Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

JAWI tahan wanita hina Islam selepas dibebaskan; bakal didakwa di Mahkamah Syariah

Anggaran Waktu Membaca:

KUALA LUMPUR: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menahan wanita yang didakwa menghina Islam ketika membuat persembahan di kelab komedi, Siti Nuramira Abdullah, selepas dia dibebaskan hari ini (19 Jul). 

Demikian menurut laporan MalaysiaGazette. 

Siti Nuramira ditahan penguat kuasa agensi itu selepas menandatangani Borang Jamin dengan ditemani peguamnya, Ramesh Chandran di Kaunter Jaminan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada 10.30 pagi tadi. 

Mengikut prosedur, JAWI akan menahan wanita itu selama 24 jam sebelum dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah esok (20 Jul) untuk didakwa mengikut Seksyen 7 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 Bahagian III-Kesalahan Yang Berhubungan Dengan Kesucian Agama Islam Dan Institusinya.

Seksyen itu membabitkan kesalahan menghina atau menyebabkan agama Islam dipandang hina yang mana jika disabitkan, boleh didenda tidak melebihi RM3,000 (S$938.80) atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Pada Isnin (18 Jul), Alexander Navin membayar wang jaminan masing-masing berjumlah RM20,000 (S$6,259) melalui hasil kutipan sumbangan orang ramai.

Pada 13 Julai lalu, Siti Nuramira mengaku tidak bersalah mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana menimbulkan rasa tidak harmoni dalam kalangan masyarakat Islam ketika melakukan persembahan di Kelab Komedi Crackhouse di Taman Tun Dr Ismail pada 4 Jun lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen, Siti Aminah Ghazali, yang membenarkan Siti Nuramira, 26, diikat jamin RM20,000 (S$6,259) oleh seorang penjamin, memberi amaran kepadanya supaya tidak mengulas mengenai kes itu.

Pada hari yang sama, Navin, 38 tahun, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan memuat naik kandungan menghina di media sosial.

Bagi pertuduhan pertama, Navin didakwa berkongsi di akaun Instagramnya pada 5 Jun dengan niat untuk menghina orang lain.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa berkongsi kandungan melalui akaun YouTubenya pada 16 Jun dengan niat untuk menghina orang lain. 

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan