Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Jawatan presiden, timbalan presiden UMNO sah tidak dipertandingkan, dedah Ahmad Zahid

Anggaran Waktu Membaca:

GEORGE TOWN: Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) meluluskan usul tambahan, yang diluluskan di Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022, supaya jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan di pemilihan parti itu tahun ini.

Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi berkata UMNO sudah menerima surat daripada Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mengenai keputusan RoS itu pada Sabtu (4 Mac). 

"Surat dari Menteri Dalam Negeri semalam (4 Mac) adalah mengenai pemberitahuan keputusan pengecualian daripada pematuhan Seksyen 13 (1)(c) (14) melalui Seksyen 70 Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832), berhubung keputusan usul tambahan yang telah diluluskan dalam PAU 2022 berkaitan jawatan presiden dan timbalan yang tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti akan datang," katanya semasa sidang media selepas menghadiri Majlis Pengenalan Calon UMNO Pulau Pinang di George Town pada Ahad (5 Mac). 

Menurut Timbalan Perdana Menteri itu, surat daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) tersebut memaklumkan bahawa Menteri Dalam Negeri sudah memutuskan untuk memberikan pengecualian kepada Seksyen 13(1)(c)(14) melalui Seksyen 70 Akta Pertubuhan 1966 Akta 832 berhubung usul tambahan.

Beliau berkata surat dari KDN itu adalah satu keabsahan bahawa jawatan presiden dan timbalan presiden UMNO disahkan tidak dipertandingkan.

"Ini kerana semua klausa dalam Perlembagaan parti juga turut diikuti oleh pengerusi tetap," katanya.

Encik Ahmad Zahid berkata surat itu juga memberi pengesahan bahawa apabila RoS melakukan siasatan, maka keputusan KDN mengikut Seksyen Perkara 70 Akta Pertubuhan 1966, adalah berkuat kuasa sepenuhnya dan memberikan keabsahan dua jawatan tertinggi itu tidak dipertandingkan.

Dalam pada itu, beliau berkata semua ahli harus memberikan keutamaan dalam memperkukuhkan parti dan mempertahankan Kerajaan Perpaduan yang merupakan sebahagian daripada parti UMNO.

"Kerajaan yang ada ini mesti dipertahankan kerana UMNO sebahagian kerajaan yang ada... agenda yang boleh menggugat kerajaan dan jangan pilih tokoh-tokoh yang boleh menggugat kerajaan," katanya.

Beliau juga mengingatkan semua perwakilan UMNO supaya tidak berkempen sehingga hilang kelayakan atau mana-mana yang menang, kemenangan boleh dibatalkan.

Pemilihan UMNO diadakan bermula pada 1 Februari hingga 18 Mac ini dengan Persidangan Tahunan UMNO Cawangan dan Pemilihan Jawatankuasa Cawangan, Wanita, Pergerakan Pemuda serta Pergerakan Puteri Cawangan adalah dari 1 hingga 26 Februari ini.

Selain itu, Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian bersama Pemilihan Exco Wanita, Exco Pergerakan Pemuda dan Exco Pergerakan Puteri UMNO Pusat bakal diadakan serentak di seluruh negara pada 11 Mac ini.

Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Tertinggi UMNO pula akan diadakan serentak di seluruh negara pada 18 Mac.

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan