Skip to main content

Dunia

Jangan terlalu berharap kejayaan dalam misteri MH370, kata PM Anwar

Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim pada Jumaat (15 Mac) mengingatkan agar harapan terlalu tinggi tidak diletakkan dalam usaha mencari jawapan berhubung kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370, 10 tahun lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Jangan terlalu berharap kejayaan dalam misteri MH370, kata PM Anwar

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 16 Mar 2024 02:01PM
HAMBURG: Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim pada Jumaat (15 Mac) mengingatkan agar harapan terlalu tinggi tidak diletakkan dalam usaha mencari jawapan berhubung kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370, 10 tahun lalu.

Ini setelah sebuah syarikat robotik moden menyuarakan kesediaan untuk meneruskan pencarian pesawat itu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Seramai 239 orang, termasuk lebih 150 warga China dan 50 rakyat Malaysia berada di dalam pesawat itu apabila ia hilang semasa penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014, dalam apa yang disifatkan sebagai satu daripada misteri paling menghantui dunia penerbangan.

Beberapa hari sebelum memperingati ulang tahun ke-10 tragedi MH370 bulan ini, Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengumumkan bahawa pencarian baharu untuk serpihan pesawat itu akan dilancarkan oleh firma Amerika Syarikat, Ocean Infinity.

Menurut PM Anwar, keputusan mungkin akan diambil dalam masa beberapa minggu akan datang selepas menyemak saranan oleh syarikat yang berpangkalan di Texas itu.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa waris penumpang yang hilang tidak seharusnya terlalu mengharapkan sebarang kejayaan.

"Saya tidak mahu memberi mereka harapan palsu bahawa kita boleh mendapatkan jawapan," kata PM Anwar kepada dpa semasa lawatan ke Jerman.

"Tetapi saya mahu meyakinkan mereka bahawa kita sedang melakukan segala yang mungkin," tambahnya - walaupun ia akhirnya menelan belanja "dana yang besar."

PM Anwar yang merupakan Ketua Pembangkang pada tahun 2014, berkata beliau sendiri terkejut dengan kehilangan pesawat itu.

"Saya tidak faham pada zaman ini, bagaimana fasiliti logam yang besar seperti itu boleh hilang begitu sahaja," kata PM Anwar.
Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita