Skip to main content

Dunia

jelasBERITA: Apa itu jangkitan tekak 'strep' yang kian berleluasa di Jepun dan adakah SG terjejas?

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pihak berkuasa kesihatan Jepun memberi amaran mengenai lonjakan dalam jumlah pesakit yang terjejas dengan jangkitan tekak 'strep' yang jarang berlaku tetapi boleh membawa maut.

Bilangan kes sindrom kejutan toksik streptokokus (STSS) yang dilaporkan di Jepun dalam tiga bulan pertama 2024, telahpun mencecah lebih 500, iaitu lebih separuh daripada jumlah keseluruhan tahun lalu iaitu 941.

Kadar kematian bagi individu yang dijangkiti adalah kira-kira 30 peratus pada 2023, yang disifatkan oleh Kerajaan Metropolitan Tokyo sebagai kadar "sangat tinggi".

Meskipun individu lebih tua biasanya dianggap mempunyai risiko lebih tinggi berdepan dengan komplikasi daripada jangkitan itu, data terkini daripada Institut Penyakit Berjangkit Kebangsaan Jepun mendedahkan bahawa jenis 'strain' tertentu menyebabkan lebih banyak kematian dalam kalangan pesakit di bawah umur 50 tahun.

Antara Julai dengan Disember tahun lalu, daripada 65 pesakit di bawah umur 50 tahun, kira-kira satu pertiga, atau 21 orang, meninggal dunia akibat jangkitan itu, lapor The Guardian.

Situasi itu di Jepun mencetuskan kebimbangan di sekurang-kurangnya satu negara Asia, dengan Korea Utara menyatakan bahawa ia tidak akan menjadi tuan rumah bagi perlawanan kelayakan bola sepak Piala Dunia terhadap Jepun disebabkan jangkitan streptokokus yang kian meningkat.

Mediacorp meninjau bagaimana bakteria tersebut menyebabkan jangkitan yang membawa maut itu, bagaimana ia berbeza daripada 'strep' tekak biasa dan sama ada Singapura perlu mengambil berat mengenai lonjakan itu.

APAKAH SINDROM KEJUTAN TOKSIK STREPTOKOKUS DAN BAGAIMANA IA MEMBAWA MAUT?

Kebanyakan kes STSS disebabkan oleh bakteria yang dipanggil 'streptococcus pyogenes', juga dikenali sebagai strep A.

Walaupun strep A boleh menyebabkan pelbagai jangkitan dengan majoritinya ringan dan tidak mengancam nyawa, STSS adalah bentuk strep A yang paling teruk dan berpotensi membawa maut.

Menurut The Japan Times, STSS biasanya dipanggil sebagai "penyakit makan daging".

Dr Paul Tambyah, presiden Persatuan Penyakit Berjangkit Antarabangsa, memberitahu Mediacorp bahawa penjelasan sedemikian adalah "ibarat ringkasan" bagaimana bakteria mempengaruhi seseorang individu.

Dalam sesetengah pesakit yang dijangkiti dengan strep A, bakteria tersebut boleh menghasilkan toksin, yang pantas menyerang badan itu.

"Bagi kami yang menjaga pesakit ini, ia agak menakutkan. Kuncinya ialah pengurusan pasukan yang baik dengan intensivis bekerjasama rapat dengan doktor penyakit berjangkit dan pakar bedah," jelasnya.

Seorang intensivis adalah pengamal perubatan yang pakar dalam menjaga para pesakit kritikal.

Sementara itu, para pakar masih mendapati kesukaran dalam menjelaskan punca penyebaran jangkitan yang cepat di Jepun.


Beberapa pakar, yang dipetik oleh The Guardian, percaya kenaikan mendadak kes itu ada kaitan dengan kelonggaran sekatan yang dikenakan semasa pandemik COVID-19 dan penurunan koronavirus kepada selesema bermusim.

Ini menyebabkan orang ramai mengabaikan langkah-langkah asas untuk mencegah jangkitan, seperti mencuci tangan secara berkala dan pembasmian kuman.


APAKAH GEJALANYA?

Pesakit dengan STSS dengan pantas akan menghadapi tekanan darah yang rendah atau mengalami pelbagai kegagalan organ yang membawa kepada kematian.

Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit di Amerika Syarikat, pesakit biasanya didiagnosis dengan STSS apabila bakteria strep A dikesan di dalamnya sementara mempunyai simptom seperti tekanan darah rendah atau masalah dengan dua atau lebih organ termasuk buah pinggang, hati, paru-paru, darah, kulit, dan tisu lembut.

Dr Tambyah menambah bahawa simptom tambahan akan sama seperti sepsis - demam, peningkatan dalam degupan jantung yang cepat, sesak nafas, atau kekeliruan.

Walau bagaimanapun, terdapat tiada ujian tunggal yang digunakan untuk mendiagnosis STSS.

SUDAHKAH SG MENYAKSIKAN SEBARANG KES SEJAUH INI?

Beberapa doktor keluarga memberitahu Mediacorp bahawa STSS sangat jarang berlaku dan mereka malah, belum berdepan dengan kes sedemikian dalam tempoh 10 hingga 20 tahun mereka berkhidmat.

Meskipun kebanyakan berkata mereka tidak melihat sebarang peningkatan dalam kes strep tekak baru-baru ini, Dr Wong Choo Wai daripada Klinik Jurong and Bedok Day and Night menarik perhatian terdapat lebih banyak kes jangkitan saluran pernafasan atas dalam tempoh tiga minggu lalu.

APAKAH ANTARA LANGKAH BERJAGA-JAGA YANG PATUT DIAMBIL INDIVIDU?

Bagi mengelak jangkitan strep A atau mana-mana jangkitan lain, Profesor Hsu Li Yang, naib dekan kesihatan global di Sekolah Kesihatan Awam Saw Swee Hock di Universiti Nasional Singapura (NUS), menjelaskan individu patut mengamalkan amalan kebersihan tangan yang baik.

Ditanya sama ada Singapura juga perlu berjaga-jaga memandangkan Jepun adalah destinasi percutian popular, beliau menarik perhatian bahawa tiada risiko sebenar dan ia tidak mungkin membawa kepada pandemik.

Sumber : Today/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita