah, ketua pembedahan vaskular di University of Connecticut di Hartford, memberi amaran bahawa keadaan itu tetap tidak boleh dibiarkan tanpa rawatan.

“Jika tidak dirawat dengan menggunakan stokin mampat dan meninggikan kaki, pembengkakan yang teruk dan ulser boleh berlaku, yang memerlukan intervensi perubatan yang lebih besar,” katanya.

BAGAIMANA CVI BOLEH JADI LEBIH SERIUS?

CVI lazimnya bermula dengan ringan tetapi boleh menjadi lebih serius dan tidak selesa dari semasa ke semasa.

Terdapat enam tahap secara keseluruhan bagi CVI.

Tahap sifar tidak menunjukkan sebarang gejala. Tahap keenam pula melibatkan luka terbuka yang aktif pada bahagian kaki.

Pesakit kebiasaannya didiagnos pada tahap tiga, apabila pembengkakan menjadi ketara.

Satu kajian yang diterbitkan dalam Jurnal Jantung Eropah pada 2021 mendapati CVI dikaitkan dengan kehadiran penyakit jantung, dan pesakit yang mengalaminya menghadapi peningkatan risiko kematian dalam tempoh enam tahun susulan, tanpa mengira usia atau keadaan kesihatan lain.

BAGAIMANA CVI DIRAWAT?

Doktor perlu terlebih dahulu menolak kemungkinan punca lain bagi keadaan bengkak pada kaki, seperti masalah jantung, penyakit buah pinggang atau darah beku.

Tiada penawar bagi CVI, jadi rawatan tertumpu kepada mengurangkan kesakitan dan tekanan. Pilihan rawatan bergantung kepada pilihan pesakit, tahap keterukan dan tahap kecergasan mereka.

Perubahan gaya hidup merupakan langkah pertama, termasuk meningkatkan kegiatan fizikal dan meninggikan kaki melebihi paras jantung beberapa kali sehari.

Dr Anahita Dua, pakar bedah vaskular di Mass General Brigham, berkata mereka yang menghidap CVI boleh mengurangkan keadaan bengkak dengan memakai stokin mampat dengan gred perubatan, untuk membantu pengaliran darah ke jantung.

Ubat-ubatan mungkin diberi untuk meningkatkan pengaliran darah atau membantu penyembuhan luka.

Prosedur ablasi laser (laser ablation), iaitu kaedah invasif minimum, boleh diambil untuk menutup saluran vena dan memperbaiki pengaliran darah secara keseluruhan.

Bagi kes yang lebih serius, terapi skleroterapi boleh digunakan, di mana bahan kimia disuntik ke dalam saluran vena yang terjejas.

Bahan itu menyebabkan parut pada saluran tersebut agar ia tidak lagi mengalirkan darah. Darah kemudian akan disalurkan semula ke jantung melalui saluran vena lain.

Pembedahan mungkin dilakukan bagi kes yang sangat teruk, untuk mengikat atau membuang saluran vena yang terjejas.
Sumber : Agensi berita/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita