Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Jangan cabar suara keramat ahli UMNO, tegas Ketua Bahagian Alor Setar Mohd Yusof Ismail

Anggaran Waktu Membaca:
ALOR SETAR: UMNO perlu memberi peluang kepada 150,000 perwakilan yang layak mengundi dalam pemilihan parti pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU 2022).

Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Mohd Yusof Ismail, berkata adalah wajar untuk tidak menyekat demokrasi dalam pemilihan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden.

"Inilah yang sepatutnya berlaku untuk menguatkan kembali imej UMNO."

“Rakyat melihat UMNO sebagai sebuah parti yang terbuka sebab itu suka atau tidak suka, rela atau tidak rela, kita kena biarkan sahaja pertandingan jawatan Presiden dan Timbalan (Presiden) diadakan."

Encik Mohd Yusof menegaskan sesiapa sahaja yang menang untuk dua jawatan tertinggi UMNO hendaklah diterima dan diberi sokongan sepenuhnya.

“Jangan buat keputusan sesuka hati tanpa sedikit pun menghormati ahli-ahli UMNO di akar umbi. Jangan cabar suara keramat ahli UMNO,” ujarnya, lapor agensi berita Sinar Harian.

Menurut beliau lagi, sesetengah ahli UMNO yang tidak mahu jawatan Presiden dan Timbalan Presiden dipertandingkan menggunakan alasan tidak mahu perpecahan atau mengelak parti menjadi porak-peranda.

“Namun hakikatnya, mereka inilah yang selama ini paling kuat memecahbelahkan parti, memporak-perandakan keluarga UMNO sampai rakyat naik muak dengan politiking UMNO."

“PRU14 UMNO kalah juga tetapi tidaklah seteruk kekalahan PRU15. Najib Razak sebagai Presiden ketika itu letak jawatan termasuk Hishammuddin Hussein sebagai Naib Presiden. Inilah namanya tanggungjawab kolektif,” katanya, lapor agensi berita Sinar Harian.

Tambah Encik Mohd Yusof lagi, Ahmad Zahid Hamidi ketika itu memangku jawatan Presiden dan kemudian pemilihan diadakan, yang mana Encik Ahmad Zahid sendiri menyokong agar semua jawatan dipertandingkan.

“Berlaku lima penjuru lawan Presiden namun Ahmad Zahid tetap menang. Mohamad Hasan pula menang Timbalan Presiden manakala Naib Presiden dimenangi Ismail Sabri Yaakob, Mahdzir Khalid dan Khaled Nordin."

"Tiada pun perpecahan dalam UMNO. Semua hormati dan terima keputusan kerana menang secara sah dan adil,” ujarnya, lapor agensi berita Sinar Harian.

Menurut beliau apa yang akar umbi harapkan hanyalah komitmen pasukan kepimpinan lima tertinggi ini meneruskan perjuangan untuk kembalikan zaman kegemilangan UMNO.

“Malangnya, bukan sahaja parti kalah, malah kalah lagi teruk berbanding PRU14. Bukannya kami tak hormat tetapi kalau itulah keadaannya, tidakkah tergerak di hati untuk berundur dan mengambil tanggungjawab?"

“Setidaknya bukalah ruang untuk semua jawatan dipertandingkan. Apa nak takut?” soalnya.

Encik Mohd Yusof berkata di pemilihan 2018, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Tengku Razaleigh Hamzah turut menentang Encik Ahmad Zahid. Walaupun tewas dalam pemilihan, mereka tetap bersama UMNO.

“Khairy tetap terima untuk menjadi calon di Sungai Buloh, malah berjaya turunkan majoriti Pakatan Harapan (PH) daripada 26,000 kepada 2,000,” katanya.

Pada Khamis (5 Jan), media melaporkan Encik Ahmad Zahid sedia dicabar oleh mana-mana calon dalam saingan kedudukan jawatan nombor satu UMNO di pemilihan akan datang.

Menurut beliau, sebelum ini kedudukannya pernah dicabar oleh dua calon, namun gabungan undi tidak mampu menyainginya.
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan