jelasBERITA: Apa kesannya terhadap Asia dan dunia jika saluran paip minyak Saudi ditutup?
Dengan perang Timur Tengah mengganggu aliran minyak menerusi Selat Hormuz, penutupan saluran paip Timur-Barat Arab Saudi menjadi laluan alternatif penting bagi mengeksport minyak mentah negara itu ke pasaran global.
Gambar satelit menunjukkan sebuah stesen pam di sepanjang laluan saluran paip Timur-Barat Arab Saudi di Al-Mesabaah, tenggara Madinah, pada 13 September 2026, selepas serangan menyebabkan kebakaran dan kerosakan pada kemudahan tersebut. (Gambar: AFP/Vantor)
SINGAPURA: Dengan perang Timur Tengah mengganggu aliran minyak menerusi Selat Hormuz, penutupan saluran paip Timur-Barat Arab Saudi menjadi laluan alternatif penting bagi mengeksport minyak mentah negara itu ke pasaran global.
Namun dengan saluran paip itu ditutup pada 11 September, sehari selepas serangan dron, ia sekali gus menutup salah satu laluan alternatif utama Arab Saudi untuk memintas Selat Hormuz.
Arab Saudi menyifatkan penutupan itu sebagai "langkah berjaga-jaga", namun tahap kerosakan dan tempoh yang diperlukan untuk kerja pembaikan masih belum jelas.
Anggaran mengenai tempoh penutupan berbeza-beza, daripada beberapa hari sehingga lima atau enam minggu.
Dengan laluan Laut Merah turut berdepan ancaman yang semakin meningkat daripada kumpulan Houthi di Yaman, apakah pilihan yang masih ada bagi Arab Saudi untuk mengeksport minyaknya?
Apa pula kesannya terhadap pasaran minyak dunia, khususnya di Asia?
APA ITU SALURAN PAIP TIMUR-BARAT DAN MENGAPA IA PENTING?
Dibina pada tahun 1980-an, saluran paip Timur-Barat atau 'East-West Pipeline', yang juga dikenali sebagai Petroline, sepanjang 1,200 kilometer merentasi Arab Saudi.
Ia membawa minyak mentah dari kawasan pengeluaran minyak di bahagian timur Arab Saudi ke pelabuhan Yanbu di pesisir Laut Merah.
Saluran paip itu mempunyai kapasiti maksimum sekitar tujuh juta tong sehari.
Ini membolehkan Arab Saudi menghantar minyak ke Laut Merah tanpa perlu melalui Selat Hormuz.
Fungsi itu menjadi semakin penting sejak perang Timur Tengah menjejas perkapalan menerusi Selat Hormuz.
Arab Saudi meningkatkan jumlah minyak mentah yang dihantar ke arah barat menerusi saluran paip tersebut kepada sekitar empat juta tong sehari, berbanding kira-kira 973,000 tong sehari setahun sebelumnya.
Jumlah itu bersamaan kira-kira empat peratus daripada bekalan minyak dunia.
Saluran paip itu sekali gus menjadi penampan penting bagi Arab Saudi untuk mengekalkan sebahagian eksport minyaknya apabila laluan tradisional menerusi Teluk terjejas.
Namun dengan saluran tersebut kini tidak beroperasi, Arab Saudi terpaksa menggunakan simpanan minyak mentah di Yanbu dan kemudahan lain untuk mengekalkan eksport.
Semakin lama penutupan itu berlarutan, semakin sukar bagi negara tersebut mengekalkan aliran eksport tanpa mencari laluan alternatif atau mengurangkan eksport.
TIADA LALUAN LAIN?
Secara teori, Arab Saudi mempunyai beberapa pilihan, tetapi setiap satu mempunyai kekangan.
Pilihan paling jelas ialah Selat Hormuz, yang biasanya digunakan untuk menghantar sejumlah besar minyak mentah Arab Saudi.
Namun aliran minyak menerusi selat itu terjejas teruk akibat perang di rantau tersebut.
Satu lagi pilihan ialah Laut Merah menerusi Selat Bab el-Mandeb, yang menghubungkan Laut Merah dengan Teluk Aden.
Namun laluan itu juga semakin sukar digunakan selepas Houthi menguasai seluruh pesisir Laut Merah Yaman, termasuk tiga pulau strategik dan pelabuhan Mokha.
Minyak mentah Arab Saudi yang sampai ke Yanbu boleh dimuatkan ke kapal tangki sebelum dihantar ke utara menerusi Terusan Suez atau ke selatan menerusi Selat Bab el-Mandeb menuju ke Asia.
Sekiranya laluan tersebut dianggap terlalu berisiko, kapal mungkin perlu mengelakkan Laut Merah sepenuhnya dan belayar mengelilingi Afrika menerusi Cape of Good Hope.
Perjalanan itu boleh mengambil masa beberapa minggu lebih lama dan meningkatkan dengan ketara kos bahan api, insurans serta pengangkutan.
Arab Saudi juga sedang mencari pilihan lain.
Saudi Aramco menawarkan penghantaran tambahan minyak mentah kepada syarikat penapis minyak Asia menerusi pemindahan dari kapal ke kapal di luar pelabuhan Sohar di Oman.
MENGAPA PILIHAN ARAB SAUDI TERHAD?
Masalahnya bukan sekadar kehilangan satu saluran paip.
Saluran Paip Timur-Barat dibina khusus untuk menyediakan laluan alternatif kepada Selat Hormuz.
Naib Presiden Pasaran Komoditi Minyak Rystad Energy Janiv Shah berkata sebarang gangguan terhadap saluran itu akan mengehadkan dengan ketara jumlah eksport Arab Saudi.
Tiada saluran paip lain di Arab Saudi yang mempunyai skala dan kapasiti setanding.
Profesor Mark Goh dari Jabatan Analitik dan Operasi, Sekolah Perniagaan Universiti Nasional Singapura (NUS), turut berkata Arab Saudi mempunyai hanya beberapa pilihan sebenar untuk menggantikan Saluran Paip Timur-Barat.
Arab Saudi juga sudah mengurangkan sebahagian penghantaran minyaknya ke Eropah.
APA KESANNYA TERHADAP HARGA MINYAK?
Kebimbangan mengenai bekalan mendorong harga minyak naik lebih AS$3 pada Selasa (15 Sep).
Minyak mentah Brent ditutup 2.9 peratus lebih tinggi pada AS$108.75 (S$138.48) setong, manakala West Texas Intermediate (WTI) meningkat 4.4 peratus kepada AS$105.83 setong.
Encik Shah menjangkakan saluran paip tersebut mungkin tidak beroperasi selama kira-kira tiga hingga lima minggu.
Sekiranya gangguan hanya berlaku dalam tempoh singkat, kesannya mungkin lebih ketara pada harga minyak serta kos pengangkutan dan insurans.
Namun jika penutupan berlarutan selama beberapa minggu, ia boleh menyebabkan masalah bekalan yang lebih nyata, termasuk penghantaran yang tidak dapat dilakukan, kelewatan pemuatan minyak serta syarikat penapis terpaksa mendapatkan bekalan gantian.
Pemerintah juga mungkin menimbangkan untuk menggunakan rizab petroleum strategik jika gangguan bekalan menjadi cukup serius.
MENGAPA ASIA PALING TERDEDAH?
Asia amat terdedah kepada gangguan tersebut kerana kebergantungannya yang tinggi terhadap minyak mentah dari Timur Tengah.
Menurut data syarikat analitik komoditi Kpler, import minyak mentah Asia dari Timur Tengah meningkat kepada 11.11 juta tong sehari pada Ogos.
Syarikat penapis minyak Asia sudah bersiap sedia menghadapi bekalan lebih ketat bagi jenis minyak mentah berat dengan kandungan sulfur tinggi yang dibekalkan Arab Saudi dan pengeluar Timur Tengah lain.
Masalahnya bukan semudah mencari minyak daripada negara lain.
Kilang penapisan direka untuk memproses jenis minyak mentah tertentu. Menukar pembekal boleh menjejas jumlah dan jenis produk yang mampu dihasilkan.
Profesor Goh berkata pembeli Asia perlu menimbangkan beberapa faktor, termasuk kesesuaian jenis minyak mentah, keselamatan penghantaran, tempoh penghantaran serta kebolehpercayaan bekalan kontrak.
Permintaan boleh beralih kepada minyak mentah dari pengeluar seperti Amiriah Arab Bersatu (UAE), Iraq dan Kuwait serta pembekal di luar Timur Tengah.
Encik Shah berkata syarikat penapisan minyak Asia boleh beralih kepada jenis minyak mentah lain dalam jangka pendek, bergantung pada tempoh gangguan tersebut berlarutan.
Namun, memandangkan loji penapisan direka untuk memproses gred minyak mentah tertentu, mereka berkemungkinan kembali menggunakan minyak mentah Timur Tengah apabila bekalan tersedia semula.
“Hasil yang diperoleh jauh lebih baik,” katanya.
Profesor Goh menambah bahawa gangguan itu juga boleh mendorong penilaian semula secara menyeluruh terhadap usaha mempelbagaikan sumber minyak mentah dalam jangka panjang.
“Bagi perniagaan, tumpuan akan diberikan kepada harga, kontrak jangka panjang, kos pengangkutan, insurans dan sumber bekalan,” kata beliau.
ADAKAH DUNIA KEHABISAN LALUAN ALTERNATIF?
Beberapa negara boleh menggantikan sebahagian bekalan minyak Arab Saudi.
Antaranya UAE, Kuwait, Iraq, Amerika Syarikat, Brazil, Rusia dan Venezuela.
Namun setiap negara mempunyai kekangan tersendiri.
Kuwait dan Iraq turut terjejas oleh perang di Timur Tengah dan bergantung kepada Selat Hormuz.
Minyak mentah dari Amerika dan Brazil pula mempunyai ciri berbeza daripada jenis yang diperlukan sesetengah syarikat penapis Asia, manakala Rusia dan Venezuela berdepan sekatan atau kekangan politik.
Antara laluan paip alternatif yang masih ada ialah saluran paip minyak Kirkuk-Ceyhan yang menuju ke pelabuhan Ceyhan di Turki dan saluran paip Habshan-Fujairah di UAE.
Namun saluran Kirkuk-Ceyhan mempunyai kekangan kapasiti, manakala saluran UAE yang mengalirkan sekitar 1.5 juta hingga 1.8 juta tong sehari sudah beroperasi pada kapasiti maksimum.
Walaupun UAE tidak dapat menggantikan jumlah minyak yang dihasilkan Arab Saudi, Profesor Goh berkata negara itu merupakan pengganti paling penting di rantau Teluk kerana saluran paipnya ke Fujairah tidak melalui Selat Hormuz.
“Namun, ia tidak menyelesaikan masalah serantau; ia hanya melindungi sebahagian daripada keupayaan eksport UAE.”
Profesor Goh berkata bagi jangka panjang, lebih banyak saluran paip alternatif perlu dibina dalam rangkaian bekalan sedia ada. Namun, cabarannya adalah untuk membina prasarana itu pada skala yang mencukupi dan dengan kos yang munasabah.
Encik Shah pula berkata kemungkinan pengumuman mengenai koridor perkapalan yang menghubungkan Iran dengan Oman juga boleh membantu.
“Ia boleh membolehkan aliran tambahan. Namun buat masa ini, dengan ketegangan geopolitik yang semakin memuncak, rancangan itu nampaknya akan ditangguhkan.”
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.