'Jangan campur tangan di Syria': Amaran Trump kepada Israel
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, bercakap kepada media sebelum berlepas ke Asia dari South Lawn di Rumah Putih, Washington, DC, pada 24 Oktober 2025. (Gambar: REUTERS/Kylie Cooper)
Sejurus selepas amaran itu, pejabat Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu (yang dikehendaki oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa atas jenayah perang di Gaza) mengesahkan bahawa Encik Trump sudah bercakap dengan Encik Netanyahu dan menjemputnya untuk satu lagi lawatan ke Rumah Putih.
Encik Trump menerusi platform Truth Social beliau berkata: "Sangat penting untuk Israel mengekalkan dialog yang kukuh dan jujur dengan Syria, dan tiada apa-apa yang berlaku yang akan mengganggu evolusi Syria menjadi negara yang makmur."
Pemimpin Amerika Syarikat itu berusaha bagi mewujudkan perjanjian keselamatan antara Israel dengan Syria sejak pemberontak yang diketuai oleh Presiden Ahmed al-Sharaa menggulingkan diktator lama Bashar al-Assad setahun yang lalu.
Sekalipun demikian, Israel melancarkan beratus-ratus serangan ke atas Syria. Dalam serangan paling maut setakat ini, tentera Israel membunuh 13 orang pada Jumaat di kampung Beit Jin di selatan.
Syria menyifatkan operasi Israel itu sebagai "jenayah perang," manakala Israel mendakwa kumpulan Lubnan Jamaa Al-Islamiya beroperasi di kawasan itu.
Encik Trump berkata beliau "sangat berpuas hati" dengan prestasi Syria di bawah Sharaa, bekas pemberontak tegar yang membuat lawatan bersejarah ke Rumah Putih beberapa minggu lalu.
Presiden Amerika Syarikat itu menegaskan bahawa Sharaa "berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan perkara baik berlaku, dan Syria serta Israel akan mempunyai hubungan yang panjang dan makmur bersama."
Beliau menambah bahawa Amerika Syarikat "melakukan segala yang terdaya untuk memastikan pemerintah Syria terus melakukan apa yang dihasratkan" untuk membina semula negara yang dilanda perang itu.
Hubungan baik antara Syria dengan Israel akan menambah usahanya untuk mewujudkan keamanan Timur Tengah yang lebih luas selepas gencatan senjata Gaza yang rapuh pada Oktober, tambah Encik Trump.
Encik Netanyahu dan Encik Trump membincangkan untuk "meluaskan" perjanjian damai serantau ketika mereka bercakap pada Isnin, menurut kenyataan pejabat Perdana Menteri Israel.
"Encik Trump sudah menjemput Perdana Menteri Netanyahu untuk pertemuan di Rumah Putih dalam masa terdekat," menurut kenyataan itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.