Jarum 'serang' epal Australia pula
Seorang ibu di Sydney terkejut selepas menemui jarum tersembunyi di dalam epal yang dibelinya di sebuah pasar raya utama di negara itu.
Gambar fail epal. (Gambar: Lindsey Wasson/AFP)
SYDNEY: Seorang ibu di Sydney terkejut selepas menemui jarum tersembunyi di dalam epal yang dibelinya di sebuah pasar raya utama di negara itu.
Menurut agensi berita Xinhua, The Seven Network melaporkan wanita itu menemui objek tersebut ketika memotong epal untuk dihidangkan kepada anak-anaknya pada Selasa.
"Saya terkejut dan tidak percaya ia boleh berlaku.Tidak pada epal, sebelum ini pernah lihat berita jarum dalam strawberi, sejak itu saya lebih berwaspada, tetapi tidak sangka kini dalam epal pula," katanya.
Dengan kejadian sama yang melanda industri buah strawberi, insiden itu disifatkan sebagai 'serangan ke atas buah-buahan', menimbulkan kemarahan pelanggan Australia dan pihak berkuasa serta pengeluar sedang berusaha mencari jawapan kepada kejadian itu.
Meskipun pihak federal akan menjalankan siasatan, polis masih buntu mencari punca bagaimana ia boleh berlaku. Setakat ini, terdapat kes dilaporkan di setiap negeri di Australia.
Selain itu, polis Queensland turut mengesahkan terdapat objek logam ditemui di dalam pisang yang dibeli dari sebuah pasar raya.
Sedang negara itu masih berdepan dengan isu strawberi, ramai pengeluar terpaksa membuang hasil pertanian mereka, selepas negara seperti New Zealand melarang import ke atas buah-buahan tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.