jelasBERITA: Apa makna lawatan bersejarah Pope Francis bagi Indonesia yang berbilang agama?

Gambar: Dita Alangkara/AP
JAKARTA: Pope Francis tiba di Indonesia pada Selasa (3 Sep) untuk memulakan lawatan paling panjang yang pernah dilakukan sejak beliau menyandang jawatan sebagai Paderi Besar Katolik kira-kira sedekad lalu.
Pope Francis yang berusia 87 tahun, akan melawat empat buah negara di rantau Asia-Pasifik, termasuk Papua New Guinea, Timor-Leste dan Singapura, dalam tempoh 12 hari.
Antara yang dinanti-nantikan semasa persinggahan beliau selama empat hari di ibu kota Indonesia, Jakarta adalah lawatan ke Masjid Istiqlal, iaitu masjid terbesar di Asia Tenggara, di mana beliau bakal mengadakan dialog berbilang agama dengan para pemimpin dari pelbagai agama.
Pope Francis dijadual mengadakan pertemuan empat mata dengan Presiden Joko Widodo di Istana Merdeka, dan memimpin perhimpunan lebih 80,000 penganut Katolik di kompleks stadium Gelora Bung Karno.
Bagi sebuah negara yang berbilang budaya seperti Indonesia, lawatan beliau dianggap penting bagi beberapa kumpulan.
LAWATAN POPE IBARAT "BERI NAFAS BAHARU"
Indonesia mempunyai jumlah penduduk Muslim terbesar di dunia, yang membentuk 87 peratus daripada jumlah penduduknya yang berjumlah kira-kira 280 juta.
Ia juga mempunyai jumlah penganut Kristian ketiga terbesar di Asia menyusuli Filipina dan China. Hanya 2.9 peratus daripada bilangan penduduk di sana adalah penganut Katolik.
Lawatan Pope Francis digambarkan sebagai "nafas baharu bagi semua masyarakat agama di Indonesia," jelas Ulil Abshar Abdalla, pengerusi lembaga eksekutif Nahdlatul Ulama – pertubuhan Islam terbesar di negara itu dengan lebih daripada 80 juta anggota.
"Kami menganggap lawatan ini sangat penting. Ia simbolik tetapi apa yang dilambangkannya adalah penting kerana ia akan memberi inspirasi kepada akar umbi untuk membina hubungan yang terus bertolak ansur dan saling menghormati satu sama lain," tambahnya.
"Saya pasti ini bukan sekadar lawatan biasa-biasa saja, tetapi lawatan yang mempunyai kesan sebenar terhadap kehidupan dan hubungan antara masyrakat agama, terutamanya antara Muslim dan penganut Katolik."
Thomas Ulun Ismoyo, jurucakap Jawatankuasa Lawatan Pope Francis di Jakarta, turut menyatakan bahawa lawatan Pope tersebut "menunjukkan pentingnya Indonesia di hadapan Vatican".
Di Gereja Our Lady of the Assumption, katedral tertua di Jakarta, beberapa penganut Katolik menzahirkan rasa terharu sehingga ada yang menitiskan air mata menjelang ketibaan Pope Francis.
Seorang penduduk Jakarta berkongsi bhawa beliau penuh emosi dan berasa gembira, sama seperti yang dirasakan ketika Pope John Paul II, yang merupakan Paderi Besar Katolik dari 1978 sehingga kematiannya pada 2005, melawat Indonesia pada 1989.
Ini adalah lawatan pertama yang dilakukan seorang Pope ke Indonesia sejak itu.
MESYUARAT BERBILANG AGAMA DI MASJID
Masjid Istiqlal, di mana Pope itu akan mengadakan mesyuarat antara agama pada Khamis, terletak betul-betul bertentangan sebuah gereja dan dipisahkan oleh sebatang jalan yang sempit.
Kedua-dua tempat ibadah itu dihubungkan dengan terowong, yang dianggap sebagai bukti pendekatan sederhana di negara majoriti Islam tersebut.
Pope Francis dijadual mengadakan pertemuan itu dengan wakil enam agama yang diiktiraf secara rasmi di Indonesia: Islam, Buddha, Konfusianisme, Hindu, Katolik dan Protestanisme.
Beliau juga akan menandatangani pengisytiharan bersama Imam Besar masjid itu, Nasaruddin Umar.
"Bagi kami, ini adalah peluang terbaik untuk memperkenalkan Indonesia, dan ia pasti akan mengubah pandangan dunia (terhadap Indonesia)," kata Encik Nasaruddin.
"Pokoknya ialah Indonesia benar-benar merupakan sebuah negara yang menghormati tetamunya, siapa pun mereka."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.