Skip to main content

Dunia

jelasBERITA: 100 hari perang Israel-Hamas; konflik terpanjang, paling berdarah

Anggaran Waktu Membaca:
GAZA: Perang antara Israel dan Hamas di Gaza memasuki hari ke 100, menjadikannya perang paling lama berlarutan dan paling berdarah antara Israel dengan Palestin sejak penubuhan Israel pada 1948.

Belum juga ada sebarang tanda ia akan berakhir.

Seorang pegawai tinggi Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan perang itu sebagai menodai hak kemanusiaan.

Ketua agensi PBB untuk pelarian Palestin, Philippe Lazzarini dalam satu kenyataan berkata, perang itu sudah mengakibatkan kematian secara besar-besaran.

"Kematian besar-besaran, kemusnahan, pemindahan, kelaparan, kehilangan dan kesedihan sejak 100 hari lalu menodai kemanusiaan...," katanya.

Menurutnya, perang yang berlarutan itu adalah sesuatu yang pahit bukan sahaja buat penduduk Palestin, tapi memberi kesan buat seluruh masyarakat dunia.

"Sudah 100 hari pengalaman pahit dan kebimbangan bagi tebusan dan keluarga mereka," katanya.

Menurutnya, seluruh generasi kanak-kanak sedang trauma dan akan mengambil masa bertahun-tahun untuk sembuh.

Rencana jelasBERITA ini memaparkan beberapa peristiwa penting sepanjang 100 hari perang Israel-Hamas.

7 OKT 2023

Semuanya bermula pada 7 Oktober 2023 apabila Hamas melancarkan serangan berdarah ke selatan Israel.

Sekitar 1,200 orang maut dibunuh Hamas dan sekitar 250 diambil sebagai tebusan.

6 NOV 2023

Dalam tempoh sebulan sahaja, serangan balas Israel meragut nyawa lebih 10,000 orang di Gaza. Lebih 70 peratus adalah kanak-kanak dan wanita.

9 NOV 2023

Tentera Israel (IDF) mula mengepung dan menyerang Hospital Al-Shifa, hospital terbesar Gaza, meskipun ada lebih 600 pesakit dan ribuan lagi penduduk yang berlindung di situ.

Perbuatan IDF ini mencetuskan kecaman dan kebimbangan antarabangsa, lebih-lebih lagi apabila markas Hamas yang didakwanya ada di situ gagal dibuktikan dengan tuntas.

Singapura menyokong ketetapan 2712 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), yang menggesa perang dihentikan seketika dan segera mewujudkan koridor kemanusiaan tanpa syarat di Gaza.
24 NOV 2023

Kemajuan positif besar dalam perang ini tercatat selepas lebih enam minggu berperang, iaitu apabila gencatan senjata sementara berjaya dicapai pada 24 November.

Selama tujuh hari, tiada bom digugurkan ke atas Gaza dan penduduk Gaza dapat bernafas sedikit selain menerima lebih banyak kiriman bantuan kemanusiaan.
Hamas membebaskan 105 tebusan, dan sebagai ganti, sekitar 240 penduduk Palestin yang ditahan Israel dibebaskan.

6 DIS 2023

Setelah dua bulan berperang dengan kesan malapetaka terhadap penduduk Gaza, pada 6 Disember Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres, menggunakan Artikel 99 Piagam PBB yang jarang digunakan demi mendesak Majlis Keselamatan supaya mengisytiharkan gencatan senjata kemanusiaan.

Amerika Syarikat bagaimanapun menggunakan undi pembatalnya dan ketetapan yang diusulkan gagal.

Namun, pada 12 Disember, satu ketetapan akhirnya diluluskan Perhimpunan Agung PBB menuntut gencatan senjata kemanusiaan dengan 153 negara menyokong termasuk Singapura.
2 JAN 2024

Perang Israel-Hamas kini dikhuatiri merebak ke negara Timur Tengah lainnya khususnya Hezbollah di Lubnan.

Lebih-lebih lagi setelah tentera Israel membunuh timbalan ketua Hamas, Saleh Al-Arouri di Beirut pada 2 Januari.

Beliau merupakan pemimpin Hamas paling tinggi yang maut dalam perang ini.

11 JAN 2024

Yang terbaharu, di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), Afrika Selatan minggu ini memfailkan kes bahawa Israel sedang melakukan pembunuhan beramai-ramai di Gaza.

12 JAN 2024

Amerika Syarikat dan Britain menyerang puak Houthi selepas kumpulan pemberontak disokong Iran itu terus menyerang laluan perkapalan di Laut Merah.

Keadaan itu bertukar menjadi perang proksi antara Houthi yang menyokong Palestin dan Amerika serta Britain yang bersekutu dengan Israel, sekali gus meningkatan ketegangan di Asia Barat.

14 JAN 2024

Genap 100 hari perang, sekitar 24,000 penduduk Gaza maut di tangan tentera Israel - lebih 10,000 daripadanya adalah kanak-kanak.

Oxfam menyatakan, secara purata 250 penduduk Gaza maut setiap hari dan kadar kematian harian ini jauh lebih tinggi berbanding konflik di Syria, Sudan, Ukraine, Afghanistan mahupun Yaman.
Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita