jelasBERITA: Apa itu 'Lembaga Keamanan'?
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengadakan sidang media bersama Presiden Rusia Vladimir Putin menyusuli mesyuarat bagi merunding menamatkan perang di Ukraine pada 15 Ogos 2025. (Gambar fail: Reuters/Jeenah Moon)
This audio is generated by an AI tool.
Lembaga itu pada awalnya ditubuhkan untuk menyelia pembangunan semula Gaza, tetapi piagam itu kelihatan tidak mengehadkan peranannya kepada wilayah Palestin yang diduduki.
Apakah peranan pertubuhan baharu ini dan siapakah yang diundang untuk menyertainya?
BAGAIMANA IA BEROPERASI
Menurut draf piagam, Lembaga Keamanan itu adalah pertubuhan antarabangsa yang bertujuan "menggalakkan kestabilan, memulihkan tadbir urus yang boleh dipercayai dan sah, serta menjamin keamanan berkekalan di kawasan yang terjejas atau diancam konflik".
Ia akan "menjalankan fungsi membina keamanan selaras dengan undang-undang antarabangsa", tambahnya.
Lembaga itu akan dipengerusi oleh Encik Trump, yang juga akan berkhidmat secara berasingan sebagai wakil sulung Amerika Syarikat.
Menurut hak pengerusi yang disenaraikan dalam dokumen itu, beliau akan mempunyai "kuasa eksklusif untuk mencipta, mengubah suai atau membubarkan entiti subsidiari yang perlu atau sesuai untuk memenuhi misi lembaga keamanan".
Beliau juga akan memilih anggota lembaga eksekutif untuk menjadi "pemimpin bertaraf global" yang akan berkhidmat selama dua tahun - tertakluk kepada penyingkiran oleh pengerusi.
Rumah Putih sudah pun mengumumkan lembaga eksekutif pengasas bagi pertubuhan itu.
Para anggotanya termasuk Setiausaha Negara Amerika Syarikat Marco Rubio, utusan Rumah Putih Steve Witkoff dan mantan Perdana Menteri Britain Tony Blair.
Beliau hanya boleh digantikan sekiranya berlaku "peletakan jawatan atau disebabkan oleh ketidakupayaan".
Lembaga itu juga termasuk negara-negara anggota, tetapi negara-negara itu perlu diundang oleh Presiden Amerika.
Mereka akan diwakili oleh ketua wilayah atau pemerintah, dan setiap anggota akan berkhidmat selama tempoh penggal sehingga tiga tahun.
Namun "tempoh keanggotaan tiga tahun itu tidak tertakluk kepada negara-negara anggota yang menyumbang dana tunai lebih daripada AS$1,000,000,000 (S$1,282,770,000) kepada Lembaga Keamanan pada tahun pertama piagam itu mula berkuat kuasa", menurut draf dokumen tersebut.
Lembaga itu akan mengadakan mesyuarat pengundian sekurang-kurangnya setiap tahun, dengan setiap negara anggota berhak mendapat satu undi.
Namun walaupun semua keputusan memerlukan "majoriti negara anggota hadir dan mengundi", ia juga akan "tertakluk kepada kelulusan pengerusi, yang mungkin juga mengundi atas keupayaannya sebagai pengerusi sekiranya berlaku keputusan seri", menurut piagam itu.
ANGGOTA LEMBAGA DAN NEGARA YANG DIUNDANG
Selain anggota lembaga eksekutif pengasas, Encik Trump juga melantik dua penasihat kanan bagi pertubuhan itu.
Kedua-dua lelaki itu - CEO Abraham Accords Peace Institute, Aryeh Lightstone dan
Pesuruhjaya Pengambilalihan Persekutuan (Commissioner of the Federal Acquisition), Josh Gruenbaum - akan memimpin strategi dan operasi seharian lembaga itu.
Beberapa negara dan pemimpin dunia juga menyatakan mereka sudah menerima undangan daripada Encik Trump.
Ini termasuk Presiden Rusia Vladimir Putin, Perdana Menteri Kanada Mark Carney, Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi dan Presiden Argentina Javiet Milei.
Kementerian Ehwal Luar Singapura menyatakan pada Selasa (20 Jan) pihaknya juga menerima undangan dan kini sedang menelitinya.
Beberapa negara lain yang diundang termasuk: Israel, China, India, Pakistan, Jerman, Perancis, Itali, Jordan, Brazil, Paraguay, Hungary, Romania, Kazakhstan, Uzbekistan, Belarus, Greece, Maghribi, Slovenia dan Poland.
RESPONS KEPADA UNDANGAN
Reaksi awal daripada Perancis dan Kanada - dua sekutu utama Amerika - tidak begitu bersemangat.
Satu sumber pemerintah Kanada berkata Ottawa tidak akan membuat bayaran untuk menyertai lembaga itu, dan belum lagi menerima permohonan untuk membuat bayaran, selepas Encik Carney menyatakan beliau akan menerima undangan untuk menyertai lembaga itu.
Menteri Luar Perancis Jean-Noel Barrot berkata pada Isnin bahawa negaranya tidak akan menerima undangan itu di peringkat ini, sambil menyatakan piagam lembaga itu menjangkau skop pembangunan semula dan pengendalian Gaza pascaperang yang disokong oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Beliau menambah bahawa ia "tidak bertepatan dengan komitmen antarabangsa Perancis dan secara khususnya keanggotaannya dalam PBB, yang tentu sekali tidak boleh dipersoalkan dalam apa jua situasi".
Perancis merupakan salah satu daripada lima anggota tetap Majlis Keselamatan PBB dengan kuasa veto, selain Amerika Syarikat, China, Rusia dan Britain.
Sumber yang rapat dengan Presiden Emmanuel Macron juga memberitahu Reuters pada Isnin bahawa Perancis berhasrat untuk menolak undangan menyertai inisiatif tersebut di peringkat ini.
Namun, setiausaha akhbar bagi Presiden Kazakhstan Kassym-Jomart Tokayev dan Presiden Uzbekistan Shavkat Mirziyoyev berkata mereka akan menyertai lembaga itu.
KEPRIHATINAN
Penyertaan 'piagam' dalam surat undangan keanggotaan menimbulkan keprihatinan bahawa ia mungkin meremehkan tugas PBB.
Menurut seorang pegawai kanan PBB, PBB merupakan satu-satunya institusi dengan keupayaan moral dan sah untuk menyatukan setiap negara, tidak kira kecil atau besar.
Paul Williams, profesor ehwal antarabangsa di Universiti George Washington memberitahu AFP bahawa tawaran keanggotaan tetap pada harga AS$1 bilion menunjukkan bahawa Encik Trump "cuba menjadikannya sebagai alternatif bayar-untuk-sertai kepada Majlis Keselamatan PBB di mana Encik Trump sahaja mempunyai kuasa veto".
Lembaga itu juga mungkin berhasrat untuk menggantikan institusi berbilang hala sedia ada di mana pentadbiran Encik Trump bersikap bermusuhan dengannya, kata Khaled Elgindy, seorang zamil kanan penyelidikan di pusat pemikir Amerika Quincy Institute for Responsible Statecraft.
"Terdapat tanggapan terutamanya daripada pentadbiran bahawa mereka ingin meluaskan capaian lembaga keamanan dan juga bercakap tentang menggantikan sistem PBB semasa," katanya.
“Adalah jelas bahawa Gaza mungkin satu permulaan, tetapi ia bukanlah penamat kepada lembaga keamanan setakat pentadbiran Trump,” tambahnya.
"Peranan kedua untuk menggantikan institusi berbilang hala yang sedia ada mungkin lebih menjadi keutamaan daripada fungsi utamanya di Gaza untuk pentadbiran ini, kerana Gaza sebenarnya tidak mempunyai nilai strategik sebenar untuk Donald Trump."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.