Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Jangan kucar-kacirkan urusan ehwal Islam di Johor, kata tengku mahkota

Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada Khamis (25 Apr) mengingatkan semua pihak yang tidak mempunyai kaitan dengan negeri Johor supaya tidak mengucar kacirkan urusan hal ehwal agama Islam yang merupakan urusan negeri ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Jangan kucar-kacirkan urusan ehwal Islam di Johor, kata tengku mahkota

Putera Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim. (Gambar: Howard Law)

Diterbitkan : 25 Apr 2019 10:43PM Dikemas Kini : 25 Apr 2019 10:44PM

JOHOR BAHRU: Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada Khamis (25 Apr) mengingatkan semua pihak yang tidak mempunyai kaitan dengan negeri Johor supaya tidak mengucar kacirkan urusan hal ehwal agama Islam yang merupakan urusan negeri ini.

Bercakap semasa merasmikan Majlis Multaqa Ulama Darul Ta’zim Kali Ketujuh, bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Tunku Ismail mengingatkan semua pihak bahawa Johor merupakan negeri berdaulat yang memiliki Undang-Undang Tubuh sendiri berpaksikan Ahli Sunnah Wal Jamaah, bermazhab Syafie dan berakhlak dengan akhlak Islamiyah.

“Kepada mereka yang tiada kaitan dengan negeri Johor, janganlah sibuk untuk mengucar kacirkan urusan hal ehwal agama Islam yang merupakan urusan negeri.

“...dan janganlah sibuk untuk melaga-lagakan atau mengelirukan rakyat negeri Johor ini termasuk Diraja Johor. Malah negeri Johor ini sentiasa sedia berkongsi ilmu dan bersama-sama memperkasakan ummah serantau,” kata Tunku Ismail.

Tunku Ismail dalam pada itu, turut menasihati semua pihak supaya jangan sesekali mencemari masjid dan surau di negeri ini dengan apa-apa jua perkara yang boleh merosakkan umat Islam.

Tambah beliau lagi, mereka yang ingin berceramah tentang agama Islam di Johor, pertamanya, mesti memiliki tauliah dan kebenaran daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan kedua, sentiasa peka dan prihatin dengan isu-isu semasa dengan bukan berceramah mengikut hati seolah-olah mewujudkan was-was serta mencalarkan lagi keharmonian dan kekukuhan umat Islam di negeri Johor.

“Begitu juga penceramah dari parti-parti politik, walaupun memiliki kelulusan bidang agama tetapi disebabkan kecenderungan pada parti politik tertentu boleh menyebabkan ceramah itu cenderung kepada politik.

“Dalam hal ini, suka saya mengingatkan kepada semua, jangan sekali-kali bermain api di dalam sekam. Akibatnya amat buruk dan boleh mengundang padah. Jika tempat ini kita huru-harakan dengan perkara-perkara yang tiada kaitan dengan Islam, maka tiada maknanya lagi masjid dan surau itu sebagai syiar Islam,” kata beliau. 

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan