Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Jangan bawa anak ke kempen pilihan raya, kata Naib Presiden Indonesia

Anggaran Waktu Membaca:
Jangan bawa anak ke kempen pilihan raya, kata Naib Presiden Indonesia

Gambar: BAY ISMOYO / AFP

Diterbitkan : 26 Jan 2024 03:32PM Dikemas Kini : 26 Jan 2024 03:36PM
JAKARTA: Naib Presiden Indonesia, Ma'ruf Amin, menggesa penduduk negara itu terutamanya ibu bapa supaya tidak membawa anak mereka ke acara-acara kempen Pilihan Raya Umum 2024.

Beliau menggesa orang ramai cuba memahami rasional di sebalik peraturan yang melarang kanak-kanak mengambil bahagian dalam sebarang aktiviti politik, termasuk kempen pilihan raya.

"Adalah berbahaya jika kanak-kanak dibawa (ke acara kempen)," katanya yang dilaporkan portal antaranews.com pada Khamis (25 Jan).

Encik Amin berkata, kanak-kanak yang tidak memahami politik boleh mengalami trauma jika terlibat dalam aktiviti kempen pilihan raya.

Menurut Fasal 280 Perenggan (2), Undang-Undang Nombor 7 2017 mengenai Pilihan Raya Umum, pelaksana dan/atau pasukan kempen dilarang membabitkan warga Indonesia yang tidak memiliki hak memilih dalam kegiatan kempen mereka.

Undang-Undang Nombor 35 2014 mengenai Pindaan Undang-Undang Nombor 23 2002 mengenai Perlindungan Anak juga menetapkan bahawa kanak-kanak tidak boleh terlibat dalam kegiatan politik.

Awal dari itu, Pesuruhjaya Suruhanjaya Perlindungan Kanak-Kanak Indonesia (KPAI) bagi hak sivil dan kebebasan, Sylvana Maria, memaklumkan pihaknya menerima aduan termasuk mengenai penggunaan kanak-kanak sebagai jurucakap calon, ketika tempoh berkempen pilihan raya.

Sepuluh aduan telah dibuat terhadap calon perundangan dan pasukan calon presiden dan naib presiden setakat ini, kata Cik Maria di Jakarta pada Isnin lalu (22 Jan).

"Selain itu, kanak-kanak juga menjadi antara sasaran kempen. Kempen disasarkan kepada ibu bapa, tetapi kanak-kanak disasarkan dengan memberi mereka barangan yang bukan alat kempen," katanya.

Satu lagi aduan yang kerap kepada KPAI ialah mengenai kanak-kanak dijadikan objek politik wang atau pembelian undi oleh calon perundangan.

Selain itu, suruhanjaya menerima maklumat berhubung kandungan viral yang menunjukkan kanak-kanak berkongsi pendapat mereka mengenai calon tertentu.

Indonesia akan mengadakan Pilihan Raya Umum 2024 pada 14 Februari ini, di mana kira-kira 204.8 juta pengundi dijangka mengambil bahagian.

Tempoh berkempen untuk pilihan raya bermula 28 November lalu dan akan berakhir pada 10 Februari ini.
Sumber : Agensi berita/SU/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan