Skip to main content

Dunia

Jangan melulu larang perjalanan ekoran varian Omicron, nasihat WHO

"Larangan perjalanan menyeluruh yang dikuatkuasakan secara terburu-buru tidak akan mencegah penularan antarabangsa dan sebaliknya akan membebankan kehidupan dan mata pencarian," tegas WHO.

Anggaran Waktu Membaca:
Jangan melulu larang perjalanan ekoran varian Omicron, nasihat WHO

(Gambar hiasan: Bernama)

Diterbitkan : 01 Dec 2021 10:52AM Dikemas Kini : 01 Dec 2021 10:56AM

GENEVA: Negara-negara dunia harus mengambil "pendekatan yang berhemah berasaskan bukti dan berdasarkan risiko" bagi sebarang peraturan perjalanan yang berkaitan dengan varian Omicron COVID-19, termasuk kemungkinan menjalankan pemeriksaan atau mengenakan kuarantin terhadap penumpang antarabangsa.

Bagaimanapun, larangan menyeluruh yang dikuatkuasakan secara terburu-buru tidak akan membendung penularannya, tegas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Selasa (30 Nov).

WHO, dalam panduan terbarunya kepada pihak berkuasa dan para pelawat, menyatakan bahawa individu yang berusia lebih 60 tahun yang tidak lengkap divaksin atau tidak mempunyai bukti jangkitan lalu COVID-19 dan mereka yang mempunyai masalah kesihatan sedia ada seharusnya dinasihatkan supaya menangguhkan perjalanan ke luar negara kerana mereka lebih berisiko terjangkit dan meninggal dunia.

Sejak pertama kali dikenal pasti di selatan Afrika seminggu yang lalu, varian baru itu mencetuskan kebimbangan global, yang membawa kepada larangan perjalanan dan memperlihatkan perbezaan ketara antara usaha vaksinasi besar-besaran di negara-negara mewah berbanding kadar inokulasi yang sangat rendah di negara-negara membangun.

Pihak berkuasa di negara-negara di mana para pelawat berangkat, melakukan persinggahan dan tiba di destinasi masing-masing boleh menggunakan pendekatan berbilang lapisan untuk mengurangkan risiko bagi menangguhkan atau mengurangkan import atau eksport varian Omicron, menurut WHO pada Selasa.

"Langkah-langkah itu mungkin termasuk pemeriksaan penumpang sebelum melakukan perjalanan dan/atau sebaik tiba dan penggunaan ujian SARS-COV-2 atau kuarantin pelawat antarabangsa selepas menjalankan penilaian risiko yang menyeluruh," tambahnya.

Semua langkah seharusnya setimpal dengan risiko, had masa dan dikuatkuasakan berpandukan hak pelawat, menurutnya lagi.

"Larangan perjalanan menyeluruh yang dikuatkuasakan secara terburu-buru tidak akan mencegah penularan antarabangsa dan sebaliknya akan membebankan kehidupan dan mata pencarian," katanya.

Kira-kira 56 negara dilaporkan sudah melaksanakan langkah kawalan perjalanan yang bertujuan untuk melengahkan penularan Omicron di negara masing-masing setakat 28 Nov, tambahnya lagi. 

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita