Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Jangkitan COVID-19 tertinggi dalam kalangan budak 12-15 tahun di England

Ketua Pegawai Perubatan England Chris Whitty berkata pada Rabu (22 Sep) jangkitan COVID-19 buat masa ini adalah tertinggi dalam kalangan remaja berusia antara 12 hingga 15 tahun dan hampir kesemua kanak-kanak yang belum divaksin akan terjangkit akhirnya.

Anggaran Waktu Membaca:
Jangkitan COVID-19 tertinggi dalam kalangan budak 12-15 tahun di England

Ketua Pegawai Perubatan England Chris Whitty (Gambar: Stefan Rousseau/Pool via REUTERS)

Diterbitkan : 23 Sep 2021 07:48AM Dikemas Kini : 23 Sep 2021 07:54AM

LONDON: Ketua Pegawai Perubatan England Chris Whitty berkata pada Rabu (22 Sep) jangkitan COVID-19 buat masa ini adalah tertinggi dalam kalangan remaja berusia antara 12 hingga 15 tahun dan hampir kesemua kanak-kanak yang belum divaksin akan terjangkit akhirnya.

Semua budak dalam lingkungan usia 12 hingga 15 tahun di England akan ditawarkan vaksin COVID-19 setelah Encik Whitty dan rakan-rakan sekerjanya berkata pada minggu lalu bahawa kanak-kanak boleh meraih manfaat daripada kekurangan gangguan terhadap pendidikan mereka.

"Hakikatnya terdapat jangkitan ketara yang berlaku dalam kalangan golongan usia ini," kata Encik Whitty kepada para penggubal dasar. "Malah, kumpulan usia yang kita sebutkan ini adalah kadar penularan jangkitan tertinggi yang sedang berlaku sekarang."

Britain melaporkan 34,460 kes baru COVID-19 pada Rabu, dengan kadar purata lebih 20,000 kes baru setiap hari sejak lewat Jun.

Encik Whitty berkata nasihat vaksin itu adalah untuk manfaat kanak-kanak semata-mata. Ia tidak dibuat atas sebab politik mahupun demi kepentingan golongan dewasa yang lebih terdedah kepada bahaya, tegasnya.

Meskipun sekitar separuh kanak-kanak berkemungkinan sudah terjangkit dengan COVID-19, katanya, perlindungan akan mula merosot dan sebuah program vaksinasi akan kurang mengganggu terhadap persekolahan berbanding jika kanak-kanak dijangkiti COVID-19.

"Sebahagian besar kanak-kanak yang sekarang ini belum dijangkiti COVID-19 akan dijangkitinya pada satu masa nanti," katanya.

"Ia tidak semestinya dalam masa dua atau tiga bulan akan datang, namun mereka akan dijangkiti lambat laun kerana ia sangat mudah berjangkit dan kerana kekebalan akan merosot. Kita tidak akan melihat keadaan di mana (jangkitan) akan terhenti dengan sendirinya pada satu masa tertentu."

Encik Whitty menekankan vaksin akan mengurangkan risiko jangkitan sebanyak sekurang-kurangnya 50 peratus.

Varian Delta yang sangat mudah berjangkit kini dominan di Britain. Ia membuat para pegawai kesihatan di seluruh dunia menilai semula bagaimana pandemik ini ditangani, terutamanya dari segi kesan vaksin terhadap penularan jangkitan.

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan