Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

jelasBERITA: Amerika akan tutup USAID; ini alasan Trump dan Musk

Pentadbiran Presiden Donald Trump sedang mempertimbangkan langkah menggabungkan agensi bantuan antarabangsa Amerika (USAID) dengan Jabatan Negara, dalam rombakan besar-besaran, bertujuan mengecilkan saiz tenaga kerja dan menyelaraskan belanjawan dengan dasar "Amerika Didahulukan" atau 'America First'.

Anggaran Waktu Membaca:
jelasBERITA: Amerika akan tutup USAID; ini alasan Trump dan Musk

Orang ramai adakan bantahan di luar ibu pejabat USAID (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 04 Feb 2025 11:38AM Dikemas Kini : 05 Feb 2025 07:43AM
WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Donald Trump sedang mempertimbangkan langkah menggabungkan agensi bantuan antarabangsa Amerika (USAID) dengan Jabatan Negara, dalam rombakan besar-besaran, bertujuan mengecilkan saiz tenaga kerja dan menyelaraskan belanjawan dengan dasar "Amerika Didahulukan" atau 'America First'.

Ketua Amerika itu telah menugaskan Ketua Eksekutif Tesla dan SpaceX, Elon Musk, untuk menerajui langkah pemotongan kos persekutuan Trump menerusi Jabatan Kecekapan Pemerintah (DOGE).

Pada Ahad (2 Feb), Encik Trump berkata USAID 'dikendalikan sekumpulan orang gila yang radikal dan kami sedang mengusir mereka', manakala Encik Musk menggelarkan agensi itu sebagai "sebuah pertubuhan jenayah" tanpa memberi sebarang bukti dan berkata "sudah tiba masanya ia ditutup".

USAID DAN BAGAIMANA IA DIBIAYAI

USAID ditubuhkan pada 1961 oleh Presiden Democrat John F. Kennedy semasa kemuncak Perang Dingin dengan tujuan menyelaraskan bantuan asing dengan lebih baik, iaitu platform utama dasar luar Amerika bagi menangkis pengaruh Soviet.

Ia kini mentadbir sekitar 60 peratus daripada bantuan luar Amerika Syarikat dan mengagihkan AS$43.79 bilion (S$59.5 bilion) pada tahun fiskal 2023.

Menurut laporan Perkhidmatan Kajian Kongres pada bulan ini, tenaga kerjanya seramai 10,000 orang di mana dua pertiga berkhidmat di luar negara telah mengagihkan bantuan kepada sekitar 130 negara.

USAID dibiayai oleh Kongres berdasarkan permintaan pentadbiran.

Laporan itu menyatakan USAID membantu 'negara-negara penting secara strategik dan negara-negara yang sedang dibelenggu konflik; memimpin usaha Amerika untuk mengurangkan kemiskinan, penyakit dan menghulurkan bantuan kemanusiaan; serta bantu memajukan kepentingan komersial Amerika dengan menyokong pertumbuhan ekonomi negara-negara membangun serta meningkatkan keupayaan negara untuk menyertai perdagangan dunia".

Penerima bantuan utamanya pada 2023 adalah Ukraine, Habsyah, Jordan, Republik Demokratik Congo, Somalia, Yaman, Afghanistan, Nigeria, Sudan Selatan dan Syria.

BERAPA BANYAK BANTUAN TELAH AMERIKA SALURKAN MENERUSI USAID?

Pada tahun fiskal 2023, Amerika Syarikat mengagihkan sebanyak AS$72 bilion (S$97.8 bilion) kepada seluruh dunia dan sekitar 42 peratus daripada kesemua bantuan kemanusiaan dijejaki oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2024.

Dana tersebut merangkumi bantuan kesihatan bagi kaum Hawa di zon-zon konflik hingga kepada akses kepada bekalan air bersih, rawatan HIV/AIDS, jaminan tenaga dan kerja-kerja antirasuah.

Menurut laporan oleh Institusi Brookings pada September, sejak tahun-tahun kebelakangan ini, perbelanjaan Amerika membentuk sekitar 0.33 peratus daripada GDP negara.

Ia mencecah paras tetinggi sebanyak 3 peratus daripada GDP negara pada tahun-tahun 1950-an disebabkan oleh pelaksanaan program Pelan Marshall untuk membangunkan semula Eropah selepas Perang Dunia Kedua.

Semasa Perang Dingin, perbelanjaan USAid berada pada paras antara 0.5 peratus hingga 1 peratus.

Walaupun Amerika Syarikat menghulurkan lebih banyak bantuan berbanding negara-negara lain, sumbangannya sebagai peratusan pendapatan negara berada di bawah senarai negara-negara kaya pada 2020, menurut perangkaan oleh Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).

Pada 2023, Norway mengungguli senarai tersebut dengan emnyumbang 1.09 peratus daripada pendapatan bersih negara, manakala Amerika Syarikat jauh ketinggalan dengan 0.24 peratus, bersama dengan Slovenia, Republik Czech dan Sepanyol.

SIAPA KENDALIKAN USAID?

Di bawah pentadbiran mantan Presiden Joe Biden, USAID dikendalikan oleh diplomat warga Irish-Amerika Samantha Power, yang juga berkhidmat sebagai duta PBB di bawah pentadbiran mantan Presiden Barack Obama.

Keutamaannya di bawah Rangka Kerja Dasar Mac 2023 adalah untuk menangani krisis perubahan iklim, arus pemerintahan kuku besi dan menggalakkan pertumbuhan ekonomi inklusif dan peluang sama rata.

KESAN TENTANGAN TRUMP

Dalam perintah eksekutif pada 20 Januari di mana diumumkan bahawa kebanyakan bantuan asing akan digantung selama 90 hari, Encik Trump berkata 'industri bantuan luar dan birokrasi Amerika Syarikat tidak selaras dengan kepentingan negara itu dan dalam kebanyakan kes ia bahkan bertentangan dengan nilai-nilai Amerika".

"Mereka bertujuan mengganggu kestabilan keamanan dunia dengan menyebarkan idea di negara-negara asing yang bertentangan secara langsung dengan hubungan dalamandan antara negara yang harmoni dan stabil", menurut perintah itu.

Dalam satu memo, pentadbiran Trump menggesa kakitangan USAID supaya menyertai usaha untuk mengubah bagaimana Washington membahagikan bantuan selaras dengan dasar "America First" Encik Trump dan mengancam tindakan disiplin jika tidak mematuhi arahan.
Sumber : Reuters/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan