jelasBERITA: Apa itu hantavirus?
Kajian melalui mikroskop ke atas tisu hati seorang pesakit dengan sindrom pulmonari hantavirus dilihat dalam gambar tanpa tarikh ini yang diperoleh oleh Reuters pada 6 Julai 2017. (Gambar: Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit melalui Reuters)
Namun, apa sebenarnya hantavirus?
Hantavirus ialah sejenis virus yang menular melalui sentuhan dengan tikus atau najis dan air kencingnya, dan ia tidak merebak antara manusia.
Ia boleh menyebabkan jangkitan paru-paru serius yang kadangkala membawa maut, menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat.
Agensi itu mula memantau virus tersebut selepas wabak pada 1993 di wilayah Four Corners - kawasan di mana Arizona, Colorado, New Mexico dan Utah bertemu.
Sebahagian besar kes di Amerika Syarikat sejak itu berlaku di wilayah-wilayah barat, khususnya di barat daya.
Antara 1993 hingga 2022, sebanyak 864 kes dilaporkan di Amerika Syarikat. New Mexico mencatat jumlah jangkitan tertinggi sepanjang tempoh itu dengan 122 kes, disusuli Colorado dengan 119 kes.
Gejala hantavirus biasanya bermula antara satu hingga lapan minggu selepas tempoh pendedahan, dan pada peringkat awal, simptom-simptomnya termasuk keletihan, demam dan sakit otot, menurut CDC.
Apabila penyakit itu terus merebak, gejala-gejalanya boleh merangkumi batuk, sesak nafas dan rasa sakit pada dada apabila paru-paru dipenuhi cecair.
Kira-kira sepertiga pesakit yang mengalami gejala pernafasan akibat penyakit ini boleh meninggal dunia, kata CDC.
Cara terbaik untuk mengelakkan jangkitan hantavirus ialah dengan mengurangkan sentuhan dengan tikus dan najisnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.