Skip to main content

Dunia

Jangan buat spekulasi kebakaran Wisma Jakel, kata Ketua Polis Shah Alam

Anggaran Waktu Membaca:
Jangan buat spekulasi kebakaran Wisma Jakel, kata Ketua Polis Shah Alam

(Gambar: Facebook/KPKT Malaysia)

SHAH ALAM: Polis meminta orang awam tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan punca insiden kebakaran Wisma Jakel di Seksyen 7, yang berlaku pada awal pagi Ahad (1 Jan).
Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata ketika ini pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor sedang menjalankan siasatan untuk mengetahui punca sebenar kebakaran.

“Pihak polis pohon orang awam (netizen) tidak mengeluarkan sebarang spekulasi atau andaian berkaitan perkara ini."

“Kita kena hormati perasaan mereka yang alami kerugian serta pekerja-pekerja yang hilang sumber pendapatan akibat insiden ini,” katanya ketika diminta mengulas mengenai beberapa dakwaan di media sosial kononnya kebakaran di gedung tekstil terkemuka itu adalah disengajakan.

Beliau berkata setakat ini polis belum menerima laporan berkaitan perkara tersebut (sengaja dibakar) daripada mana-mana pihak.

Katanya tindakan undang-undang boleh diambil oleh pemilik premis sekiranya laporan siasatan bomba membuktikan perkara sebaliknya.

Gedung tekstil terkemuka itu dilaporkan terbakar awal pagi Ahad dan pihak bomba menerima panggilan kecemasan mengenai insiden tersebut pada 7.08 pagi.

Susulan itu bomba Selangor pada Isnin (2 Jan) menggerakkan Unit Anjing Pengesan (K9) bagi menjalankan kerja-kerja forensik untuk mengenal pasti punca insiden kebakaran di Wisma Jakel itu.

Pengarah Urusan Kumpulan Jakel Mohamed Faroz Mohamed Jakel berkata syarikatnya mengalami kerugian awal yang dianggarkan hampir RM100 juta (S$30 juta).
 
Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita