Skip to main content

Dunia

jelasBERITA: Apa bakal berlaku selepas Anthony Loke tawar diri letak jawatan?

Peletakan jawatan Menteri Pengangkutan Malaysia Anthony Loke sebagai bantahan kepada pengampunan diraja bersyarat yang diberikan kepada mantan Perdana Menteri Najib Razak memasuki perkembangan baharu pada Selasa (29 Sep), apabila Encik Loke berkata beliau dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim bersetuju peletakan jawatan tersebut hanya akan berkuat kuasa apabila Najib mula menjalani tahanan rumah.

Anggaran Waktu Membaca:
jelasBERITA: Apa bakal berlaku selepas Anthony Loke tawar diri letak jawatan?

Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP), Anthony Loke, bercakap dalam sidang media selepas kongres parti di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada 16 Ogos 2026. (Gambar: CNA/Fadza Ishak)

Diterbitkan : 30 Sep 2026 02:56PM
  • Anthony Loke dan Anwar Ibrahim bersetuju peletakan jawatan Menteri Pengangkutan itu hanya berkuat kuasa apabila Najib Razak mula menjalani tahanan rumah.
  • Penganalisis melihat langkah itu mengurangkan tekanan kabinet, menjaga kestabilan politik dan kesinambungan projek, tetapi boleh menjejaskan kredibiliti DAP jika Loke tidak berundur kelak.
  • Pakar pengangkutan berkata RTS Johor Bahru-Singapura dan ECRL, yang hampir siap dan dijangka beroperasi pada Januari 2027, kurang terjejas berbanding projek belum diluluskan.
  • Pengganti berpotensi termasuk Steven Sim atau Nga Kor Ming, sementara peguam berkata Anwar boleh memujuk Loke tetapi tidak boleh memaksanya kekal.
Dijana oleh AI
KUALA LUMPUR: Peletakan jawatan Menteri Pengangkutan Malaysia Anthony Loke sebagai bantahan kepada pengampunan diraja bersyarat yang diberikan kepada mantan Perdana Menteri Najib Razak memasuki perkembangan baharu pada Selasa (29 Sep), apabila Encik Loke berkata beliau dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim bersetuju peletakan jawatan tersebut hanya akan berkuat kuasa apabila Najib mula menjalani tahanan rumah.

Langkah tersebut, menurut para penganalisis, bertujuan mengehadkan gangguan terhadap kabinet dan memastikan kesinambungan projek-projek utama prasarana pengangkutan.

Ia juga memberi Encik Anwar sedikit ruang sementara usaha kutipan dana oleh Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) untuk membayar denda RM50 juta (S$15.64 juta) yang dikenakan mahkamah terhadap Najib diteruskan, tambah mereka.

Namun, para pemerhati berkata Encik Loke mempunyai ruang yang terhad untuk menarik balik keputusannya, yang dibuat Parti Tindakan Demokratik (DAP) selaras dengan pendirian antirasuahnya.

Para penganalisis berkata kegagalan Encik Loke untuk meletak jawatan sebaik sahaja syarat tahanan rumah Najib dipenuhi - walaupun tawaran peletakan jawatannya ditolak Encik Anwar - akan menjejas kredibiliti DAP.

APA PERTIMBANGAN POLITIKNYA?

Menurut sesetengah penganalisis, DAP mungkin bertindak terlalu awal ketika membuat keputusan asalnya.

Encik Loke, yang juga Setiausaha Agung DAP, pertama kali mengumumkan peletakan jawatannya pada 19 September selepas jawatankuasa eksekutif pusat parti itu bermesyuarat.

Jawatankuasa tersebut bermesyuarat sehari selepas keputusan Yang di-Pertuan Agong dan bersetuju bahawa menteri DAP yang lain akan kekal dalam kabinet demi mengekalkan kestabilan politik. Termasuk Encik Loke, DAP kini mempunyai seramai lima menteri kabinet dan tujuh timbalan menteri.

Pengarah Eksekutif Firma Penyelidikan Ilham Centre, Hisommudin Bakar, memberitahu Mediacorp bahawa pengumuman awal Encik Loke dilihat dibuat secara tergesa-gesa.

Menurutnya, keputusan tersebut mungkin berpunca daripada tekanan yang dihadapi DAP menyusuli beberapa kekalahan dalam pilihan raya di Sabah, Johor dan Negeri Sembilan, terutama sekali kekalahan Encik Loke sendiri di kerusi Chennah, Negeri Sembilan, yang dipegangnya selama tiga penggal.

"Ini mungkin bertujuan memberi isyarat kepada para pengundi Cina bahawa DAP merupakan parti yang berpegang kepada prinsip dan para pengundi Cina boleh terus meletakkan kepercayaan pada parti tersebut," kata Encik Hisommudin, merujuk kepada kelompok pengundi teras tradisional DAP.

"Jika Loke sudah memutuskan sejak awal bahawa beliau akan meletak jawatan berhubung pengampunan Najib, maka tiada keperluan untuk mengenakan syarat tambahan terhadapnya," kata beliau.

"Ia berisiko menimbulkan tanggapan bahawa DAP tidak serius dan seluruh episod ini hanya sekadar sandiwara politik."

Namun, persetujuan terbaharu antara Encik Loke dengan Encik Anwar supaya peletakan jawatan tersebut berkuat kuasa apabila Najib mula menjalani tahanan rumah bermakna perdana menteri itu tidak perlu mencari penggantinya buat masa ini, kata Encik Hisommudin.

"Bagi Anwar, peletakan jawatan Loke akan menambah tekanan kerana ia akan meninggalkan kekosongan dalam kabinet. Ia juga boleh mencetuskan spekulasi mengenai siapa yang akan menggantikan Loke dan khabar angin berhubung rombakan kabinet yang lebih besar menjelang pilihan raya umum," kata beliau.

Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) Malaysia perlu diadakan selewat-lewatnya pada Februari 2028, namun Encik Anwar digesa Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi daripada gabungan Barisan Nasional (BN) supaya mengadakan pilihan raya umum "dengan segera", menyusuli kemenangan BN dalam pilihan raya negeri Johor dan Negeri Sembilan baru-baru ini.

Encik Anwar sedang mencuba untuk mendapatkan lebih banyak masa kerana beliau memerlukan sokongan penuh DAP dalam kabinet dan tidak mahu kehilangan mana-mana anggotanya, kata Zamil Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Azmi Hassan.

Walaupun keputusan tersebut memberi manfaat kepada Encik Loke, DAP dan Encik Anwar, Encik Azmi bersetuju bahawa perubahan pendirian Encik Loke - daripada mahu meletak jawatan dengan serta-merta kepada menangguhkan pengundurannya - mengundang ejekan orang ramai dan menimbulkan tanggapan bahawa beliau teragak-agak dalam melakukannya.

"Seteru politik DAP sudah pun mempersendakan tawaran peletakan jawatannya sejak awal, jadi mereka tidak mungkin akan berhenti sekarang," kata beliau.

Pada Selasa, Encik Anwar mempersoalkan perhatian yang diberikan kepada peletakan jawatan Encik Loke dan berkata terdapat isu yang lebih mendesak untuk dibincangkan.

"Apa masalahnya dengan Anthony Loke? Masalahnya ialah rasuah. Masalahnya ialah rompakan dan pencurian wang rakyat.

"Isu-isu itu tidak dibangkitkan tetapi orang ramai terus bertanya mengapa individu ini meletak jawatan," kata beliau seperti yang dipetik akhbar The Star.

APA SETERUSNYA BAGI PROJEK-PROJEK PENGANGKUTAN?

Para pakar pengangkutan berkata pengunduran Encik Loke kelak tidak akan meninggalkan banyak kesan terhadap projek-projek jangka pendek, termasuk Sistem Gerak Cepat (RTS) Johor Bahru-Singapura serta Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) - projek mega sepanjang 665 kilometer yang menghubungkan Selangor dengan negeri-negeri pantai timur Pahang, Terengganu dan Kelantan.

RTS dan ECRL dijangka memulakan operasi komersial pada Januari 2027.

"Projek-projek ini sudah lama dirancang, malah sebelum Anthony Loke menjadi menteri dan, yang penting, hampir siap. Jadi kekosongan jawatan atau pelantikan menteri baharu tidak mungkin mengubah hala tuju projek-projek ini," kata Profesor Madya Timothy Wong dari Jabatan Ekonomi Universiti Nasional Singapura (NUS).

Sebagai contoh, RTS rentas sempadan pertama kali diumumkan pada 2010, dengan Singapura dan Malaysia menandatangani perjanjian mengikat dari segi undang-undang pada Januari 2018.

Apabila Encik Loke pertama kali dilantik sebagai Menteri Pengangkutan pada Mei 2018 selepas gabungan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pemerintahan di bawah perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad, beliau berkata Malaysia akan meneruskan projek tersebut.

Begitu juga, majlis pecah tanah bagi projek ECRL diadakan pada 2017 semasa pentadbiran Najib.

Profesor Madya dan penyelidik kanan di Pusat Kecemerlangan Industri Rel Universiti Tun Hussein Onn, Nor Aziati Abdul Hamid, bersetuju bahawa projek-projek yang sudah berada pada peringkat ujian, seperti RTS dan ECRL, "agak terlindung" daripada perubahan kepimpinan politik.

Menurutnya, projek-projek yang masih berada pada peringkat dasar, kelulusan atau sebelum pembinaan lebih bergantung kepada seorang menteri untuk memperjuangkan dan mendorong pelaksanaannya.

RTS, kata beliau, "sudah melepasi tahap di mana dorongan peribadi seorang menteri memainkan peranan".

"Tadbir urusnya berasaskan aturan di peringkat perjanjian dan bukannya bergantung kepada mana-mana ahli politik."

Walaupun beliau tidak menjangkakan pertukaran menteri akan melengahkan baki kerja pembinaan RTS, Cik Nor Aziati berkata pengganti Encik Loke akan mempunyai "masa yang singkat" untuk membina hubungan di peringkat menteri dengan Singapura sebelum operasi bermula.

"Pelancaran RTS akan menjadi antara pencapaian pemerintah yang paling menonjol menjelang PRU akan datang", dan Encik Loke selama ini menjadi wajah utama projek tersebut, kata beliau.

"Sesiapa yang memegang portfolio (Menteri Pengangkutan) ketika pelancaran akan mendapat pengiktirafan, sekali gus memberi Anwar dan DAP kepentingan dalam menentukan masa yang sesuai bagi peralihan tersebut," kata Cik Nor Aziati.

Encik Loke sendiri berkata pada 19 September bahawa "menteri datang dan pergi" dan "projek yang sudah dilaksanakan akan diteruskan kerana kementerian tidak berhenti fungsinya".

Cik Nor Aziati berkata projek yang paling berisiko ialah projek yang belum mempunyai kontrak atau belum menunjukkan kemajuan.

Beliau memberi contoh projek Transit Aliran Autonomi (ART) bertingkat di Johor yang bertujuan menangani kesesakan di negeri itu, terutama bagi menghadapi jangkaan lonjakan jumlah penumpang apabila RTS mula beroperasi.

Walaupun cadangan tersebut sudah dibentangkan kepada kabinet pada 2024, kerja fizikal masih belum dimulakan, kata Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi pada Jun.

"Projek yang belum diluluskan atau mendapat pembiayaan paling bergantung kepada kemahuan politik dan paling mudah untuk ditangguhkan," kata Cik Nor Aziati kepada Mediacorp.

Seorang menteri akan memperjuangkan sesebuah projek dan mendesak peruntukan belanjawan, dan "apabila individu yang memperjuangkannya berundur, projek itu tidak akan terhenti begitu sahaja, tetapi projek yang masih menunggu kelulusan atau pembiayaan boleh tenggelam dalam senarai keutamaan", kata beliau.

Profesor Madya Wong dari NUS berkata perubahan mungkin berlaku terhadap inisiatif pengangkutan yang mengambil masa lebih panjang untuk disiapkan, seperti Laluan LRT Mutiara di Pulau Pinang, yang disifatkannya sebagai "projek mercu tanda bagi pemerintah DAP di Pulau Pinang".

"Tanpa Loke menerajui Kementerian Pengangkutan, tidak jelas sama ada projek itu akan terus diberi keutamaan yang serupa," kata Encik Wong.

SIAPA YANG MUNGKIN GANTIKAN LOKE?

Pengunduran Encik Loke sebagai menteri pengangkutan mungkin membawa kepada beberapa perubahan dalam kabinet, namun para penganalisis tidak menjangkakan rombakan besar.

"Anwar juga berkemungkinan membiarkan portfolio itu kosong atau mengisinya dengan calon DAP lain bagi mengekalkan formula kuota parti yang stabil dalam gabungan," kata penganalisis politik Universiti Malaysia Sabah (UMS) Syahruddin Awang Ahmad kepada Sinar Daily.

"Jika peletakan jawatan itu mencetuskan pertukaran portfolio antara parti komponen utama, rombakan yang lebih menyeluruh mungkin berlaku," tambah beliau.

Cik Nor Aziati dari Universiti Tun Hussein Onn berkata salah seorang menteri sedia ada boleh dilantik sebagai Pemangku Menteri Pengangkutan.

Selepas Rafizi Ramli meletak jawatan sebagai Menteri Ekonomi dan Nik Nazmi Nik Ahmad sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam pada 2025, Encik Anwar melantik Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan dan Menteri Perdagangan Johari Abdul Ghani untuk memangku portfolio yang dikosongkan selama enam bulan sehingga rombakan kabinet pada Disember 2025, kata beliau.

Encik Anwar kemudian melantik Akmal Nasrullah Mohd Nasir daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Arthur Joseph Kurup daripada BN masing-masing sebagai Menteri Ekonomi dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam.

Dengan penggal parlimen semasa dijadual berakhir pada Disember 2027 dan kemungkinan pilihan raya umum diadakan lebih awal, menteri baharu akan mempunyai "masa yang terhad untuk meninggalkan kesan", kata Cik Nor Aziati.

Antara calon yang berpotensi menggantikan Encik Loke ialah Steven Sim dan Nga Kor Ming daripada DAP, kata beliau.

Encik Sim kini merupakan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi dan mempunyai pengalaman dalam beberapa portfolio, kata Cik Nor Aziati. Encik Nga pula merupakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Pakar undang-undang berpandangan bahawa peletakan jawatan Encik Loke tidak memerlukan kelulusan Encik Anwar dari segi undang-undang.

Peguam perlembagaan Joshua Wu berkata perkara tersebut berada dalam "bidang yang kurang jelas" dari segi perlembagaan. Perkara 43 Perlembagaan Malaysia, yang mengawal pelantikan kabinet, tidak menyatakan sama ada seseorang menteri memerlukan kebenaran perdana menteri untuk meletak jawatan, kata beliau.

"Oleh kerana tiada peruntukan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan bahawa peletakan jawatan seseorang menteri perlu 'mendapat persetujuan PM' atau 'selepas diterima PM', saya lebih cenderung kepada pandangan bahawa peletakan jawatan seorang menteri merupakan tindakan sepihak," kata beliau.

Peguam Andrew Khoo bersetuju dan berkata berdasarkan contoh sebelum ini serta konvensyen perlembagaan, Encik Loke perlu mengemukakan surat peletakan jawatan secara rasmi, yang kemudiannya perlu diberikan respons oleh Encik Anwar.

"Sebagai perdana menteri dan pemimpin kerajaan gabungan, Anwar mungkin cuba memujuk Loke supaya menarik balik peletakan jawatannya," kata Encik Khoo. "Namun akhirnya, perdana menteri tidak boleh memaksanya untuk kekal. Jika Loke bertegas mahu berundur, Anwar perlu menerimanya."
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita