Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak putuskan fahaman Si Hulk sebagai ajaran sesat

Anggaran Waktu Membaca:
Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak putuskan fahaman Si Hulk sebagai ajaran sesat

Mufti Perak, Wan Zahidi Wan Teh. (Gambar fail: Agensi berita)

IPOH: Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak memutuskan ajaran dan fahaman yang dibawa Suhaini Mohammad atau Si Hulk sebagai sesat.

Mufti Perak, Wan Zahidi Wan Teh berkata, keputusan dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri kali ke-221 pada Disember 2020 itu juga memperakukan fahaman itu menyeleweng daripada ajaran Islam.

Menurutnya, ketetapan itu berdasarkan beberapa ciri fahaman yang secara jelas mendakwa Nabi Muhammad s.a.w adalah Tuhan selain menyatakan baginda tidak mempunyai jantina iaitu bukan lelaki dan juga bukan wanita.

"Dia juga menyeleweng tafsiran al-Quran menerusi huraian surah Taha ayat 120 dan al-Baqarah ayat 35 berkenaan larangan Allah s.w.t kepada Nabi Adam dan Hawa daripada memakan buah khuldi dengan dakwaan bahawa buah itu yang menjadi larangan untuk dimakan di dalam syurga itu adalah buah zakar dan buah dada," katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik ke Facebook, lapor Sinar Harian.

Jelas Encik Wan Zahidi, ajaran itu turut mengeksploitasi elemen agama secara berlebihan terhadap produk-produk dikeluarkan seperti air dan botol Si Hulk di laman Facebook Sohai Ibnu Muhammad dan Facebook Si Hulk untuk menarik minat orang membelinya.

"Antaranya membuat tafsiran yang salah terhadap ayat al-Quran pada surah al-Baqarah ayat 248 dengan menyatakan Si Hulk merupakan air hayat iaitu air yang diperolehi oleh Nabi Khidir AS menjadikan baginda mampu hidup sehingga hari kiamat.

"Produk itu didakwa mampu menyembuhkan pelbagai wabak penyakit zahir dan batin serta menghalang daripada sihir selain digunakan untuk melaksanakan ritual menangkap jin ke dalam botol," katanya, lapor Sinar Harian.

Justeru beliau menggesa agar fahaman dan ajaran itu segera disekat daripada disebarkan kepada umat Islam.

Ujarnya, mana-mana orang Islam adalah dilarang untuk berpegang, beramal atau terlibat dengan fahaman dan ajaran terbabit.

"Mereka yang mengamalkan fahaman dan ajaran ini hendaklah segera bertaubat serta memohon keampunan daripada Allah s.w.t," katanya, menurut Sinar Harian.

Media sebelum ini melaporkan dua video tular memaparkan beberapa orang individu mengeluarkan kenyataan dan ungkapan menyeleweng daripada ajaran Islam dipercayai pengikut ajaran yang dibawa oleh Si Hulk.

Satu video yang kembali menjadi tular tersebut dimuat naik melalui akaun Facebook Nurul Sakinah yang bertajuk 'Nabi Muhammad itu adalah Allah'.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sudah diarah bekerjasama dengan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk membanteras ajaran sesat itu, lapor Sinar Harian.
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan