Skip to main content

Dunia

jelasBERITA: Apa itu kabel dasar laut? Mengapa ia penting?

Anggaran Waktu Membaca:
jelasBERITA: Apa itu kabel dasar laut? Mengapa ia penting?

Kabel gentian optik di dasar laut. (Gambar: iStock/imaginima)

SINGAPURA: Pada November 2023, dua kabel telekomunikasi di Laut Baltik terputus dalam masa 48 jam, mencetuskan rasa curiga tentang kemungkinan berlaku "sabotaj" dan perang hibrid".

Keadaan itu dilaporkan ada kaitan dengan sebuah kapal China. Beijing menyatakan pihaknya bersedia membantu siasatan, manakala Rusia menafikan ia terlibat.

Satu insiden serupa berlaku tahun lalu apabila sebuah kapal China merosakkan - dalam pengakuan selepas kejadian - kabel data dasar laut yang menghubungkan Estonia dengan Sweden.

Sejak 2022, apabila Rusia menceroboh Ukraine, terdapat sekurang-kurangnya tiga insiden kemungkinan berlaku sabotaj ke atas puluhan kabel telekomunikasi di dasar laut Baltik.

APA ITU KABEL DASAR LAUT?

Ia adalah kabel gentian optik yang ditempatkan di dasar laut, untuk menyampaikan berbilang terabit data setiap saat antara benua berbeza.

Ia dikatakan setebal getah paip yang biasa digunakan untuk menyiram tumbuh-tumbuhan di taman, dengan ukuran lebar antara 2 sentimer (sm) hingga 5sm atau lebih, bergantung kepada sama ada terdapat perlindungan tambahan.

Menurut TeleGeography, sebuah syarikat kajian pasaran telekomunikasi, terdapat lebih 600 kabel aktif dan yang dirancang diseluruh dunia.

Kabel ini lazimnya direka untuk dapat bertahan sekurang-kurangnya 25 tahun.

Ia dahulunya dimiliki dan dikendalikan oleh penyedia telekomunikasi yang membentuk konsortium dengan pihak-pihak yang berminat menggunakan kabel tersebut.

Lama-kelamaan, lebih banyak syarikat privet melabur dalam prasarana itu dan hari ini, syarikat teknologi besar seperti Meta, Google, Microsoft dan Amazon sama ada secara individu atau bergabung mengendalikan kabel di dasar laut.

KENAPA IA PENTING?

Kabel di dasar laut dilihat sebagai teknologi maklumat dan telekomunikasi yang penting.

Seringkali disifatkan sebagai "tunjang internet global", ia boleh membawa lebih 99 peratus trafik data dunia, termasuk emel, laman web dan panggilan video.

Ia juga boleh menyampaikan lebih banyak data pada kos lebih rendah berbanding satelit.

Penghantaran maklumat sensitf pemerintah juga sangat bergantung kepada prasarana dasar laut, menurut Pusat bagi Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS).

Badan pemikir yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu menarik perhatian bahawa kabel dasar laut membantu meningkatkan akses kepada internet berkelajuan tinggi ke seluruh dunia, sekali gus merangsang pertumbuhan ekonomi.

BAGAIMANA KABEL DIPASANG? APA YANG BERLAKU JIKA IA DIPOTONG?

Pertama, tinjauan di dasar laut dijalankan untuk memastikan laluan kabel.

Sebuah kapal khas kemudian dengan berhati-hati meletakkan kabel tersebut.

Kabel yang lebih dekat dengan pantai ditimbuskan di dasar laut untuk melindunginya daripada tersangkut pukat tunda atau sauh nelayan.

Namun di laut dalam, ia diletakkan sahaja di dasar laut.

Adalah satu perkara biasa bagi kabel di dasar laut itu mengalami kerosakan , dengan sehingga 150 terputus setiap tahun, kebanyakannya disebabkan oleh peralatan memancing ikan atau sauh, menurut CSIS.

Kesannya berbeza. Satu laporan BBC menyatakanbahawa banyak negara memiliki jumlah kabel yang lebih banyak daripada yang diperlukan. Bermakna, meskipun ada yang rosak, mereka masih boleh bergantung kepada yang lain.

Sekalipun demikian, ada masanya apabila khidmat internet boleh terganggu disebabkan kabel yang terputus, seperti yang berlaku di Afrika Timur pada Mei.

Selain perlindungan fizikal, sistem pemantauan elektronik juga digunakan untuk melindungi kabel.

Sistem-sistem itu boleh mengesan perubahan atau kejanggalan dalam persekitaran di dasar laut dan memaklumkan kepada pengendali mengenai kemungkinan adanya bahaya, menurut CSIS.

SEBAB GANGGUAN LEBIH KERAP BERLAKU?

Lebih banyak perhatian kini diberikan terhadap insiden sedemikian disebabkan perang Rusia-Ukraine yang berlarutan serta ketegangan di Selat Taiwan, kata Asha Hemrajani, seorang zamil kanan di Sekolah Pengajian Antarabangsa S Rajaratnam (RSIS).

Dalam pada itu, ketegangan geopolitik di beberapa tempat berkemungkinan menjadi faktor utama dalam beberapa kes gangguan kabel di dasar laut baru-baru ini, kata beliau.

Cik Hemrajani memetik contoh seperti Kepulauan Matsu Taiwan, yang kabel internetnya diputuskan oleh kapal-kapal China pada awal 2023.

Tterdapat juga persaingan teknologi antara Amerika Syarikat dengan China, dengan rasa tidak percaya turut menjejas sektor-sektor utama lain termasuk kabel dasar laut, ujar beliau.

Tempat 'panas' lain termasuk beberapa bahagian Eropah, serta Timur Tengah.

Ketegangan berpanjangan di Laut China Selatan - yang sebahagian besarnya dituntut China - juga menjejas kabel dasar laut, khususnya proses menempatkannya.

Misalnya, laluan paling pendek bagi kabel dari Singapura dan Jepun adalah melalui kawasan air yang luas.

"Namun beberapa pengendali kabel sudah mengatakan bahawa semakin sukar untuk mendapatkan permit daripada China untuk meletakkan kabel," kata Cik Hemrajani.

"Pemerintah China agak perlahan dalam mengeluarkan permit - ia begitu perlahan sehingga membuatkan sesetengah syarikat memilih laluan alternatif."

Ini menyebabkan masa yang lebih panjang dan kos lebih tinggi untuk meletakkan kabel di dasar laut. Laluan yang lebih panjang juga bermakna kelajuan yang rendah, tambah beliau.

APAKAH USAHA GLOBAL UNTUK LINDUNGI KABEL?

Jawatankuasa Perlindungan Kabel Antarabangsa (ICPC), misalnya, diasaskan pada 1958. Ia terdiri daripada lebih 230 pertubuhan anggota dari lebih 70 negara, yang membina, mengendalikan dan menyenggara prasarana telekomunikasi kapal selam dan kabel tenaga.

ICPC juga baru-baru- ini bergabung dengan Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa untuk melancarkan sebuah lembaga penasihat global, sejurus selepas insiden di Laut Baltik.

Di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada September, satu kenyataan bersama juga dikeluarkan untuk mengisytihar komitmen bersama bagi keselamatan dan daya bingkas prasarana kabel di dasar laut.

Saranannya termasuk menggalak pengendali unutk memiliki dan bekerjasama secara telus.

"China percaya kenyataan-kenyataan ini adalah cara untuk mengawal syarikat China yang beroperasi di ruang kabel dasar laut," kata Cik Hemrajani.

Beliau menambah kenyataan ini penting bagi Singapura - yang mengesahkannya - dan status negara ini sebagai sebuah ekonomi yang sangat terhubung dengan seluruh dunia.

IMPLIKASI BAGI ASIA TENGGARA?

Kabel dasar laut semakin tinggi nilainya - dan terdedah kepada risiko - bagi negara-negara di Asia Tenggara, kata Cik Elina Noor, seorang zamil kanan dalam Program Asia di badan pemikir Carnegie Endowment for International Peace.

Beliau menulis dalam satu kertas penyelidikan bahawa disebabkan lokasinya, Asia Tenggara merupakan rangkaian utama kabel dasar laut di seluruh dunia, dan bertindak sebagai gerbang komunikasi ke Amerika Utara dan Afrika.

Menjelang 2025, dianggarkan 10 projek kabel utama di sekitar Asia Tenggara akan mula beroperasi untuk memenuhi permintaan jalur lebar yang semakin meningkat.

Malaysia, Vietnam dan Singapura sudah mempergiat usaha untuk meningkatkan keupayaan kabel dasar laut masing-masing.

Malaysia kini mempunyai 29 rangkaian kabel dasar laut, termasuk yang sedang dalam pembinaan, dan enam stesen pendaratan kabel. Menjelang tahun depan, ia menyasarkan untuk mempunyai paling banyak kabel di Asia Tenggara, menurut Penguasa Pembangunan Pelaburan Malaysia.

Awal tahun ini, Vietnam juga mengumumkan rancangan untuk membina sekurang-kurangnya 10 laluan kabel dasar laut baharu menjelang 2030, menjadikan jumlah keseluruhannya 15.

Setakat 2023, Singapura mempunyai 26 kabel dasar laut di tiga tapak, dengan rancangan untuk menggandakan bilangan tapak dan menambah lebih banyak kabel.

CABARAN SG?

Laporan dasar RSIS yang diterbitkan pada bulan Mei menyatakan bahawa Singapura "terletak di kedudukan geografi yang kurang baik" dalam usaha melindungi kabelnya, kerana ia tidak dapat menuntut semua zon maritim penuh yang diberikan kepadanya di bawah Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut 1982 disebabkan jarak dekatnya dengan negara jiran Indonesia dan Malaysia.

Satu lagi risiko utama kepada kabel Singapura adalah dari segi kerosakan yang berlaku di ruang di bawah kedaulatan atau bidang kuasa negara lain, menurut kertas penyelidikan itu, yang menyenaraikan Cik Hemrajani sebagai salah seorang daripada empat penulis pakar.

Laporan itu mengesyorkan Singapura menetapkan kabel dan stesen kabel sebagai prasarana maklumat kritikal (CII), manakala syarikat yang mengendalikannya ditetapkan sebagai penyedia khidmat CII.

Ia kemudian perlu memaklumkan kepada pihak berkuasa tentang sebarang gangguan perkhidmatan akibat vandalisme, perang atau kerosakan tidak sengaja.

Cadangan lain termasuk meningkatkan kerjasama antara agensi, serta kerjasama melalui Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara atau ASEAN.

"Perlindungan kabel dasar laut yang berkesan memerlukan kerjasama serantau dan antarabangsa, dan tidak boleh dilakukan oleh Singapura sahaja," tulis para pakar.
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita