Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Jangan risikokan kesihatan anak; guna panggilan video 'bawa' anak ke bazar Ramadan

Anggaran Waktu Membaca:
Jangan risikokan kesihatan anak; guna panggilan video 'bawa' anak ke bazar Ramadan

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 06 Apr 2022 11:09PM Dikemas Kini : 06 Apr 2022 11:09PM

KUALA LUMPUR: Membuat panggilan video kepada anak-anak antara alternatif yang boleh digunakan ibu bapa berbanding membawa anak-anak ke bazar Ramadan yang hanya akan mengundang risiko jangkitan COVID-19.

Pakar Kesihatan Awam (Epidemiologi dan Biostatik) Universiti Putra Malaysia Prof Madya Dr Malina Osman berkata meskipun memahami kemahuan anak-anak khususnya mereka yang baru dilatih berpuasa dan biasanya mahukan pelbagai juadah berbuka tetapi kesihatan anak adalah jauh lebih penting walaupun negara telah memasuki fasa peralihan endemik.

Beliau berkata ketika ini sebahagian besar kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun belum atau tidak lengkap vaksinasi manakala yang berusia bawah lima tahun pula masih tidak dibenarkan divaksinasi.

“Jadi bagaimana nak elak anak-anak terdedah dengan jangkitan COVID-19, ibu bapa kebanyakannya ada telefon pintar, mereka boleh ambil giliran siapa tunggu di dalam kereta dan siapa yang akan pergi ke bazar, ibu atau bapa yang ke bazar boleh buat panggilan video untuk membolehkan anak-anak memilih juadah berbuka puasa mereka sendiri.

“Atau anak-anak tunggu sahaja di rumah tunggu panggilan video untuk pilih juadah berbuka mereka… atau paling tidak pun buat sahaja pesanan melalui Foodpanda dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi Bernama. 

Beliau berkata demikian mengulas mengenai saranan Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia Dr Noor Azmi Ghazali pada Isnin (4 Apr) yang menasihatkan agar ibu bapa tidak membawa anak-anak kecil mengunjungi bazar Ramadan bagi mengelakkan mereka terdedah jangkitan COVID-19 walaupun negara telah memasuki Fasa Peralihan ke Endemik.

Dr Malina berkata peralihan ke fasa endemik bukan bermakna ibu bapa boleh mengambil mudah tentang prosedur operasi standard kerana virus masih ada dan langkah pencegahan haruslah dijaga.

“Ibu bapa tidak boleh pandang enteng walaupun keadaan bertambah baik kerana pakar sebelum ini telah memaklumkan jangkitan dalam kalangan kanak-kanak menunjukkan peningkatan sejak awak tahun ini. Lebih baik elakkan anak-anak kita berada di kawasan berisiko sama ada divaksin atau tidak,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Sosiologi dan Antropologi, Abdulhamid Abusulayman Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Dr Sharifah Fatimah AlZahrah Syed Hussien berkata berdasarkan saranan pakar adalah sangat penting untuk memikirkan keselamatan dan kesihatan anak-anak terutamanya mereka yang belum divaksinasi.

“Mungkin ada ibu bapa yang sudah terbiasa membawa anak mereka ke bazar sebagai ganjaran, tetapi itu bukanlah satu-satunya cara sebab kita mungkin boleh buat ‘star chart’ yang di akhir Ramadan kita berikan dia satu ganjaran sekiranya berjaya berpuasa,” katanya.

Selain itu, Dr Sharifah Fatimah berkata alternatif lain yang paling selamat adalah dengan menyediakan juadah berbuka puasa di rumah bersama anak-anak tanpa perlu bersesak ke bazar Ramadan.

Berdasarkan laman web COVIDNOW, sejumlah 1,351,441 kanak-kanak berumur antara lima dan 11 tahun atau 38 peratus daripada jumlah itu telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) setakat Selasa (5 Apr).

Sumber : Bernama/SU/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa