Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

jelasBERITA: Apa punca kebakaran merebak pantas di Los Angeles?

Kebakaran di Los Angeles dan kawasan sekitarnya, disifatkan sebagai bencana alam terburuk berlaku di rantau itu dalam tempoh beberapa dekad.

Anggaran Waktu Membaca:
jelasBERITA: Apa punca kebakaran merebak pantas di Los Angeles?

(Gambar: AFP)

Diterbitkan : 11 Jan 2025 04:59PM Dikemas Kini : 11 Jan 2025 06:14PM
LOS ANGELES: Kebakaran di Los Angeles dan kawasan sekitarnya, disifatkan sebagai bencana alam terburuk berlaku di rantau itu dalam tempoh beberapa dekad.

Kebakaran itu juga merebak dengan begitu pantas. Apabila penduduk kawasan Pacific Palisades di barat Los Angeles melihat kepulan asap tebal dari bukit bertentangan dengan rumah mereka pada pagi 7 Januari lalu, kebakaran itu sudahpun merebak seluas 10 hektar.

Dalam tempoh 25 minit sahaja, api merebak sejauh 200 hektar.

Menurut Bloomberg, punca kebakaran itu masih disiasat.

Namun corak cuaca terkini serta keadaan persekitaran yang unik di kawasan itu dipercayai menyumbang kepada penyebarannya.

1. KEMARAU DI CALIFORNIA SELATAN
Menurut Bloomberg, kemarau di California Selatan antara faktor yang menyebabkan kebakaran itu merebak dengan pantas.

Corak cuaca yang membawa kepada pengisytiharan fenomena La Nina pada 9 Januari lalu juga mengalihkan ribut pasifik dari California ke arah barat laut.

Selain itu, corak tekanan atmosfera luar biasa berhampiran Los Angeles menghalang ribut sejuk yang biasanya datang dari Teluk Alaska.

Kawasan itu tidak mendapat jumlah hujan yang ketara sejak April tahun lalu.

Menurut para penyelidik, musim kering berpanjangan pada musim sejuk berkemungkinan ada kaitan dengan pemanasan lautan, yang boleh menyebabkan jalur angin berkelajuan tinggi mempengaruhi keadaan cuaca di seluruh Amerika Utara sehingga ia menyimpang dari laluan yang biasa.

2. ANGIN BERMUSIM SANTA ANA
(Gambar ihsan: Balai Cerap Bumi NASA)
Namun, satu fenomena cuaca di Los Angeles tiba tepat pada waktunya.

Angin bermusim Santa Ana meniup udara dari dalam ke atas banjaran gunung California, menghasilkan angin panas dan kering yang menghala ke kawasan pantai.

Angin itu bahkan memburukkan lagi cuaca kemarau yang dialami California dengan mengeringkan tumbuh-tumbuhan di kawasan itu, menjadikannya rapuh dan mudah terbakar.

Sementara itu, pokok-pokok yang mati dan semak di sekitar kawasan berbukit di Los Angeles menjadi bahan bakar untuk memarakkan lagi kebakaran.

3. KAYU TERBAKAR
Angin yang bertiupan di sekitar California bukan sahaja bantu memarakkan api, ia juga meniupkan bara api yang merupakan punca utama kehilangan struktur dalam kebakaran hutan.

Bangunan atau jalan raya dapat menghalang kebakaran daripada merebak, tetapi tiada sebarang halangan yang dapat menyekat pergerakan bara api berkenaan.

Angin dapat meniup bara api dari pokok-pokok yang terbakar.

Ia justeru boleh mencetuskan kebakaran baharu apabila bara api jatuh pada bahan yang mudah terbakar.

4. KAWASAN BUKIT DAN CURAM
Landskap kawasan berbukit juga meningkatkan risiko kebakaran hutan.

"Api kebakaran dapat merebak dengan begitu pantas di atas bukit," kata pengkaji sains kebakaran di Universiti Edinburgh, Rory Hadden, seperti yang dilaporkan oleh BBC.

"Ciri-ciri geografi seperti curam dan jurang dapat menghasilkan pergerakan api yang mencabar, dan mustahil, mungkin bagi sesiapa pun untuk benar-benar memadamkan kebakaran."

Selain meningkatkan risiko kebakaran merebak dengan cepat, keadaan ini juga menyukarkan usaha pemindahan.

Di kawasan Palisades, jalan raya yang sempit berdekatan kawasan bukit menyulitkan penduduk yang cuba meninggalkan tempat itu.

5. PERUBAHAN IKLIM

Walaupun masih terlalu awal untuk menentukan sama ada atau sejauh mana perubahan iklim telah menyebabkan kebakaran itu, perubahan iklim dikaitkan dengan kebakaran hutan yang semakin buruk di seluruh dunia.

Jumlah hari di mana cuaca menimbulkan risiko tinggi berlakunya kebakaran juga semakin meningkat.

Malah, perubahan iklim menyebabkan keadaan ini bertambah buruk.

MENGAPA KEBAKARAN SUKAR DIKAWAL?

Menurut Bloomberg, pasukan bomba Los Angeles menghadapi masalah kekurangan air.

Ini kerana paip air di sekitar kawasan Los Angeles merupakan sebahagian daripada sistem air perbandaran yang menyediakan tekanan air mencukupi untuk memenuhi keperluan harian serta memadam kebakaran pada struktur individu.

Namun, sistem itu tidak cukup untuk mengawal kebakaran pada skala dan kekuatan sebesar ini.

Angin kencang turut menghalang operasi bomba kerana pesawat pemadam kebakaran tidak dapat dikerahkan.
Sumber : Agensi berita/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan