Skip to main content

Dunia

Jawatan Pengerusi Perikatan Nasional tidak boleh dimansuhkan, diubah sepihak

Anggaran Waktu Membaca:
Jawatan Pengerusi Perikatan Nasional tidak boleh dimansuhkan, diubah sepihak

Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 30 Jan 2026 07:26AM Dikemas Kini : 30 Jan 2026 07:53AM
ALOR SETAR: Jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) tidak boleh dimansuhkan atau diubah sewenang-wenangnya kerana ia termaktub jelas dalam Perlembagaan gabungan itu.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata sebarang keputusan mesti dibuat secara konsensus antara semua parti komponen.

Beliau yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, berkata Perlembagaan PN khususnya Perkara 7 memperuntukkan penubuhan Majlis Presiden yang dianggotai presiden parti sebagai badan penasihat dan pengawal dasar, manakala Pengerusi PN pula berperanan sebagai eksekutif yang mempengerusikan Majlis Tertinggi.

"Majlis Presiden dan Pengerusi PN adalah dua perkara berbeza.

"Tak boleh hapus satu. Dua-dua itu ada dalam perlembagaan," katanya, seperti dinukil BH Online.

Beliau yang juga Menteri Besar Kedah berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan Program 1 Bulan 1 Sukan Peringkat Negeri Kedah di Wisma Darul Aman pada Khamis (29 Jan).

Encik Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi PN Kedah berkata, sebarang keputusan besar membabitkan struktur kepemimpinan PN perlu dibuat melalui konsensus semua parti komponen termasuk PAS, BERSATU dan parti-parti lain dalam gabungan itu.

"Komponen kena konsensus. Nak buat apa-apa, nak keluarkan apa-apa kenyataan, kena tengok perlembagaan. Kalau ikut perlembagaan, tak ada siapa nak pertikai," katanya, seperti dipetik BH Online.

Bagaimanapun, Menteri Besar Kedah itu mengakui perbezaan tafsiran terhadap perlembagaan boleh berlaku, namun perkara itu perlu dibincangkan, dirunding dan diperhalusi oleh pihak yang berkelayakan serta ahli kepada dokumen undang-undang berkenaan.

"Yang bukan ahli, jangan cakap, yang bukan ahli kepada sesuatu perkara, tidak perlu campur tangan. Bagi urusan itu kepada ahlinya, baru teratur.

"Saya pun bukan ahli kepada dokumen undang-undang itu, bagilah pakar yang cakap, begitulah dunia ini senang saja," katanya, seperti dinukil BH Online.

Pada Rabu, media melaporkan Muhyiddin Yassin mencadangkan jawatan Pengerusi PN dimansuhkan dan kepemimpinan gabungan itu disusun semula berikutan pertikaian dalaman berhubung pelantikan ketua baharu.

Dalam sepucuk surat kepada pimpinan PAS, Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), Encik Muhyiddin dilaporkan berkata BERSATU dan PAS bersetuju PN disusun semula melalui penubuhan dua badan baharu iaitu Majlis Presiden yang diterajui BERSATU dan Majlis Eksekutif yang dipengerusikan PAS.

Cadangan itu bagaimanapun mencetuskan reaksi berbeza dalam kalangan pimpinan PN apabila Presiden PAS, Abdul Hadi Awang mengesahkan jawatan Pengerusi PN kekal dan tidak dimansuhkan.

Encik Abdul Hadi turut menegaskan, pemansuhan jawatan Pengerusi PN serta pelantikan pengerusi baharu seperti didakwa tidak pernah dibincangkan atau dipersetujui oleh PAS, termasuk dalam pertemuan pada 16 Januari lalu.
Sumber : Agensi berita/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita