Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa batal hak penganjuran acara renang M'sia

Malaysia kehilangan hak untuk menghoskan Kejohanan Renang Paralimpik 2019 selepas Putrajaya memutuskan tidak akan membenarkan atlit Israel bertanding.

Anggaran Waktu Membaca:
Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa batal hak penganjuran acara renang M'sia

Gambar fail.

Diterbitkan : 27 Jan 2019 09:31PM Dikemas Kini : 27 Jan 2019 09:34PM

KUALA LUMPUR: Malaysia kehilangan hak untuk menghoskan Kejohanan Renang Paralimpik 2019 selepas Putrajaya memutuskan tidak akan membenarkan atlit Israel bertanding.

Keputusan itu diumumkan hari ini (27 Jan) oleh presiden Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC), Andrew Parsons.

"Semua pertandingan dunia mesti dibuka kepada para atlit yang layak dan negara-negara untuk bertanding dengan selamat dan bebas daripada diskriminasi.

"Apabila negara tuan rumah mengecualikan para atlit dari sesebuah negara atas sebab-sebab politik, kami tidak mempunyai alternatif kecuali mencari negara lain untuk menganjurkan pertandingan itu.

"Gerakan paralimpik adalah, dan sudah lama didorong oleh keiinginan untuk menggalak pendekatan lebih inklusif, bukan eksklusif," menurut beliau dalam satu kenyataan pada Ahad (27 Jan).

Pertandingan itu, yang merupakan satu acara renang yang penting bagi kelayakan ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020, dijadualkan diadakan di Kuching antara 29 Julai hingga 24 Ogos.

Menurut IPC, pertandingan itu akan diadakan di tempat baru pada tarikh yang sama, meskipun kelonggaran akan diberi berikutan perkembangan terbaru ini.

Malaysia, yang tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel, mengumumkan pada bulan ini bahawa ia tidak akan membenarkan para atlit Israel bertanding dalam sebarang acara yang akan dihoskan Malaysia.

Keputusan Putrajaya menerima kritikan beberapa negara, tetapi Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mempertahankan sekatan Malaysia terhadap para atlit Israel, dengan menyamakannya dengan rancangan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump untuk membina tembok di sempadan Amerika Syarikat-Mexico.

"Setiap negara mempunyai hak untuk menerima atau tidak membenarkan sesiapa masuk," kata Dr Mahathir dalam satu sidang media di Vienna Selasa lalu.

Menurut IPC, keputusannya itu menekankan pentingnya untuk sukan dan politik diasingkan, tetapi ia juga menekankan komitmen terhadap prinsip asas moral dan etika meliputi peluang inklusif semua atlit yang layak dan negara-negara untuk mengambil bahagian dalam acara-acara itu.

Sekitar 600 perenang dari 60 negara sebelum ini dijangka mengambil bahagian di Kuching, dengan lebih 160 gelaran juara dunia dipertandingkan. 

Sumber : Today/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan