Skip to main content

Dunia

Jangan serta merta viralkan berita palsu yang 'dibungkus' dengan ayat Quran; boleh rosakkan masyarakat

Sarjana Islam terkemuka dari Indonesia, Profesor Azyumardi Azra berkata bahawa berita yang bersifat penipuan dan penghasutan boleh membinasakan sesuatu masyarakat.

Anggaran Waktu Membaca:
Jangan serta merta viralkan berita palsu yang 'dibungkus' dengan ayat Quran; boleh rosakkan masyarakat

(Gambar hiasan: Saeed Khan/AFP)

Diterbitkan : 17 Nov 2017 11:17AM Dikemas Kini : 17 Nov 2017 11:20AM

JAKARTA: Sarjana Islam terkemuka dari Indonesia, Profesor Azyumardi Azra berkata bahawa berita yang bersifat penipuan dan penghasutan boleh membinasakan sesuatu masyarakat.

"Terlebih jika adu domba (berita menghasut atau melaga-lagakan) tersebut kemudian dibungkus menggunakan ayat (Quran) dan hadis untuk melakukan pembenaran atas apa yang dilakukan," katanya di Jakarta pada Rabu (15 Nov).

Beliau yang merupakan Profesor Sejarah dan Peradaban Islam Fakulti Adab UIN Syarif Hidayatullah, menegaskan bahawa penipuan dan penghasutan harus ditolak.

Selain itu, Profesor Azyumardi menyarankan agar masyarakat tidak langsung percaya dan meminta penjelasan daripada ulama, berkenaan penghasutan yang dibungkus dengan ayat Quran ataupun hadis.

"Kiai Haji Nazaruddin Umar (Imam Besar Masjid Istiqlal), K.H. Said Aqil Siroj (Ketua Umum PBNU), ataupun kiai-kiai kampung merupakan kiai yang mempunyai ilmu agama yang mendalam dan mereka yang merupakan rujukan bagi apa jua yang terkait dengan penafsiran suatu ayat maupun hadis," kata Profesor Azyumardi.

Berita yang berkisar penipuan dan penghasutan boleh memecah belah individu-individu, kelompok-kelompok, institusi-institusi bahkan masyarakat dengan pemerintah. Profesor Azyumardi menambah bahawa ia menyebar luas ke masyarakat seiring dengan kemajuan teknologi informasi.

Oleh itu, menurut Profesor Azyumardi, yang pernah menerima gelaran "The Commander of the Order of British Empire" dari Ratu Elizabeth II, masyarakat harus dapat mengenali berita yang berbaur penipuan dan penghasutan.

Biasanya, berita palsu tidak pernah ada di media aliran utama dan yang diberitakan adalah perkara-perkara yang tidak masuk akal baik terhadap pegawai maupun institusi tertentu.

"Saya kira kita semua yang memegang gadget harus hati-hati, kalau ada berita yang ganjil jangan serta merta diviralkan kerana akan membawa kerosakan kerana itulah yang diharapkan oleh yang membuat berita yang berkisar penipuan dan penghasutan itu," katanya.

Profesor Azyumardi turut berkata bahawa untuk menangkal kemunculan radikalisme, ia harus bermula dari keluarga, terutama dalam menerapkan nilai saling hormat-menghormati perbezaan agama, budaya, dan bangsa.

Sumber : Bernama/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita