Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Jawatankuasa siasat aspek pemerolehan, tadbir urus dan kewangan kementerian ditubuhkan

Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan memulakan siasatan pertamanya ke atas Kementerian Pertahanan hari ini (16 Jul), kata Pengerusi Ambrin Buang.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 16 Jul 2018 05:53PM Dikemas Kini : 16 Jul 2018 10:05PM

PUTRAJAYA: Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan memulakan siasatan pertamanya ke atas Kementerian Pertahanan hari ini (16 Jul), kata Pengerusi Ambrin Buang.

Beliau berkata jawatankuasa yang ditubuhkan atas persetujuan mesyuarat Jemaah Menteri pada 30 Mei lalu itu memulakan tugas siasatan berkenaan atas permintaan Menteri Pertahanan Mohamad Sabu sendiri.

"Bidang kuasa kita luas, sungguhpun kita diminta untuk memulakan siasatan ke atas Kementerian Pertahanan, bukan bermakna kementerian lain tidak di bawah bidang kuasa ini.

"Kita akan berbincang kementerian mana yang lain yang patut kita siasat berdasarkan maklumat yang disampaikan kepada kita," kata Encik Ambrin.

Dalam sidang media itu, Encik Ambrin turut mengumumkan anggota jawatankuasa siasatan yang terdiri daripada mantan Presiden Institut Akauntan Malaysia Dr Abdul Samad Alias dan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Dr Mohd Tap Salleh.

Turut menganggotai jawatankuasa itu, Ketua Pengarah Jabatan Integriti dan Tadbir Urus Negara Dr Anis Yusal Yusoff, bekas Pengarah Audit Jabatan Audit Negara Ong Swee Leng dan Peguam Bela dan Peguam Cara Dr Zulqarnain Lukman serta wakil Kementerian Kewangan Rosli Yaakub yang akan mengetuai sekretariat bagi jawatankuasa itu.

JAWATANKUASA BERBEZA DARIPADA JABATAN AUDIT NEGARA

Encik Ambrin selanjutnya berkata siasatan jawatankuasa tersebut akan memberi tumpuan kepada kes-kes yang mencurigakan di mana-mana kementerian selain mengesyor langkah-langkah yang lebih baik bagi membasmi ketirisan wang negara.

Sebagai permulaan, jawatankuasa itu akan memulakan siasatan terhadap beberapa projek di bawah kelolaan Kementerian Pertahanan.

Encik Ambrin menegaskan penubuhan jawatankuasa itu tidak akan bertindih dengan tugas Jabatan Audit Negara kerana ia perlu membentangkan laporannya di Parlimen, manakala hasil siasatan jawatankuasa itu hanya akan dibentangkan kepada jemaah menteri untuk tindakan lanjut.

"Penubuhan jawatankuasa ini dianggap sebagai audit khas yang berbeza dengan audit yang dilakukan oleh Jabatan Audit Negara,” katanya.

Beliau berkata jawatankuasa itu akan menyediakan laporan kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan kabinet, namun tiada tempoh masa yang diberikan kerana ia bergantung kepada proses siasatan.

Jawatankuasa itu juga akan memanggil mana-mana mantan menteri atau timbalan menteri untuk membantu siasatan jika ada keperluan, tambah Encik Ambrin. 

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan