Skip to main content

Dunia

Jawatankuasa PBB tidak capai kata sepakat bagi bidaan Palestin jadi negara anggota

Anggaran Waktu Membaca:
Jawatankuasa PBB tidak capai kata sepakat bagi bidaan Palestin jadi negara anggota

(Gambar: AFP)

Diterbitkan : 12 Apr 2024 10:37PM
NEW YORK: Jawatankuasa Penerimaan Anggota Baharu Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tidak dapat mencapai kata sepakat sama ada untuk menerima Palestin sebagai anggota penuh PBB.

Demikian kata perwakilan tetap Malta ke PBB kepada Agensi Anadolu.

“Tiada kata sepakat untuk mengesyorkan keahlian,” kata Perwakilan Malta yang kini merupakan Presiden kepada Majlis Keselamatan PBB untuk bulan April, lapor Agensi Anadolu. 

Kenyataan itu turut menyatakan Malta akan menyediakan satu laporan mengenai isu berkenaan dan mengagihkannya kepada anggota majlis lain.

Wakil Tetap Malta ke PBB Vanessa Frazier berkata kepada wartawan bahawa tiada masalah mengenai syarat keanggotaan, yang menunjukkan dua pertiga daripada jawatankuasa itu menyokong permohonan keanggotaan oleh Palestin.  

Pada 2011, Palestin menghantar permohonan untuk menjadi anggota penuh PBB, tetapi gagal mendapatkan sokongan yang diperlukan daripada anggota Majlis Keselamatan.

Bagaimanapun, wakil Palestin di PBB Riyad Mansour mengumumkan pada 2 April, beliau sudah menghantar sepucuk surat kepada Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres memohon supaya permohonan keanggotaan mereka dipertimbangkan.

Pada 3 April, Encik Gutteres menulis surat kepada Majlis Keselamatan PBB supaya mempertimbangkan permintaan Palestin.

Proses untuk menerima anggota baharu PBB sudah bermula di Majlis Keselamatan. Selepas perbincangan, majlis dijangka merujuk perkara tersebut kepada Jawatankuasa bagi Kemasukan Anggota Baharu.

Sekiranya jawatankuasa itu memberikan respons positif, Majlis Keselamatan PBB perlu mengundi, tanpa anggota tetapnya menggunakan kuasa veto dan sekurang-kurangnya sembilan daripada 15 anggota mengundi menyokong kepada satu keputusan positif. 

Jika majlis itu meluluskannya, perkara tersebut akan dirujuk kepada Perhimpunan Agung PBB. Kelulusan keanggotan memerlukan undi majoriti dua pertiga daripada 193 ahli PBB. 

Sejak 1974, Palestin menyertai PBB sebagai negara pemerhati.
Sumber : Bernama/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita