Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

JAWI tambah pusat pelupusan Al-Quran untuk tingkatkan produktiviti harian

Anggaran Waktu Membaca:
JAWI tambah pusat pelupusan Al-Quran untuk tingkatkan produktiviti harian

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 01 Dec 2022 08:37PM Dikemas Kini : 02 Dec 2022 06:21AM
PELABUHAN KLANG: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) merancang untuk membina sebuah pusat pelupusan Al-Quran baru di Bukit Jalil, Kuala Lumpur bagi meningkatkan keupayaan melupuskan naskhah suci tersebut, dengan tatacara yang benar.

Pengarahnya Mohd Ajib Ismail berkata Pusat Pemuliaan al-Quran Darul Kalam yang beroperasi di Raudhatul Sakinah, Taman Selasih, Kuala Lumpur, setakat ini hanya mampu melupuskan sebanyak 150 kilogram naskhah Al-Quran yang rosak atau musnah dalam masa sehari.

Beliau berkata dengan adanya pusat pelupusan baru tersebut, keupayaan melupuskan naskhah suci boleh dipertingkatkan sebanyak tiga kali ganda berbanding kadar sedia ada, iaitu sehingga sekitar setengah tan sehari menggunakan teknologi moden.

“Jika ia diluluskan dan ada peruntukan, proses pelupusan akan menjadi lebih pantas, kerana kita telah melakukan dengan beberapa pihak dan ia menggunakan teknologi yang lebih maju, bukan secara manual.

“Setakat ini, (pembinaan pusat pelupusan) masih dalam perancangan dan kita akan utarakan ke pihak yang lebih tinggi untuk dapatkan kelulusan bajet dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas Program Pemuliaan Al-Quran JAWI Bersama Jabatan Laut Malaysia di Pelabuhan Klang pada Rabu (30 Nov).

Terdahulu sebanyak 6.8 tan abu Al-Quran dibawa dalam bentuk bongkah menaiki kapal MVPEDOMAN sejauh 12 batu nautikal dari Pelabuhan Klang untuk dilupuskan di tengah lautan. Pelupusan abu ayat suci itu dikendalikan oleh Pusat Pemuliaan al-Quran Darul Kalam.

Mohd Ajib berkata abu tersebut merupakan hasil daripada lebih 30,800 kilogram naskhah Al-Quran yang rosak atau musnah akibat banjir di sekitar Pahang dan Selangor pada tahun lepas, dan sejumlah naskhah yang dihantar sendiri beberapa pihak lain untuk dilupuskan.

“Program ini turut mendapat kerjasama daripada Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

“Kita mempunyai tatacara untuk mengendalikannya, seperti prosedur yang diberikan dalam satu Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-30 yang bersidang pada 22 Ogos 1992 yang mencadangkan Al-Quran yang telah rosak dibakar, ditanam atau dilupuskan di tengah laut yang mana airnya mengalir,” katanya.
Sumber : Bernama/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan