Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Jangan terpedaya sikap gelojoh kerajaan yang mahu pilihan raya diadakan sekarang: Anwar Ibrahim

Anggaran Waktu Membaca:
Jangan terpedaya sikap gelojoh kerajaan yang mahu pilihan raya diadakan sekarang: Anwar Ibrahim

(Gambar: Anwar Ibrahim/Facebook)

KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang Malaysia, Anwar Ibrahim mempersoalkan sikap pihak tertentu yang didakwa sanggup mempertaruhkan nyawa dan nasib rakyat semata-mata untuk membuat pilihan raya umum (PRU).

Dalam satu kenyataan pada Isnin malam (10 Okt), Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, rakyat digesa untuk tidak terpedaya dengan sikap kerajaan yang hanya menjaga kepentingan sendiri, seperti dinukil daripada Astro AWANI.

Katanya lagi, rakyat memang sekian lama menanti masa untuk mengembalikan Kerajaan PH, namun waktu yang dipilih untuk diadakan PRU Malaysia, terutamanya dalam musim banjir akan datang, berkemungkinan akan mewujudkan risiko kepada masyarakat.

“Sejak pengkhianatan maha durjana yang menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan jatuh dahulu, rakyat sudah lama menantikan saatnya untuk menghukum para pendiri kerajaan pintu belakang dan para pengkhianat.

“Tetapi sekiranya pilihan raya yang diadakan akan memberi risiko kepada rakyat Malaysia tatkala mengundi akan menjadi cabaran bagi sesetengah rakyat, maka ia dilihat seperti menipu dan cuba menghalang pengundi daripada melaksanakan tanggungjawab mereka,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Encik Anwar berkata, beliau dan PH menerima sepenuhnya keputusan Yang di-Pertuan Agong dalam memperkenan Parlimen dibubarkan kerana Baginda bertindak berdasarkan peruntukan kuasa yang ada seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan, lapor Astro AWANI.

Namun, katanya lagi, yang dipersoalkan adalah niat pihak berkepentingan yang beliau dakwa begitu gelojoh mahu pilihan raya diadakan sekarang.

“Tampaknya, Kabinet yang paling besar dalam sejarah negara ini tewas dan tunduk kepada tekanan dan kedurjanaan politik yang berkiblatkan kuasa dan wang ringgit.

“Langkah ini ternyata suatu penghinaan kepada rakyat Malaysia yang di bawah yang kini terbeban dengan kenaikan harga barang yang tinggi, gaji yang rendah, peluang pekerjaan yang tidak cukup untuk para siswazah, kualiti pendidikan, akses yang sangat rendah kepada kesihatan, simpanan yang tidak munasabah untuk usia persaraan, serta yang paling utama ancaman musibah banjir dan dampak buruk dari kemelut alam dan iklim,” tegasnya.

Sehubungan itu, Encik Anwar menggesa agar rakyat dapat menilai sedalam-dalamnya tentang situasi politik semasa, serta membuat keputusan yang tepat demi kesejahteraan negara.
Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan